Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Dis - Pasaran eksport global dijangka meningkat hampir 2 kali ganda kepada AS$29.7 trilion daripada AS$17.4 trilion dalam tempoh 10 tahun akan datang, menurut laporan Standard Chartered bertajuk Future of Trade 2030: Trends and markets to watch.
Laporan itu turut menunjukkan Malaysia akan menjadi pemacu utama pertumbuhan dagangan global ini dengan eksport negara dijangka berkembang pada kadar purata tahunan lebih daripada 8% kepada AS$498 bilion menjelang 2030.
Malah, kajian itu mendapati 43% daripada korporat global ketika ini sedang atau merancang untuk mendapatkan sumber dari Malaysia dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang, sekali gus membuktikan negara akan menjadi pemangkin utama pertumbuhan perdagangan global.
Terdapat 3 sektor utama yang akan menjadi pemacu eksport negara pada 2030 iaitu mesin dan elektrikal, logam dan mineral serta pertanian dan makanan.
Pada masa sama, China dan Singapura akan terus menjadi koridor eksport terbesar bagi Malaysia, masing-masing merangkumi 19% dan 17% daripada jumlah eksport pada 2030, manakala India pula muncul koridor eksport paling pantas berkembang dengan purata pertumbuhan tahunan pada 11.8% dalam tempoh berkenaan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Abrar A. Anwar berkata, hubungan dagangan merupakan enjin utama yang penting untuk menggalakkan perkembangan ekonomi dan pengembangan syarikat Malaysia di persada antarabangsa.
Katanya, selain memperluaskan laluan perdagangan antara wilayah, koridor masa depan masih akan merentasi benua.
"Oleh itu, kami sentiasa bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) untuk memberi fokus menjadikan globalisasi berfungsi untuk perniagaan Malaysia, daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada syarikat multinasional, dan memacu model yang lebih mampan dan inklusif untuk perdagangan global.
"Ini termasuklah mengembangkan rangkaian penyelesaian kewangan mampan kami untuk membantu pelanggan kami melaksanakan amalan perdagangan yang mampan dan adil merentasi rantaian bekalan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kajian tersebut turut mendapati wujudnya trend yang ketara antara amalan perdagangan mampan sebagai tindak balas kepada kebimbangan iklim dan meningkatnya kesedaran kepenggunaan.
Meskipun hampir 90% pemimpin korporat menyedari keperluan menerapkan amalan ini dalam rangkaian bekalan mereka, tetapi hanya 34% meletakkan ia sebagai 3 keutamaan penting untuk dilaksanakan dalam tempoh 5 atau 10 tahun akan datang.
Standard Chartered, selaras dengan komitmennya untuk membantu menjadikan perdagangan global lebih mampan dan memacu peralihan kepada sifar bersih, melancarkan cadangan Pembiayaan Perdagangan Mampan untuk membolehkan syarikat membina rantaian bekalan yang lebih mampan dan berdaya tahan. - DagangNews.com