Manifesto PH sukar dipercayai setelah tidak ditunaikan, Bajet 2023 lebih diyakini
Oleh Wan Mohd Farid Wan Zakaria
KRISIS kos sara hidup dan ekonomi yang melanda negara pasti menjadi salah satu elemen yang bakal diletakkan dalam manifesto politik yang bakal bertembung pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November ini.
Seperti tidak makan benang, pasti pelbagai janji-janji bulan bintang bakal disajikan di dalam manifesto untuk memujuk pengundi menyokong mereka.
Jadikan pencapaian terdahulu sebagai penanda aras sama ada parti yang bertanding mampu atau tidak melaksanakan manifesto mereka.
Manifesto Politik
Manifesto politik merupakan dokumen yang menjelaskan dan menggariskan secara terperinci keutamaan dan dasar parti bertanding yang mencerminkan keutamaan mereka dalam pelbagai isu serta tindakan tertentu yang akan mereka laksanakan sekiranya dipilih (menang).
Ia juga memberi penjelasan tentang apa dan setiap dasar yang cuba dicapai dan mengapa itu akan menjadi perkara yang lebih baik jika mereka terpilih.
Kebiasaannya manifesto politik merangkumi pelbagai isu antaranya adalah seperti politik, ekonomi, kesihatan, pendidikan, kebajikan, pekerjaan, pertahanan negara, alam sekitar serta dasar yang menyentuh tentang hubungan dan kerjasama luar negara.
Perlu diingat, manifesto tidak akan mengikat mana-mana parti politik untuk melaksanakan apa-apa perkara yang mereka taburkan dalam manifesto mereka jika mereka berjaya dipilih. Tetapi pengundi akan kecewa dan tidak akan lupa janji manifesto atau janji manis mereka.
Ini adalah antara kelemahan manifesto, kerana mereka tidak menyatakan bagaimana mereka akan lakukannya kerana mereka tahu bahawa ada perkara yang ditaburkan dalam manifesto sebenarnya tidak praktikal dan sukar untuk dilaksanakan.
Ia sekadar janji bulan bintang untuk memancing undi.
Bajet 2023 masuk akal, boleh direalisasikan
Tampil dengan kelainan pada PRU15 kali ini, salah satu parti bertanding iaitu Barisan Nasional (BN) telah menjadikan Bajet 2023 sebagai manifesto mereka.
Dengan bertemakan Memperkukuh Pemulihan, Memudah Cara Pembaharuan ke arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia, bajet 2023 merupakan bajet terbesar yang pernah dicatat dalam sejarah iaitu berjumlah RM372.3 bilion.
Bersesuaian dengan tema, bajet inklusif yang mengutamakan rakyat, perniagaan, ekonomi dan kerajaan dilihat mampu membawa kepada kestabilan ekonomi dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan.
Bukan sahaja menjadi bajet terbesar dalam sejarah, bajet ini juga telah diaudit oleh firma audit terkemuka seperti PwC, KPMG dan Ernst & Young dan mendapat pujian dan dianggap satu mekanisme terbaik untuk menghadapi kemelesetan ekonomi.
Pentingnya Bajet 2023
Komitmen yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa jika terpilih dan diberi mandat membentuk kerajaan, Bajet 2023 akan dibawa semula ke Dewan Rakyat selepas PRU15.
Ini merupakan komitmen yang tidak ternilai yang diharap dapat membawa negara kembali dalam landasan ekonomi yang lebih kukuh, lebih berdaya tahan dan lebih moden.
Bagi mengurangkan penderitaan rakyat dan memastikan kelangsungan hidup, RM1 bilion bakal disalurkan kepada program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang merupakan salah satu inisiatif yang telah dilaksanakan kerajaan dalam membasmi kemiskinan tegar dalam kalangan Keluarga Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Bantuan Keluarga Malaysia juga ditambah baik dalam Bajet 2023 dengan peruntukan sebanyak RM7.8 bilion dan bakal memberi manfaat kepada 8.7 juta penerima. Antara manfaat yang ditambahbaik adalah seperti berikut:
- Tambahan peruntukan kepada ibu atau bapa tunggal yang layak, bantuan maksimum sehingga RM3,000 (tambahan sebanyak RM500 berbanding RM2,500 pada tahun 2022).
- Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) berjumlah RM2,500 untuk keluarga dengan pendapatan bulanan kurang RM2,500 yang menampung lima anak atau lebih. Bagi isi rumah yang mempunyai anak sehingga empat orang pula, mereka layak menerima BKM antara RM1,000 hingga RM2,000.
- Bagi isi rumah yang berpendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000, mereka layak menerima BKM sebanyak, antara RM500 sehingga RM1,250 dan bergantung kepada bilangan anak.
- Buat warga emas, BKM adalah sebanyak RM600 manakala bujang layak menerima BKM berjumlah RM350 bergantung kepada had pendapatan tertentu.
Golongan susah juga bakal diberi keutamaan melalui Bajet 2023 dengan peruntukan sebanyak RM2.5 bilion buat 450,000 lebih isi rumah yang layak menerima melalui bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Subsidi bil eletrik sehingga RM40 juga diperuntukkan yang bakal meringankan beban golongan miskin tegar e-Kasih.
