Felda peruntuk RM6.1 juta ambil alih pengurusan pusat mengumpul getah, tambahan pendapatan kepada 10,707 peneroka - PM | DagangNews Skip to main content

Felda peruntuk RM6.1 juta ambil alih pengurusan pusat mengumpul getah, tambahan pendapatan kepada 10,707 peneroka - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

BERA 14 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan memperuntukkan RM6.1 juta dana pengurusan tahun 2022 bagi mengambil alih pengurusan pusat mengumpul getah (PMG) daripada FGV Rubber Industries Sdn Bhd. 

 

Ismail Sabri berkata, dengan pengambilalihan itu, Felda dan FGV Rubber Industries telah mencapai persetujuan untuk mengurangkan kos operasi kilang sebanyak 23 sen bagi setiap kilogram getah kering dengan tambahan lagi sebanyak 5 sen apabila mencapai sasaran bulanan. 

 

Beliau berkata, keseluruhan pengurangan sebanyak 28 sen itu akan memberikan tambahan pendapatan RM11.2 juta bagi 10,707 peneroka tanaman getah. 

 

"Saya juga mendengar keluh kesah peneroka tanaman getah yang runsing dengan harga getah yang rendah. Saya ingin tekankan di sini, kerajaan dan Felda tidak pernah meminggirkan peneroka tanaman getah ini," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan di Padang Awam Felda Rentam, di sini hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, untuk menyediakan lebih banyak peluang kepada usahawan dalam kalangan generasi baharu Felda bagi meningkatkan kapasiti perniagaan atau memulakan perniagaan, Felda telah memperuntukkan dana pusingan sebanyak RM10 juta bagi tujuan itu. 

 

"Pinjaman tanpa faedah ini diberikan dengan nilai minimum RM5,000 hingga maksimum RM20,000 mengikut pakej. Usahawan belia Felda dari seluruh negara yang berminat boleh mula membuat permohonan bermula pada bulan Ogos 2022," katanya.

 

Ismail Sabri berkata, Felda bukan sahaja memainkan peranan yang besar dalam sektor perladangan tetapi turut sama menyumbang kepada sekuriti makanan negara. 

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

"Menerusi mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi pada bulan Jun lalu, saya telah mengumumkan lima langkah bagi menjamin sekuriti makanan termasuk memperkasa ekosistem agromakanan dengan bekalan rantaian diterajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan agensi kerajaan. 


 
"Alhamdulillah saya lihat Felda memanifestasikan komitmen yang begitu utuh dalam membawa saranan ini. Melalui Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang dilaksanakan sejak 2019, Felda telah meluluskan sebanyak 8,542 projek penternakan dan pertanian dengan dana berjumlah RM212 juta," katanya.

 

Beliau berkata, di samping membantu agenda sekuriti makanan negara, sebahagian projek PPP juga telah mula berhasil dan dapat memberikan tambahan pendapatan kepada 56,699 orang peneroka dengan purata RM250 hingga RM500 sebulan. 

 

Katanya, jika disoroti kembali kejayaan Felda dalam bidang perladangan, pelbagai kemajuan dicapai termasuk pemerkasaan mekanisasi dan teknologi dalam pengurusan ladang peneroka, sehingga produktivitinya dapat ditingkatkan kepada purata 20 tan sehektar setahun, pada tahun ini. 

 

"Pencapaian ini mewakili pertambahan sebanyak 2.71 tan sehektar berbanding hasil purata peneroka bagi tahun 2021. Saya berbesar hati ingin berkongsi bahawa peningkatan produktiviti ini telah membawa kepada penciptaan nilai atau 'value creation' buat warga peneroka dengan jumlah melebihi RM1 bilion setahun. 

 

"Peneroka juga dapat menerima tambahan pendapatan sehingga RM162 juta bagi setiap kenaikan 0.5% kadar perahan minyak. Felda juga berjaya mengurangkan kos operasi ladang dengan penjimatan RM200 juta kos pembelian baja apabila Smart Plantation Management Solution (SPMS) iaitu aplikasi pintar yang diguna pakai membolehkan pembelian baja dibuat berdasarkan dirian pokok berbanding keluasan kawasan," katanya.

 

Tambahnya, ia juga disokong dengan sumber alternatif dan bahan buangan kilang seperti tandan buah kosong serta abu tandan. - DagangNews.com