FGV Transport terima pensijilan logistik halal JAKIM | DagangNews Skip to main content

FGV Transport terima pensijilan logistik halal JAKIM

Lori tangki FGV Transport menerima pensijilan logistik halal JAKIM untuk membawa produk cecair berasaskan sawit bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Lori tangki FGV Transport menerima pensijilan logistik halal JAKIM untuk membawa produk cecair berasaskan sawit bagi memenuhi permintaan pelanggan.

 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Anak syarikat FGV Holdings Berhad (FGV), FGV Transport Services Sdn. Bhd. (FGV Transport) menerima pensijilan logistik halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk 76 buah lori tangki yang beroperasi di depot Pasir Gudang, Johor.

 

Pensijilan logistik halal itu adalah bagi kategori Sistem Pengurusan Rantaian Bekalan Halal untuk pengangkutan. 

 

Pensijilan tersebut merangkumi perkhidmatan pengangkutan produk cecair berasaskan sawit seperti minyak sawit mentah, minyak isirong sawit serta minyak sawit sudah diproses.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, pengiktirafan daripada JAKIM untuk kumpulan lori tangki pertama itu merupakan langkah awal dalam usaha mengembangkan segmen pengangkutan halal secara berperingkat.

 

"Selain memenuhi peningkatan permintaan terhadap logistik halal, ia juga penanda aras ke arah mencapai pensijilan halal secara komprehensif bagi operasi perniagaan Kumpulan di masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

.

 

Kesemua lori tangki tersebut memperoleh pengiktirafan halal sesuai dengan standard kualiti yang ditetapkan Standard Malaysia MS2400-1:2010.

 

Setiap aspek Halalan Toyyiban dan amalan-amalan kebersihan dipraktikkan bagi menjamin status halal produk yang dibawa.

 

Tambah beliau, empat lagi depot operasi FGV Transport di Kuantan (Pahang), Pelabuhan Klang dan Shah Alam (Selangor) serta Sahabat (Sabah) akan menjalankan proses-proses bagi memperolehi pensijilan logistik halal pada tahun 2021.

 

"FGV Transport juga merancang untuk memperluaskan skop pensijilan logistik halal merangkumi lori tirai tepi (side curtain lorry) pada awal tahun hadapan bagi memenuhi permintaan pengangkutan halal untuk barangan pengguna cepat laris (FMCG) serta produk-produk halal yang lain," ujar beliau lagi. - DagangNews.com