Diesel sudah, lepas ini giliran RON95 pula | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 19 Jun 2024 08:00 AM

Diesel sudah, lepas ini giliran RON95 pula

 

 

 

DALAM usaha untuk mengekang beban fiskal yang semakin meningkat, perhatian kini terarah kepada rasionalisasi subsidi RON95. Langkah ini dilihat sebagai kesinambungan daripada pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel yang telah dilakukan baru-baru ini.

 

Walaupun ia dijangka memberikan penjimatan besar kepada kerajaan, persoalannya, adakah tindakan ini tepat pada masa rakyat sedang terbeban berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat?

 

Adakah ini tindakan yang bijak atau sekadar menambah garam pada luka yang sedia ada?

 

Beban Fiskal menggunung

Pada tahun 2022, subsidi bahan api termasuk RON95 telah menyebabkan perbelanjaan kerajaan meningkat kepada hampir RM80 bilion. Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding peruntukan untuk sektor kesihatan dalam Bajet 2024.

 

Subsidi yang tinggi ini sebenarnya membebankan kewangan negara, menghalang peruntukan dana kepada sektor-sektor lain yang kritikal. Meskipun subsidi ini memberikan manfaat langsung kepada rakyat, beban kewangan yang ditanggung oleh kerajaan tidak boleh dipandang ringan.

 

 

{"preview_thumbnail":"/sites/default/files/styles/video_embed_wysiwyg_preview/public/video_thumbnails/ZQW8fzGiIyg.jpg?itok=xap8hYmE","video_url":"https://youtu.be/ZQW8fzGiIyg","settings":{"responsive":1,"width":"854","height":"480","autoplay":1},"settings_summary":["Embedded Video (Responsive, autoplaying)."]}

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan akan putuskan subsidi RON95 selepas selesai proses diesel - Amir Hamzah 

 

Perbandingan harga di ASEAN

Harga petrol bersubsidi di Malaysia adalah antara yang terendah di ASEAN. Pada harga semasa RM2.15 seliter, RON95 di Malaysia adalah 47.44% lebih murah berbanding Indonesia dan 54.24% lebih murah berbanding Vietnam.

 

Subsidi yang tinggi ini meringankan beban pengguna, tetapi juga memberi kesan besar kepada kewangan negara.

 

Perbandingan ini juga menunjukkan betapa besarnya tanggungan kerajaan dalam mengekalkan harga petrol yang rendah, yang pada akhirnya boleh menjejaskan kestabilan ekonomi jangka panjang.

 

Kesan ekonomi dan sosial

Pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel yang bermula pada 10 Jun 2024, di mana harga diesel meningkat kepada RM3.35 seliter, memberikan gambaran mengenai potensi kesan rasionalisasi RON95.

 

Menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), kenaikan 1% dalam harga diesel hanya meningkatkan indeks harga pengguna (IHP) sekitar 0.2%. Namun, kerana RON95 menyumbang sekitar 5.5% kepada IHP, perubahan harga RON95 akan memberi impak yang lebih besar kepada kos sara hidup rakyat.

 

Peningkatan harga bahan api dijangka akan mencetuskan kesan domino dalam ekonomi. Apabila harga bahan api meningkat, kos pengangkutan dan logistik akan turut meningkat. Ini seterusnya akan menaikkan harga barang keperluan asas seperti makanan dan pakaian.

 

Kos yang meningkat ini secara langsung akan menekan kuasa beli pengguna, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, yang mungkin menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan kenaikan harga tersebut.

 

{"preview_thumbnail":"/sites/default/files/styles/video_embed_wysiwyg_preview/public/video_thumbnails/cxO7XAZRiXs.jpg?itok=uWMXdPtr","video_url":"https://youtu.be/cxO7XAZRiXs","settings":{"responsive":1,"width":"854","height":"480","autoplay":1},"settings_summary":["Embedded Video (Responsive, autoplaying)."]}

 

BACA: Kerajaan dapat jimat belanja subsidi RM4.1 bilion jika petrol RON95 dinaikkan 32 sen mulai 1 Julai, capai sasaran Belanjawan 2024 - Maybank IB

 

Ramalan harga RON95: Realiti baharu

Berdasarkan analisis faktor global dan tempatan, harga RON95 dijangka meningkat kepada sekitar RM3.00 hingga RM3.50 seliter apabila subsidi dikurangkan atau dihapuskan sepenuhnya.

