Faber-Castell lancar pembelajaran interaktif edisi guru menerusi Score A | DagangNews Skip to main content

Faber-Castell lancar pembelajaran interaktif edisi guru menerusi Score A

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Jun - Faber-Castell melancarkan Pembelajaran Kreatif oleh Score A, program Edisi Guru, sebagai usaha menggalakkan kreativiti dalam kalangan guru.

 

Program ini bertujuan meningkatkan teknik pengajaran guru dan proses pembelajaran pelajar, selain turut membantu menggalakkan penglibatan efektif serta interaktif di antara guru dan pelajar.

 

Fasa pertama program dijangka memberi manfaat kepada lebih kurang 1,700 guru dan 200,000 pelajar di seluruh negara.

 

Pengarah Urusan Faber-Castell Malaysia, Andrew Woon berkata, Faber-Castell sentiasa berinovasi dalam memperbaiki teknik pengajaran dan pembelajaran di samping melibatkan kolaborasi pendidik.

 

“Program ini direka selaras dengan tagline syarikat “teman sepanjang hayat” yang bersasar untuk menggalak dan memupuk kreativiti di semua peringkat umur tanpa ada batasan.

 

“Kami ingin terus mendorong dan memberikan pengalam kreatif kepada pengguna kami semasa menggunakan produk inovatif kami. Kreativiti bukan terbatas kepada seni sahaja, malah merangkumi penyelesaian masalah dan proses pembelajaran juga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Beliau juga menambah bahawa pembelajaran bukan sekadar mengingat dan menghafal, tetapi lebih kepada memperolehi dan memahami maklumat secara pengaplikasian kaedah kreatif untuk membantu proses pembelajaran.

 

 

FC

 

 

“Melalui program ini, para guru turut didedahkan kepada pelbagai teknik pembelajaran kreatif untuk membimbing dan memotivasi pelajar tentang keseronokan belajar,” katanya.

 

Guru akan dilengkapi dengan buku panduan yang menerangkan tentang teknik-teknik dan aktiviti-akitivti yang digunakan agar berguna untuk jangka masa yang lama.

 

 

FC

 

 

Program ini menawarkan pendekatan serampang dua mata, pertama, ia memberikan peningkatan teknik-teknik pembelajaran kepada guru. Teknik-teknik ini kemudian disalurkan kepada pelajar untuk meningkatkan pembelajaran mereka di dalam kelas dan di rumah. 

 

Kedua, para pelajar mendapat galakan untuk mengguna pakai teknik yang dipelajari dan dicalonkan oleh guru-guru mereka untuk bertanding di dalam Olimpik Pembelajaran Kreatif Score A di peringkat kebangsaan pada penghujung program. 

 

10 pelajar teratas untuk sekolah rendah dan menengah akan menerima hadiah wang tunai, hamper barangan dan sijil penyertaan. - DagangNews.com