Tahun Baharu Cina: Mengenal, memahami mitos dan tradisi
MALAYSIA merupakan sebuah negara yang unik kerana masyarakatnya terdiri daripada berbilang kaum dan agama.
Kehadiran Tahun Baharu Cina, bagi sesetengah orang adalah satu lagi cuti panjang untuk mereka berehat, pulang ke kampung dan menghabiskan masa bersama keluarga.
Bagi kaum Cina, Tahun Baharu Cina adalah salah satu perayaan yang paling penting dalam kalangan mereka. Ia bukan sahaja disambut oleh kaum Cina di China tetapi juga disambut meriah di banyak negara lain yang mempunyai bilangan penduduk Cina yang besar seperti Singapura, Malaysia dan Indonesia.
Perayaan ini biasanya jatuh antara 21 Januari dan 20 Februari, dan disambut selama 15 hari.
Pada tahun 2023, perayaan ini disambut pada 22 Januari, menandakan permulaan tahun baharu dan permulaan tahun zodiak haiwan seterusnya dalam kitaran 12 zodiak haiwan Cina.
2023 Adalah Tahun Arnab
Mengikut kitaran kalendar 12 zodiak haiwan Cina, tahun ini adalah Tahun Arnab. Manakala tahun sebelumnya adalah Tahun Harimau dan tahun hadapan pula adalah Tahun Naga.
Sebagai tambahan kepada kitaran haiwan dalam Zodiak Cina, setiap haiwan dikaitkan dengan salah satu daripada lima unsur iaitu iaitu api, bumi, air, kayu dan besi yang boleh dikaitkan dengan "kekuatan hidup" atau "chi" mereka sendiri serta nasib dan kekayaan yang sepadan.
Jadi secara teknikalnya berdasarkan kalendar zodiak Cina dan unsur, tahun ini adalah Tahun Arnab Air.
Arnab adalah simbolik kepada umur panjang, keamanan, dan kemakmuran dalam budaya masyarakat Cina. Oleh itu 2023 diramalkan sebagai tahun harapan.
Mitos Perayaan Tahun Baharu Cina
Seperti kebanyakan perayaan tradisional, terdapat banyak cerita dan mitos yang boleh dikaitkan dengan perayaan Tahun Baharu Cina.
Satu daripadanya yang paling popular adalah mengenai binatang mitos yang merujuk kepada Nian.
Ia digambarkan sebagai binatang mitos yang ganas, mempunyai gigi tajam serta tanduk dan tinggal di bawah laut atau di kawasan pergunungan.
Setiap malam semasa kedatangan Tahun Baharu, ia akan merangkak keluar dari sarang dan menyerang kampung berhampiran. Nian akan melakukan kerosakan serta kemusnahan dengan memakan binatang ternakan, merosakkan tanaman dan juga memakan penduduk kampung terutamanya kanak-kanak.
Dikatakan pada satu ketika, muncul seorang lelaki tua yang bijak mengatakan bahawa dia tidak akan lari bersembunyi seperti penduduk kampung yang lain. Dia berkeras untuk bermalam dengan tujuan untuk membalas dendam terhadap Nian yang telah banyak melakukan kerosakan dan kemusnahan.
Lelaki tua yang bijak itu telah berjaya menakutkan Nian dengan memakai pakaian merah, meletakkan kertas merah di pintu rumah dan membakar mercun.
Dengan cara membakar mercun, ia berjaya menghalau Nian kerana Nian takut dengan bunyi mercun yang kuat. Nian juga dikatakan takut dengan warna merah.
Sejak dari itu, Nian tidak pernah lagi kembali ke kampung itu dan rata-rata penduduk kampung percaya bahawa lelaki tua itu adalah dewa yang datang untuk menyelamatkan mereka.
Penduduk kampung juga mempelajari dari lelaki tua yang bijak itu dan mendapati bahawa Nian takut dengan warna merah dan bunyi yang kuat.
Sejak dari itu, apabila Tahun Baharu menjelang tiba, penduduk kampung akan memakai pakaian merah, menggantung tanglung merah, meletakkan kertas merah (skrol) pada tingkap dan pintu rumah serta membakar mercun untuk menakutkan Nian.
Tradisi ini berterusan sehingga ke hari ini.
Aktiviti Tradisi Sambutan Tahun Baharu Cina
Dengan perayaan yang berlangsung selama 15 hari atau lebih, banyak aktiviti tradisi yang berlaku dalam tempoh tersebut. Semuanya bermula seminggu sebelum sambutan perayaan itu berlaku.
Sebelum sambutan Tahun Baharu Cina bermula, pembersihan rumah secara menyeluruh akan dilakukan pada hari-hari menjelang tahun baru. Amalan ini dipercayai akan menyapu semua nasib buruk (malang) yang terkumpul pada tahun sebelumnya dan memberi laluan kepada nasib baik dan kemakmuran pada tahun baharu.
Selepas pembersihan menyeluruh dilakukan, rumah tidak akan dibersihkan semasa permulaan Tahun Baharu Cina kerana ini mungkin menyebabkan nasib baik disapu keluar.
Rumah juga dihiasi dengan tanglung merah serta potongan kertas berdasarkan zodiak haiwan Cina atau perkataan yang membawa maksud baik dan mendatangkan tuah dalam bahasa Cina.
Warna merah adalah sinonim dengan perayaan ini kerana ia dianggap sebagai membawa tuah serta melambangkan kemakmuran dalam kalangan masyarakat Cina. Ia juga dipercayai boleh menghalau roh jahat dan unsur negatif.
Selain warna merah, elemen emas seperti limau mandarin dan warna emas juga digunakan untuk menghias rumah kerana emas melambangkan kekayaan dan mengundang rezeki.
Pada Malam Tahun Baru Cina, semua sanak saudara sama ada mereka yang tinggal berjauhan ataupun mereka yang tinggal berdekatan akan berkumpul di rumah ibu bapa mereka untuk makan besar.
Makan besar ini menandakan ‘tuan yuan’ yang bermaksud berkumpulnya semua ahli keluarga untuk mengeratkan silaturahim.
Adat ini dapat memperlihatkan sifat masyarakat Cina yang tidak lupa akan asal usul di samping menunjukkan ketaatan anak-anak terhadap ibu bapa.
Oleh itu, makanan menjadi salah satu unsur penting dalam sambutan Tahun Baharu Cina. Hidangan yang bakal dihidangkan dipilih dengan teliti dan biasanya membawa makna yang signifikan adalah dengan nasib, tuah dan kekayaan.
Antara hidangan yang dihidangkan adalah seperti ladu, daging, sayur-sayuran, kek beras pulut manis (Nian Gao), Yee Sang dan lain-lain.
Hidangan ini bukan saja-saja dihidangkan tetapi dipercayai membawa tuah dan kemakmuran untuk tahun baharu. Setiap hidangan ini mempunyai makna signifikan dan maksud tersendiri yang istimewa daripada perayaan ini.
Sebagai contoh Yee Sang yang melambangkan kemewahan, kekayaan, kebahagiaan dan kemakmuran. Dalam bahasa Cina, Yee bermaksud 'Ikan' yang juga mempunyai persamaan sebutan dengan perkataan 'senang' dan Sang bermaksud 'mentah' yang boleh disamakan dengan 'kelahiran semula'.
Nian Gao pula membawa maksud berharap untuk ‘beroleh pendapatan yang lebih tinggi atau jawatan yang lebih tinggi’.
Satu lagi tradisi penting ialah pemberian paket merah atau lebih dikenali sebagai Ang Pow.
Ang Pow ialah pemberian wang tunai yang berjumlah daripada beberapa ringgit hingga jumlah yang agak besar, bergantung pada hubungan pemberi dengan penerima.
Kebiasaannya Ang Pow ini diberikan oleh ahli keluarga yang lebih tua kepada yang lebih muda terutamanya kanak-kanak dan dipercayai boleh membawa tuah dan kemakmuran untuk tahun baharu.
Ini juga adalah cara bagi generasi yang lebih tua untuk menyampaikan kekayaan mereka kepada generasi muda untuk mereka menjalani kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.
Tidak lengkap perayaan Tahun Baharu Cina tanpa tarian singa dan juga tarian naga. Kedua-dua tarian ini adalah salah satu tradisi terpenting pada Tahun Baharu Cina. Ia biasanya dilakukan di hadapan rumah dan premis perniagaan kerana ia boleh membawa tuah serta rezeki untuk tahun baharu.
Dengan paluan gendang yang meriah, bunyi dan aura daripada tarian naga atau tarian singa juga dipercayai boleh menghalau segala unsur jahat, musibah dan malapetaka supaya tahun baharu ini menjadi lebih baik.
Bagi kaum Cina, singa dianggap sebagai haiwan yang bertuah yang melambangkan kekuasaan, kebijaksanaan dan ketangkasan manakala Naga pula melambangkan kebijaksanaan, kekuasaan, kekayaan serta dipercayai membawa tuah.
Selepas dua minggu, perayaan Chap Goh Meh atau juga dikenali sebagai pesta Tanglung menandakan berakhirnya perayaan Tahun Baharu Cina. Chap Goh Meh yang jika diterjemahkan bermakna ‘malam ke-15 Tahun Baharu Cina’.
Sebagai sebahagian daripada perayaan ini, Chap Goh Meh disambut dengan mengadakan upacara sembahyang secara besar-besaran, di mana colok besar akan dibakar dan juga diadakan makan besar bersama keluarga. Ia turut dimeriahkan dengan letupan mercun dan bunga api.
Chap Goh Meh juga dikenali sebagai "Hari Kekasih versi Cina". Pada malam Chap Goh Meh, gadis bujang akan menulis nama dan nombor telefon mereka pada limau mandarin dan melemparkan buah ke dalam task dengan harapan untuk mencari cinta sejati.
Dipercayai bahawa jika limau mandarin tersebut dijumpai dan dikutip oleh lelaki bujang, gadis itu berpeluang untuk bertemu dengan cinta sejati dan dijodohkan dengan pasangan yang baik.
Tahun Harapan, Kemakmuran dan Tuah
Seperti yang dinyatakan dari altiviti tradisi Tahun Baharu Cina, perayaan ini berkisarkan tentang permulaan baharu dengan catatan yang kosong (bersih).
Moga dengan kewujudan artikel ini, kita semua boleh lebih memahami dan menghayati adat resam sesuatu kaum.
Semoga tahun baharu ini membawa harapan, memberi kemakmuran dan mendatangkan tuah! 兔年快乐! - DagangNews.com