 

Ramalan ini mengambil kira pelbagai faktor termasuk harga minyak mentah dunia yang tidak menentu, kadar pertukaran mata wang, dan permintaan domestik yang meningkat.

 

Walaupun kenaikan harga ini bakal mengundang kejutan, ia adalah kemungkinan yang perlu dipertimbangkan jika kerajaan bertekad untuk mengurangkan subsidi secara drastik.

 

Tindakan mitigasi dan alternatif

Untuk mengurangkan impak kenaikan harga RON95 kepada golongan yang terjejas, kerajaan disarankan untuk melaksanakan beberapa langkah mitigasi. Antaranya adalah menyediakan bantuan kewangan khusus kepada golongan B40 dan M40 yang terkesan dengan kenaikan harga petrol.

 

Pemantauan harga barangan dan perkhidmatan juga perlu diperhebatkan untuk mengelakkan pencatutan oleh peniaga. Peningkatan kualiti dan kekerapan pengangkutan awam juga perlu diberi perhatian untuk menyediakan alternatif yang lebih murah dan cekap kepada rakyat.

 

Tindakan ini penting untuk memastikan bahawa kesan negatif rasionalisasi subsidi dapat dikurangkan. Meskipun kerajaan dapat menjimatkan perbelanjaan yang besar, beban kos sara hidup yang meningkat perlu ditangani dengan teliti agar tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat.

 

 

{"preview_thumbnail":"/sites/default/files/styles/video_embed_wysiwyg_preview/public/video_thumbnails/D95n-uJTYpw.jpg?itok=U0Ewp-Gg","video_url":"https://youtu.be/D95n-uJTYpw","settings":{"responsive":1,"width":"854","height":"480","autoplay":1},"settings_summary":["Embedded Video (Responsive, autoplaying)."]}

 

 

Mengenang nasib kebanyakan rakyat selepas ini

Apabila menilai rasionalisasi subsidi RON95, banyak persoalan yang timbul. Adakah ini masa yang tepat untuk melaksanakan perubahan ini?

 

Dengan kenaikan kos sara hidup yang sudah membebani rakyat, penghapusan subsidi mungkin menambah tekanan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

 

Sebaliknya, penjimatan fiskal yang dihasilkan boleh digunakan untuk memperbaiki perkhidmatan awam dan mengurangkan defisit negara. Tambahan, ia juga membolehkan lebih banyak dana disalurkan kepada sektor-sektor penting seperti kesihatan dan pendidikan.

 

Namun, apakah risiko sosial dan ekonomi yang bakal dihadapi sekiranya pelaksanaan ini dilakukan tanpa perancangan rapi?

 

Tidak dinafikan, rasionalisasi subsidi boleh menjadi satu langkah yang perlu untuk kestabilan ekonomi jangka panjang, tetapi ia memerlukan pendekatan yang berhati-hati dan inklusif.

 

Kerajaan perlu memastikan bahawa langkah-langkah sokongan seperti bantuan kewangan langsung, peningkatan pengangkutan awam, dan pemantauan harga dilaksanakan dengan berkesan.

 

Sekiranya tidak, kita mungkin akan menyaksikan peningkatan kadar kemiskinan dan ketidakseimbangan ekonomi yang lebih ketara.

 

 

{"preview_thumbnail":"/sites/default/files/styles/video_embed_wysiwyg_preview/public/video_thumbnails/zM0wNEIEKps.jpg?itok=ir6NUeYa","video_url":"https://youtu.be/zM0wNEIEKps","settings":{"responsive":1,"width":"854","height":"480","autoplay":1},"settings_summary":["Embedded Video (Responsive, autoplaying)."]}

 

 

Perlukah rasionalisasi subsidi RON95 dilakukan sekarang?

Entah, tiada jawapan. Kerana jawapannya tidak semudah YA atau TIDAK.

 

Tanyalah pada Perdana Menteri dan Menteri yang bertanggungjawab. - DagangNews.com

 

 

 

dagangnews

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN