FGV sasar perniagaan ladang tenusu integrasi di Chuping hasilkan 100 juta liter susu segar setahun menjelang 2025 | DagangNews Skip to main content

FGV sasar perniagaan ladang tenusu integrasi di Chuping hasilkan 100 juta liter susu segar setahun menjelang 2025

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Ogos - FGV Holdings Berhad (FGV) melalui anak syarikat milik penuhnya, FGV Integrated Farming Sdn Bhd (FGVIF) memeterai perjanjian pemegang saham bersyarat dengan Baladna Food Industries W.L.L, anak syarikat Baladna Q.P.S.C. (Baladna), dan Touch Group Holdings Sdn Bhd (Touch Group) untuk pembangunan perniagaan penternakan tenusu bersepadu di Chuping, Perlis.

 

Pegangan saham yang sepadan adalah FGVIF (40%), Baladna (40%) dan Touch Group (20%), manakala projek itu yang akan dibangunkan dalam kawasan seluas 3,259 hektar di FGV Chuping Agro Valley (FCAV), dijangka melibatkan pelaburan sehingga RM4.5 bilion.

 

Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan pada Sabtu lalu di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2022 (MAHA 2022) di Serdang, disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

 

 

Saham bersyarat telah ditandatangani antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor bersama Ketua Pegawai Eksekutif Baladna, Piet Hilarides dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Touch Group, Raja Datuk Idris Raja Halid.

 

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Duta Besar Qatar ke Malaysia, Fahad Mohammed Kafoud; Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh dan Pengerusi FGV, Datuk Dzulkifli Abd Wahab bersama-sama wakil dari lembaga pengarah dan pengurusan kanan FGV, Baladna, Touch Group dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

 

Dalam pada itu Mohd Nazrul berkata, usaha sama ini akan menjadi batu loncatan untuk FGV menjadi salah satu perniagaan tani bersepadu dan mampan terkemuka di dunia. 

 

"Sebagai sebuah organisasi yang telah pun terlibat dalam industri makanan, usaha terbaharu kami dalam perniagaan penternakan tenusu bersepadu ini meletakkan kami kukuh dalam industri susu dan tenusu yang semakin berkembang, sekali gus mengukuhkan kehadiran kami dalam industri makanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

fgv
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (empat dari kiri) bersama Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (empat dari kanan), Datuk Seri Azlan Man (tiga dari kiri) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian usaha sama bersyarat antara Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor, Piet Hilarides dan Raja Datuk Idris Raja Halid di MAHA 2022, MAEPS Serdang, baru-baru ini.

 

 

Dengan matlamat untuk mengukuhkan Agenda Keselamatan Makanan Negara, projek ini juga sejajar dengan rancangan jangka panjang FGV untuk meletakkan FGV Chuping Agro Valley (FCAV) sebagai salah satu hab agro-valley terkemuka di Malaysia.

 

Ia juga memberikan nilai mampan untuk pemegang kepentingannya dan keadaan hidup lebih baik kepada masyarakat setempat serta menangani kebimbangan keselamatan makanan negara, di bawah seliaan NCIA. Penubuhan perniagaan penternakan tenusu bersepadu itu dijangka mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan.

 

Dijangka beroperasi secara komersial menjelang 2025, projek itu menyasarkan untuk menghasilkan 100 juta liter susu segar setahun dalam tempoh tiga tahun pertama dan dijangka mencapai 300 juta liter susu segar dalam tempoh 10 tahun.

 

Tambahnya, pasaran tenusu Malaysia berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 4.5% dari 2015 hingga 2020. 

 

"Tinjauan bagi sektor tenusu adalah positif, dan FGV optimis hala tuju strategik ini akan menyokong matlamat negara untuk memperoleh 50% sara diri tahap susu cair dan 100% susu segar menjelang 2028, menggandakan pengeluaran susu segar di Malaysia, mengurangkan import dan menyediakan susu segar kepada pengguna,” katanya. - DagangNews.com