Politik Malaysia: Dilema Akta Anti Lompat Parti | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 15 Nov 2023 08:00 AM

Politik Malaysia: Dilema Akta Anti Lompat Parti

 

 

 

AKTA Anti Lompat Parti kembali menjadi tumpuan dalam landskap politik Malaysia apabila empat Ahli Parlimen dari blok pembangkang yang juga dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), telah membuat keputusan dengan menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Sokongan ini menimbulkan kekeliruan apakah tindakan ini dianggap sebagai lompat parti.

 

Lebih rumit lagi, mereka turut memohon untuk menukar tempat duduk di Dewan Rakyat. Permohonan telah diterima oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, dan keputusan akan diumumkan pada Khamis ini.

 

Tambahan pula, Johari berkongsi pendapatnya mengenai tindakan mereka dengan menyatakan;

 

“Akta Anti Lompat Parti tidak menyekat mana-mana Ahli Parlimen untuk memberi sokongan terhadap Perdana Menteri kerana perbuatan itu tidak menyebabkan mereka kehilangan kerusi yang disandang.”

 

Walaupun telah dijelaskan, tindakan ini mencerminkan kekurangan kejelasan dalam Akta Anti Lompat Parti. Selain itu, sudah jelas bahawa tidak ada kesetiaan kepada parti, tanpa mengira alasan yang diberikan.

 

Pada akhirnya, segalanya bergantung kepada pandangan pengundi, rakyat, dan orang ramai terhadap tindakan sedemikian, kerana landskap politik Malaysia sentiasa penuh dengan kejutan. Pendapat mungkin berbeza mengenai sama ada tindakan mereka disokong atau tidak. Banyak mungkin bersetuju atau tidak bersetuju dengan tindakan mereka.

 

Menolak Klausa Penting, Akhirnya Memakan Parti Sendiri

Apabila dibentangkan buat kali pertama dalam mesyuarat Jemaah Menteri, terdapat penolakan klausa penting yang digubal iaitu merujuk kepada peruntukan untuk mengisytiharkan pengosongan kerusi jika seorang ahli Parlimen bertentangan pendirian atau melanggar prinsip parti di Dewan Rakyat.

 

Beberapa pemimpin Bersatu menolak peruntukan dalam draf Akta Anti Lompat Parti, mengakibatkan ia dikeluarkan daripada Rang Undang-Undang dan pada akhirnya memakan parti mereka sendiri.

 

Khairy Jamaluddin Abu Bakar, bekas Ketua Pemuda UMNO, membincangkan perkara ini dalam siaran Podcast Keluar Sekejap bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

 

"Ironinya individu yang menentang adalah ahli Parlimen dan menteri Bersatu, iaitu dari Perikatan Nasional (PN) sekarang ini, antara paling lantang tidak menyokong draf berkenaan”

 

“Menteri-menteri yang bantah itu kini menjadi mangsa terhadap draf yang telah dipinda dan diluluskan,” katanya dalam siaran Podcast tersebut.

 

Akta Anti Lompat Parti yang telah dipinda dan diluluskan kelihatan kurang memadai untuk menangani kerumitan kesetiaan politik, terutamanya di kalangan Ahli Parlimen.

 

Perkara ini, merujuk kepada kelompongan, sebenarnya sudah disedari sebelum ia dibentangkan lagi apabila bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Tan Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, telah memberikan pandangan penting dengan menjelaskan tiga elemen utama dalam menentukan lompat parti dalam cadangan pindaan Perlembagaan berkaitan Akta Anti Lompat Parti.

 

  1. Menang dan Pergi: Wan Junaidi menjelaskan bahawa apabila seorang Ahli Parlimen memenangi pilihan raya dan seterusnya mengisytiharkan keluar parti untuk menjadi Ahli Bebas  atau menyertai parti lain, ia dianggap melompat parti. Definisi ini bertujuan untuk memastikan Ahli Parlimen mematuhi perlembagaan, peraturan dan disiplin parti.

 

  1. Dipecat oleh Parti: Satu lagi bentuk yang boleh diklasifikasikan sebagai melompat parti apabila Ahli Parlimen yang memenangi kerusi Parlimen tetapi dipecat oleh parti. Ini bertujuan memastikan Ahli Parlimen mematuhi perlembagaan, peraturan dan disiplin parti masing-masing. Parti-parti yang menolak seorang Ahli Parlimen berdepan risiko kehilangan kerusi itu, sekali gus memerlukan pilihan raya diadakan semula.