Memandangkan bencana banjir yang berterusan terus menghantui rakyat, kerajaan telah memberi komitmen melalui bajet dengan menyalurkan sebanyak RM400 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk kesiapsiagaan bencana dengan memberi batuan segera jika berlaku banjir yang diramalkan berlaku hujung tahun ini.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga bakal menerima peruntukan sebanyak RM47 juta sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang bencana.
Tidak terhad dengan itu, sebanyak RM562 juta diperuntukkan bagi membangunkan Projek Empangan Sabo di 46 lokasi seluruh negara bertujuan mengurangkan risiko banjir puing dan banjir lumpur.
Manakala RM500 juta pula bakal disalurkan untuk fasa tambahan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) di Sungai Golok, Kelantan.
Sebelum ini kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM465 juta dan peruntukan tambahan bernilai RM200 juta menjadikan nilai keseluruhan sebanyak RM665 juta untuk projek PLSB ini.
Melalui Bajet 2023, Sabah dan Sarawak tidak ketinggalan. Kedua-dua negeri ini bakal menerima manfaat besar dalam perbelanjaan peruntukan pembangunan negara.
Sebanyak RM11.7 bilion diperuntukkan untuk kedua negeri itu, di mana Sarawak bakal menerima RM5.4 bilion peruntukan untuk perbelanjaan pembangunan dan Sabah pula sebanyak RM6.3 bilion.
Peruntukan perbelanjaan pembangunan ini adalah untuk melaksanakan dan menaik taraf infrastruktur termasuk bekalan air, elektrik, kemudahan jalan raya, kesihatan dan pendidikan.
Kerajaan melalui Bajet 2023 juga bersetuju untuk menyalurkan sejumlah RM1.2 bilion bertujuan untuk menaik taraf bangunan dan infrastruktur pendidikan (sekolah) yang daif khususnya di dua negeri ini.
Dalam meningkatkan kualiti hidup untuk golongan muda melalui pendidikan dan tawaran pekerjaan.
Golongan muda juga telah terkesan dan menanggung kesan daripada kejutan dan ketidaktentuan ekonomi ketika ini.
Melalui Bajet 2023, kerajaan telah merangka semula peruntukan dengan menaikkan Elaun Sara Hidup JPA sebanyak RM100 bagi pelajar dan pegawai dalam negara.
Bagi yang mempunyai pinjaman pendidikan, diskaun 20 peratus membabitkan penyelesaian penuh hutang PTPTN.
Tidak terhad dengan itu, tawaran diskaun sebanyak 15 peratus untuk baki 50 peratus hutang dan juga buat peminjam yang memilih bayaran secara potongan gaji.
Ini menunjukkan kerajaan sedar dengan beban yang ditanggung oleh peminjam dan diharap ini dapat memudahkan dan mengurangkan beban peminjam sebaik mereka tamat pengajian.
Buat graduan yang mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama, bayaran balik pinjaman PTPTN dikecualikan.
Seterusnya, dalam ruang meningkatkan kemahiran dalam melahirkan lebih banyak modal insan, kerajaan telah memberi komitmen dengan menyediakan sebanyak RM6.7 bilion peruntukan untuk pendidikan vokasional.
Peruntukan ini disediakan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) melalui Majlis TVET Negara.
Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM3.8 bilion untuk biasiswa dan pinjaman pendidikan untuk pelajar meneruskan pengajian sehingga ke menara gading.
Dengan peruntukan ini, diharapkan ia bakal memberi manfaat kepada pelajar dan golongan muda yang terlibat.
Golongan muda yang berumur antara 18-20 yang bakal mengundi pada PRU15, perlu cakna dengan Bajet 2023 ini.
Buka mata dan jadilah pengundi yang bijak! Jangan tertipu dengan janji bulan bintang yang ditaburkan dalam manifesto kerana sudah terbukti apa yang ditaburkan seperti dijanjikan dalam manifesto sebelum ini tidak praktikal dan tidak boleh dilaksanakan.
Jadikan ia sebagai pengajaran agar perkara sama tidak berulang lagi!
Banyak lagi manfaat yang bakal diterima oleh rakyat jika Bajet 2023 dapat direalisasikan. Nescaya jika ia dapat dilaksanakan ia adalah mekanisme yang telah didokumenkan dan diaudit, yang dilihat ampuh, yang bakal memberi kesan kepada semua serta mampu membawa kepada kestabilan ekonomi.
Pilihan di Tangan Anda
Kita tidak pasti yang terpilih akan laksanakan apa yang dijanjikan seperti apa yang dikatakan dalam manifesto.
Membuat manifesto itu mungkin dilihat mudah memandangkan manifesto bukanlah kitab suci untuk dilaksanakan oleh pihak yang menang.
Realitinya, sudah terbukti, manifesto hanyalah sekadar janji, modal untuk umpan memancing undi!
Umpama pemanis seperti gula untuk menarik perhatian semut, manifesto pula adalah modal buat mereka untuk mencanang gendang di atas pentas kempen, digunakan untuk memancing dan meraih sokongan.
Sebaik menang, manifesto hanyalah manifesto, terbuku usang dan dibiarkan seolah tidak pernah wujud, laksana kera dapat bunga.
Yang pasti, peperangan informasi, propaganda dan perang saraf politik bakal menerjah dan mewarnai kehidupan dan pemikiran kita bertali-arus saban hari tidak henti-henti sepanjang PRU15 ini berlangsung.
Buat pilihan dengan tepat dan undilah dengan bijak demi masa hadapan yang lebih baik. - DagangNews.com
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat