Banjir dan Projek Tebatan Banjir Negara perlu disegerakan! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 08 Mar 2023 07:00 AM

Banjir dan Projek Tebatan Banjir Negara Perlu Disegerakan!

 

 

Banjir…  Merupakan bencana alam yang sentiasa berulang di Malaysia terutamanya di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

 

Banjir boleh dikategorikan kepada banjir genang, banjir monsun, gelombang badai yang dikaitkan dengan banjir pantai dan juga banjir kilat.

 

Kebiasaan banjir yang berlaku adalah banjir kilat dan banjir monsun. Banjir kilat pada kebiasaannya berlaku apabila hujan turun dengan cepat dan berterusan kurang dari enam jam di kawasan samada jalan raya atau kawasan mempunyai banyak permukaan kalis air yang menghalang tanah daripada menyerap air dan menyebabkan air naik dengan cepat.

 

Banjir monsun pula disebabkan oleh hujan yang tinggi dan berterusan lebih dari enam jam. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, negara kini sedang menghadapi episod hujan lebat berterusan akibat air larian monsun yang disebabkan oleh Monsun Timur Laut.

 

Monsun Timur Laut dijangkakan akan berhenti pada pertengahan Mac dan selagi ia masih belum berakhir, negara masih berpotensi untuk mengalami episod hujan lebat berterusan  seperti yang  sedang berlaku sekarang.

 

Selepas itu, peralihan kepada Monsun Barat Daya dijangka akan bermula pada awal bulan April. Monsun Barat Daya secara relatifnya adalah musim yang lebih kering bagi seluruh Malaysia kecuali negeri Sabah di Malaysia Timur. Pada musim ini, kebanyakan negeri di Malaysia mengalami taburan hujan bulanan yang minimum.


 

banjir

 


Kesan dan Kerugian Akibat Banjir

Seperti sedia maklum, kesan akibat bencana banjir boleh mencecah ratusan juta dan sehingga berbilion ringgit. Bukan sahaja kerugian dalam bentuk wang ringgit tetapi kesannya lebih daripada itu. Ini adalah termasuk kematian dan yang paling membimbangkan penyakit (kemerosotan keadaan kesihatan) akibat penyakit bawaan air semasa banjir melanda.

 

Berdasarkan data terbaru dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), negara mengalami jumlah kerugian sebanyak RM622.4 juta akibat bencana banjir yang berlaku di seluruh negara kecuali Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya tahun lalu berbanding RM6.1 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Ini adalah bersamaan 0.03% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Pecahan jumlah kerugian tahun lalu adalah terdiri daripada aset awam dan infrastruktur sebanyak RM232.7 juta, tempat kediaman (RM157.4 juta), pertanian (RM154.5 juta), premis perniagaan (RM50.3 juta), kenderaan (RM18.8 juta) dan sektor pembuatan sebanyak RM8.7 juta.

 

Berapa lama lagi negara perlu menanggung kerugian sebanyak ini? Kerugian akibat banjir yang acap kali berlaku di Malaysia sepatutnya sudah lama dapat diminimumkan melalui projek jangka masa panjang bagi pembinaan tebatan banjir serta perancangan aktiviti pembangunan yang lebih strategik baik di peringkat negeri mahupun persekutuan.

 

Ini kerana bukan sahaja kerugian wang ringgit yang perlu dikisahkan. Tetapi ini juga melibatkan kesan mental dan psikologi iaitu trauma yang dialami oleh mangsa bencana alam ini! Kehilangan orang tersayang yang menjadi korban banjir sudah tentu memberi kesan yang mendalam terutama kepada ahli keluarga yang lain.

 

Ditambah dengan kemusnahan harta benda, hilang mata pencarian serta gangguan terhadap urusan kerja dan sosial boleh menyebabkan tekanan berterusan terhadap mangsa banjir.  Ini boleh menyebabkan kesan psikologi untuk jangka masa yang panjang. Mangsa yang terjejas pula perlu bangkit untuk membina semula kehidupan mereka. Sukar bukan?

 

Oleh itu, kerajaan perlu proaktif dalam memainkan peranan dengan bertindak serta merangka pelan jangka masa pendek dan panjang untuk menyelesaikan isu bencana alam ini. Perkara ini perlu disegerakan tanpa perlu dipolitikkan kerana soal nyawa, kemusnahan harta benda, gangguan terhadap pekerjaan, perniagaan dan sosial akibat banjir patut menjadi agenda yang perlu disegerakan.

