ELK Desa dijangka berdepan cabaran selepas berakhir tempoh moratorium - Malacca Securities | DagangNews Skip to main content

ELK Desa dijangka berdepan cabaran selepas berakhir tempoh moratorium - Malacca Securities

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Malacca Securities menjangkakan ELK Desa Resources Berhad berdepan pelbagai cabaran termasuk keupayaan peminjam untuk melunaskan pinjaman mereka selepas berakhirnya tempoh moratorium yang diberikan pihak bank.

 

Firma itu berkata, selain itu kekangan rantaian bekalan untuk segmen perabot yang disebabkan oleh gangguan logistik.

 

Katanya, memandangkan pendapatan kumpulan melebihi jangkaan, firma itu mengunjurkan pendapatan kumpulan sebanyak 29.2% kepada RM38.9 juta dan 22.0% kepada RM39.9 juta masing-masing bagi FY23 dan FY24.

 

"Unjuran pendapatan itu dibuat selepas mengambil kira permintaan yang semakin meningkat untuk pembiayaan sewa beli kereta terpakai dalam keadaan ekonomi yang normal, portfolio sewa beli yang lebih tinggi, serta permintaan yang semakin baik untuk perabot berkualiti pada masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2022 pada RM17.59 juta, meningkat 254.2% tahun ke tahun daripada RM4.97 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

 

Hasil kumpulan juga meningkat 24.2% kepada RM39 juta daripada RM31.37 juta tahun lepas disebabkan sumbangan yang lebih tinggi untuk kedua-dua segmen sewa beli dan perabotnya.

 

Pinjaman bank juga menurun sebanyak 11% kepada RM151.35 juta berbanding RM169.11 juta setahun lalu disebabkan pembayaran balik kemudahan pinjaman berjangka.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' untuk ELK Desa dengan harga sasaran (TP) RM1.46 sesaham.

 

"Kumpulan itu komited untuk mengagihkan dividen tidak kurang 60% daripada keuntungan selepas cukainya," katanya. - DagangNews.com