 

  1. Pemenang Bebas Sertai Parti: Wan Junaidi juga menegaskan jika Ahli Parlimen Bebas yang memenangi kerusi itu dalam pilihan raya, kemudian mengumumkan menyertai mana-mana parti politik selepas kemenangan itu, ia juga dianggap melompat parti. Ini kerana tindakan sedemikian dilihat bercanggah dengan mandat yang diberikan oleh rakyat semasa pilihan raya, di mana pengundi mungkin memilih calon Bebas berbanding calon lain. Jadi, kerusi parlimen itu perlu dikosongkan dan mandat perlu dipulangkan kepada rakyat iaitu pengundi.

 

Selain itu, Wan Junaidi menegaskan bahawa cadangan pindaan itu bukan bersifat retroaktif tetapi bersifat prospektif. Kebanyakan Ahli Parlimen pada masa itu bersetuju dengan draf pindaan itu menerusi satu sesi libat urus, yang menunjukkan kemahuan kolektif untuk menangani lompat parti menerusi pelaksanaan pilihan raya semula.

 

Keperluan Pindaan Perundangan Akta Anti Lompat Parti

Berdasarkan situasi semasa, yang melibatkan lompat parti dan Akta Anti Lompat Parti, sebenarnya ia menjadi pengajaran berharga buat parti yang terkesan dalam menyesuaikan niat perundangan dengan dinamik politik dalaman parti.

 

Ia mendorong penilaian semula bagaimana langkah perundangan dapat menyesuaikan diri dengan realiti rumit kesetiaan politik, permainan kuasa, dan keperluan pindaan undang-undang yang berkaitan.

 

Pandangan serta penjelasan Wan Junaidi sebelum ini sebenarnya telah menyediakan asas yang berharga untuk menyempurnakan semula akta tersebut dan menuntut pendekatan yang lebih holistik.

 

Menurut pakar undang-undang Datuk M. Reza Hassan, sokongan Ahli Parlimen pembangkang terhadap PM tidak terjejas oleh perkara 49A(2) Perlembagaan Persekutuan. Mereka masih memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen yang sah, setidaknya dari segi kerusi yang dimenangi.

 

Fasal 2 Perkara 49A menyatakan tiga pengecualian di mana keahlian seseorang ahli parlimen dalam Dewan Rakyat tidak terhenti hanya disebabkan oleh:

 

  1. pembubaran atau pembatalan pendaftaran parti politiknya,
     
  2.  pelepasan keanggotaan ahli parlimen itu daripada parti politiknya apabila dia dipilih sebagai Yang di-Pertua Dewan, dan
     
  3. pemecatannya daripada keanggotaan dalam parti politiknya.

 

Ini menjelaskan pandangan Reza, dan jelas bahawa peruntukan ini menimbulkan kebimbangan mengenai keberkesanan undang-undang, meninggalkan ruang untuk ketidakpastian, dan potensi untuk dieksploitasi.

 

Ketua Kluster Governans, Perundangan, dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, turut menyorot kelemahan dalam undang-undang Akta Anti Lompat Parti.

 

Beliau mencadangkan penyelarasan dengan memasukkan klausa ke dalam perlembagaan parti, memastikan Ahli Parlimen secara automatik kehilangan kerusi jika menyimpang dari kesetiaan parti, memberikan penyelesaian yang berpotensi untuk mengatasi jurang undang-undang sedia ada.

 

Menuju ke Arah Kerangka Politik yang Berdaya Tahan

Dalam menghadapi ketidakstabilan politik yang terungkap melalui fenomena lompat parti di Malaysia, perubahan paradigma menjadi suatu keperluan mendesak.

 

Pendekatan undang-undang yang lebih nuansa diperlukan untuk menangani realiti politik yang kompleks, dengan mengekalkan akauntabiliti sambil memberikan fleksibiliti kepada Ahli Parlimen.

 

Selain itu, kepimpinan politik memainkan peranan kritikal dalam menangani cabaran ini, memerlukan kebijaksanaan untuk mengekalkan perpaduan parti tanpa mengabaikan dinamik dan  realiti politik yang berubah.

 

Negara perlu bergerak ke arah kerangka politik yang berdaya tahan, mengakui ketidakstabilan pakatan, dan menggalakkan persekitaran politik yang menghormati ketelusan dan keupayaan untuk berkembang seiring dengan perubahan zaman.

 

Keadaan ini sepatutnya menjadi pemacu untuk semua pihak terlibat menjalankan dialog secara bijaksana dan inklusif berhubung dengan perundangan semasa, seperti Akta Anti Lompat Parti. - DagangNews.com

 

 


Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

 

 

 

dagangnews