 

 

banjir

 

 

Strategi Jangka Masa Panjang Projek Tebatan Banjir Malaysia RMK-12

Pada pembentangan Belanjawan 2023 tahun lalu, kerajaan di bawah pimpinan Dato’ Sri Ismail Sabri telah membangunkan pelan projek tebatan banjir jangka panjang iaitu dari tahun 2023 hingga 2030 yang bakal menelan belanja sebanyak RM15 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

 

Ini merupakan strategi dan pelan jangka panjang dalam usaha  membangunkan Malaysia menjadi negara yang mempunyai daya tahan banjir bagi menghadapi dan menyesuaikan diri dengan perubahan iklim di seluruh negara.

 

Antara projek yang menjadi keutamaan yang perlu dilaksanakan adalah pembinaan Empangan Sabo yang bakal menelan perbelanjaan sebanyak RM562 juta.

 

Empangan kecil ini (merujuk kepada Empangan Sabo) ialah struktur seperti empangan dengan banyak celah, seperti ayak gergasi.  Ia direka untuk memperlahankan, tetapi tidak menahan air yang terpancut turun dari pergunungan dan untuk memerangkap kayu balak, batu besar dan serpihan yang jatuh ke bawah.

 

Ia akan dibina di 46 lokasi di seluruh negara untuk mengurangkan risiko serpihan dan bagi mengelak berulangnya lonjakan air deras yang dahsyat yang menyebabkan banjir lumpur akibat aktiviti penerokaan hutan.

 

Projek lain yang direncanakan di bawah pelan ini adalah termasuk projek-projek pembasmian banjir termasuk pembinaan takungan dwi-fungsi yang bakal menelan belanja hampir RM2 bilion di sepanjang Sungai Klang dan Sungai Rasau di Selangor. Projek ini adalah projek serampang dua mata yang dirancang untuk mengatasi banjir serta boleh digunakan sebagai tempat penyimpanan bekalan air mentah.

 

Di bawah pelan ini juga, rancangan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok dilaksanakan bagi mengurangkan masalah banjir di kawasan yang berdekatan Sungai Golok. Pelaksanaan projek ini akan meningkatkan keselamatan dan kedaulatan negara dengan pembinaan infrastruktur tebatan banjir serta mendalamkan muara Sungai Golok bagi penambahbaikan laluan bot dan perlindungan muara Sungai Golok daripada risiko banjir pantai.

 

Segerakan! Tidak Perlu Dipolitikkan dan Beri Tumpuan Selesaikan Masalah Banjir

Tidak dinafikan, kerajaan hari ini tidak mempersoalkan kepentingan projek Tebatan Banjir yang direncanakan oleh kerajaan terdahulu. Apa yang menggusarkan adalah perbelanjaan yang begitu besar untuk pelan strategi lapan tahun ini iaitu berjumlah RM15 bilion.


 

banjir

 


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta kementerian yang berkaitan untuk meneliti dan menilai semula proses perolehan serta memastikan aspek teknikal projek mengambil kira pandangan pakar bagi memastikan perbelanjaan yang besar ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

 

Ia bukan setakat proses perolehan, kerajaan juga perlu meneliti semula reka bentuk projek tebatan banjir sedia ada supaya negara

mempunyai infrastruktur yang boleh beroperasi semasa keadaan luar biasa dan dapat menyesuaikan dengan pantas terhadap tekanan baharu yang datang akibat perubahan iklim.

 

Tetapi berapa lama masa yang perlu diambil? Ini kerana jika projek tebatan banjir negara tertangguh untuk satu jangka masa yang lama, ia bakal mengundang episod kerugian yang berulang kepada negara kerana banjir boleh dikategorikan sebagai salah satu bencana alam yang paling mahal.

 

Sekiranya kerajaan bertindak lambat dan masih tidak menyelesaikan masalah banjir yang berulang, kerajaan terpaksa memperuntukkan dan mengeluarkan sejumlah wang yang banyak setiap tahun untuk bencana alam ini. Ia seolah-olah tiada jalan penyelesaian yang konkrit.

 

Justeru, ia sepatutnya menjadi agenda utama kerajaan buat masa sekarang, memberi tumpuan untuk mencari penyelesaian jangka masa panjang yang komprehensif kepada masalah banjir bagi mengurangkan risiko dan bilangan lokasi terjejas akibat  bencana alam ini pada masa hadapan.

 

Bantuan dari kerajaan juga perlu disegerakan dan disalurkan kepada semua pihak yang terkesan tanpa memilih sesiapa dan negeri mana! Sesungguhnya kemakmuran itu akan datang apabila musibah bencana alam terhadap rakyat dapat dikurangkan.

 

 

banjir

 

 

Banjir yang berlaku baru-baru ini juga telah memberi isyarat kepada kerajaan untuk mengutamakan apa yang amat diperlukan oleh negara.

 

Apa yang amat diperlukan oleh negara sekarang dan pada masa hadapan ialah… daya tahan terhadap banjir! Ini yang amat diperlukan SEGERA! Demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat yang terkesan berulang kali akibat bencana alam ini. – DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat