Inflasi Malaysia: Ekonomi Yang Tak Masuk Akal | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 08 Feb 2023 07:00 AM

Inflasi Malaysia: Ekonomi Yang Tak Masuk Akal

 

 

 

MELIHAT data dan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia dan Bank Negara Malaysia (BNM) berkenaan kadar inflasi, kadar pengangguran, kadar dasar semalaman (OPR)  serta data ekonomi yang lain, ia bagai tidak masuk akal.

 

Ini kerana begitu banyak trend yang bercanggah dengan data ekonomi. Tatkala kadar faedah meningkat, kadar perbelanjaan juga turut dilihat meningkat. Walaupun dipengaruhi dengan kadar inflasi yang tinggi, orang ramai tetap tidak berhenti berbelanja.

 

Bukan belanja sekadar untuk memenuhi keperluan asas tetapi mereka juga berbelanja untuk keseronokan seperti membeli-belah di gedung-gedung serta pasar raya, makan di luar, melancong dan pelbagai lagi perbelanjaan lain yang boleh dikategorikan sebagai ‘mewah’.

 

Ia seperti tidak masuk akal!

 

Sukar untuk diperjelaskan mengapa ini terjadi, sama seperti dua sisi pada syiling – dua sisi untuk setiap cerita – yang merujuk kepada kisah dua pengguna.

 

Ada yang dapat meneruskan hidup seperti biasa dengan menanggung kenaikan kos sara hidup sama ada tanpa sebarang bantuan atau dengan bantuan dari kerajaan. Tetapi malang, realitinya ramai yang terkesan, terpaksa mengeluarkan dan menggunakan simpanan untuk menanggung kenaikan kos sara hidup di samping menanggung beban hutang yang banyak.

 

Tidak dinafikan berdasarkan data ekonomi, boleh dilihat bahawa jurang bagi pendapatan isi rumah golongan masyarakat di Malaysia (yang merujuk kepada B40, M40 dan T20) semakin melebar.

 

 

parafrasa

 

 

Inflasi Oh Inflasi…

Sedar atau tidak, harga barangan dan perkhidmatan berubah pada kadar yang berbeza dan menurut teori ekonomi harga barang berubah bergantung kepada penawaran dan permintaan.

 

Tetapi dengan kehadiran inflasi, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang tidak menentu sudah tentu tidak dapat dielakkan! Inflasi telah menyebabkan pengguna kehilangan kuasa membeli bagi sesetengah pengguna, malah menyebabkan pendapatan yang diterima sebenarnya lebih kecil kerana pendapatan yang diterima oleh mereka tidak dapat menampung kenaikan harga barang dan perkhidmatan semasa.

 

Untuk rekod, berdasarkan data inflasi terbaru Malaysia bagi bulan Disember 2022 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar inflasi Malaysia mereda kepada 3.8 peratus berbanding 4.0 peratus seperti yang dicatat pada bulan November 2022. Ini didorong oleh kenaikan perlahan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.

 

Inflasi  yang dilihat mereda ini menunjukkan bahawa langkah pengetatan dasar monetari yang diambil oleh BNM mula membuahkan hasil (meredakan inflasi). Tetapi! Kadar inflasi bagi keseluruhan tahun 2022 meningkat 3.3 peratus berbanding dengan 2.5 peratus yang dicatatkan pada  tahun 2021. Tetap tinggi, bukan?

 

Inflasi telah memutarbelitkan dan menghuru-harakan kuasa beli pengguna dari masa ke masa. Contohnya pesara yang menerima kadar pencen secara tetap setiap tahun (tiada kenaikan tahunan).

 

Jika inflasi meningkat secara purata sebanyak 4 peratus setiap tahun, ia akan memberi kesan langsung kepada kuasa beli pesara. Kuasa beli mereka berkurangan secara purata sebanyak 4 peratus berbanding dengan kadar tetap pencen yang diterima oleh mereka setiap tahun.

 

 

parafrasa

 

 

Sama juga dengan pekerja yang menerima pendapatan tetap dan menerima kenaikan secara purata sebanyak 4 peratus setiap tahun. Sekiranya, jika inflasi secara purata meningkat lebih dari 4 peratus setiap tahun, kenaikan gaji ini tidak bermakna kerana kenaikan ini hanya boleh menampung kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang meningkat disebabkan oleh inflasi.

 

Realitinya, inflasi adalah masalah yang membelenggu pengguna! Inflasi sebenarnya menghakis pendapatan pengguna dan menyebabkan mereka kehilangan kuasa beli.

 

Sudah tentu yang paling terkesan dan menderita adalah dari golongan pendapatan isi rumah B40 dan M40. Pendapatan yang diterima oleh mereka meningkat sedikit tetapi harga barangan dan perkhidmatan (terutamanya keperluan) terus meningkat naik secara mendadak.

 

Sebaliknya, golongan T20 yang terdiri dari ahli perniagaan, ahli industri, peniaga, pemain hartanah, spekulator dan lain-lain sebenarnya mendapat keuntungan semasa inflasi. Mereka bertambah kaya dengan kenaikan kos yang terpaksa ditanggung oleh golongan B40 dan M40. Dalam erti kata lain, terdapat pemindahan pendapatan dan kekayaan daripada golongan B40 dan M40 kepada T20.

 

Ini sama seperti yang diperkatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya bulan lepas:

 

“Ini adalah mengaibkan dan memalukan apabila masih wujud isi rumah dalam kategori miskin di saat pimpinan atasan hidup mewah dan terus mengutip habuan yang bukan hak mereka.”

 

Beliau turut menambah, prinsip 'unbridled capitalism' yang diamalkan di negara ini suatu ketika dahulu telah menjadi bukti golongan maha kaya terpilih menguasai hampir kesemua bidang ekonomi.

 

 

anwar

 

 

Ia menunjukkan kegagalan kerajaan kerana tidak mempunyai keupayaan untuk mengenal pasti syarikat atau kelompok baharu untuk dilatih, diangkat bersama dan diberikan peluang supaya jurang pendapatan isi rumah dapat dikurangkan.

 

Dengan menyamarkan ketamakan seperti undang-undang penawaran dan permintaan, kapitalisme yang tidak terkawal mengutamakan keuntungan berbanding orang ramai.

 

Pengumpulan kekayaan melampau yang disalurkannya ke tangan golongan maha kaya terpilih dan kekayaan dibina atas perbelanjaan majoriti. In menjadi sukar untuk mewujudkan perpaduan dalam persekitaran yang ketidaksamaan melebar antara golongan kaya dan miskin.

 

Golongan yang hidup dalam kemiskinan diabaikan – seperti tidak pernah wujud dan tidak pernah kelihatan atau diketepikan serta dianggap sebagai masalah. Ini secara langsung telah menghakis prinsip demokrasi.

 

Turun Naik OPR!

Umum mengetahui, bank pusat  (yang merujuk kepada BNM di Malaysia) adalah institusi awam yang bersifat unik.

 

Bank pusat unik adalah disebabkan mereka adalah entiti bebas yang  bukan komersial yang ditugaskan untuk menguruskan mata wang sesebuah negara serta mempunyai kuasa eksklusif untuk mengeluarkan wang kertas juga syiling, mengawal rizab asing, bertindak sebagai pemberi pinjaman kecemasan dan menjamin kesihatan keseluruhan sistem kewangan sesebuah negara dengan baik.

 

Misi utama bank pusat adalah untuk memastikan kestabilan harga barangan dan perkhidmatan. Ini bermaksud, bank pusat memainkan peranan dalam mengawal inflasi – apabila harga naik mendadak – dan juga deflasi – apabila harga turun dengan cepat.

 

 

BNM

 

 

Selepas pandemik COVID-19 membadai negara, inflasi mula melonjak – harga barangan dan perkhidmatan naik begitu cepat jika dibandingkan sebelum pandemik. Ini telah meletakkan bank pusat dalam masalah kerana inflasi yang melonjak dengan cepat membawa lebih banyak kemusnahan terhadap ekonomi.

 

Bila inflasi berlaku, inilah masa untuk dasar monetari dimainkan oleh BNM!

 

Apabila bank pusat mula memainkan dasar monetari untuk mengawal inflasi, ia biasanya akan memberi tumpuan kepada kadar faedah atau di Malaysia, ia merujuk kepada OPR.

 

Dengan meningkatkan kos pinjaman melalui OPR, secara teorinya, ini adalah satu kaedah untuk bank pusat mengawal inflasi.

 

Tetapi kesan langsung dari dasar pengetatan monetari ini menyebabkan pengangguran bertambah serta kadar pendapatan isi rumah menurun menyebabkan permintaan menurun ke tahap yang sama dengan penawaran. 

 

Dalam erti kata lain, bank pusat menjadikan pengguna lebih miskin supaya mereka hanya boleh membelanjakan pendapatan dengan sedikit.

 

Pada 19 Januari lepas, BNM telah membuat kejutan dengan memutuskan untuk mengekalkan kadar OPR pada 2.75 peratus.

 

Sebelum ini OPR telah naik empat kali berturut-turut sejak tahun lalu bermula bulan Mei, Julai, September dan November, dengan mencatat kenaikan sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.

 

 

BNM

 

 

Kenaikan OPR empat kali berturut-turut ini adalah sebenarnya langkah awal yang diambil oleh BNM untuk menguruskan risiko permintaan berlebihan terhadap tekanan harga serta mengimbangi risiko antara inflasi dan pertumbuhan ekonomi.

 

Tetapi keputusan untuk mengekalkan kadar OPR pada 2.75 peratus dilihat sebagai langkah yang amat mengejutkan, kerana melalui tinjauan yang dilakukan oleh Bloomberg dan Reuters terhadap ahli ekonomi, majoriti menjangkakan BNM bakal menaikan kadar mata asas sebanyak 25 kepada 3 peratus.

 

Ini merungkaikan persoalan yang sukar  dihadapi oleh BNM mengenai masa yang tepat untuk menghentikan seketika kenaikan OPR. Jika OPR dinaikkan secara berterusan, kemelesetan yang menyakitkan boleh berlaku. Tetapi jika menghentikan kenaikan OPR terlalu awal, inflasi yang tinggi boleh datang meraung kembali!

 

Walaupun OPR kekal kali ini, tetapi ahli ekonomi tetap menjangkakan BNM akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas pada bulan Mac ini kepada 3 peratus kerana kadar inflasi masih dilihat tinggi dan terdapat risiko kenaikan inflasi.

 

Ini juga selaras dengan langkah yang bakal di ambil oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) untuk mengetatkan dasar monetari bagi mengembalikan kadar inflasi kepada 2 peratus dari semasa ke semasa.

 

BNM juga melalui kenyataan rasmi secara jelas menyatakan akan terus menentukur tetapan dasar monetari yang mengimbangi risiko kepada inflasi domestik dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

 

Apa yang BNM cuba capai sebenarnya adalah mengawal inflasi tanpa menyebabkan kemelesetan ekonomi.

 

 

wainuiomata

 

 

Ekonomi Yang Pelik

Berbalik kepada data ekonomi, ada beberapa petunjuk ekonomi berada dalam keadaan buruk, tetapi ada petunjuk ekonomi yang lain menunjukan sebaliknya.

 

Jelas, masih banyak risiko yang perlu diambil kira – seperti pemulihan ekonomi China daripada pandemik COVID-19, perang di Ukraine yang belum tamat, masalah rantaian bekalan makanan, tekanan hutang, inflasi yang berterusan serta kejatuhan pasaran kewangan secara tiba-tiba, yang bakal memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi dan dalam beberapa situasi, ia menambah lagi tekanan kepada inflasi.

 

Jika anda keliru tentang keadaan ekonomi semasa dan di mana ia menuju, anda sebenarnya tidak bersendirian.

 

Ramai yang keliru. Tetapi, adakah keadaan ekonomi yang pelik sebenarnya memberi amaran tentang kemelesetan yang bakal berlaku – ataupun tidak? – DagangNews.com

 

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN