Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 11 Jan - Ericsson menjalinkan kerjasama bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Digital Nasional Berhad (DNB) bagi mewujudkan inisiatif pendidikan 5G di Malaysia yang akan memberi manfaat kepada lebih 1,200 pelajar tahun pertama universiti itu
Menerusi jalinan kerjasama itu, Ericsson akan membuka platform Ericsson Educate kepada pelajar UTM bagi menawarkan akses kepada bahan-bahan pembelajaran tentang teknologi utama merangkumi rangkaian 5G, kecerdasan buatan (artificial intelligence), pembelajaran mesin (machine learning), automasi (automation), rantaian blok (blockchain), pengkomputeran awan, sains data, IoT dan telekomunikasi.
Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, menerusi kerjasama itu, pihaknya dapat menghasilkan graduan berkualiti tinggi serta bertaraf dunia selaras dengan teras strategik universiti itu.
“Kerjasama kami dengan Ericsson dan DNB adalah untuk menyepadukan kandungan yang dipacu industri dengan kurikulum kami, bagi membantu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan graduan kami agar berdaya saing dalam persekitaran kerja Industri 4.0.
“Ia juga akan memaksimumkan potensi dan kecemerlangan individu dalam tenaga kerja melalui peluang latihan semula dan peningkatan kemahiran (reskilling and upskilling)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kerjasama itu membolehkan pelajar serta pensyarah mendapatkan sumber pembelajaran digital daripada portal Ericsson Educate tanpa kos selain program ijazah dan kelayakan mikro UTM yang berasaskan dalam talian.
Pada masa yang sama, Ericsson juga akan pensyarah UTM untuk menggunakan bahan-bahan kursus di samping mata pelajaran yang diajar oleh mereka.
Selain itu, DNB akan berusaha mewujudkan peluang kepada peserta kursus untuk menyertai DNB sebagai pelajar latihan amali selepas menamatkan kursus yang relevan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat DNB, Zuraida Jamaluddin berkata, rangkaian 5G akan menjadi pemangkin utama dalam mengubah ekonomi digital Malaysia selain mewujudkan persekitaran pembelajaran yang akan memacu inovasi masa hadapan.
"Ini akan membantu merapatkan jurang digital dan menjamin kesamarataan dalam pendidikan khususnya yang melibatkan masyarakat terpinggir.
"Kami teruja dengan kerjasama bersama UTM dan Ericsson ini, di mana DNB akan menyediakan pakar subjek dan perundingan, serta menawarkan peluang latihan kepada peserta kursus yang berkelayakan selepas tamat pengajian dari UTM," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagerbro berkata, kerjasama itu merupakan langkah penting oleh Ericsson dan DNB untuk membangunkan tenaga kerja mahir 5G di Malaysia untuk menyokong wawasan MyDigital kerajaan.
“Pelaburan kami dalam UTM bertujuan mempercepatkan transformasi digital Malaysia termasuk membina tenaga kerja mahir 5G.
"Dengan melengkapkan pembelajaran UTM dengan kandungan Ericsson Educate serta wawasan industri DNB, UTM akan mengukuhkan lagi kemahiran ICT mereka sekali gus meningkatkan ketersediaan bakat mahir 5G di negara ini,” katanya. - DagangNews.com