Finas fokus usaha naik taraf aset, pembaharuan Akta 1981 | DagangNews Skip to main content

Finas fokus usaha naik taraf aset, pembaharuan Akta 1981

Peralatan studio kendalian Finas dinaik taraf sesuai dengan peredaran masa dan peningkatan teknologi. - Gambar FINAS
Oleh FAIZAL ZAKARIA

HUBUNGAN antara industri perfileman negara dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sangat berkait rapat.

 

Justeru, tidak hairanlah apabila apa sahaja pelbagai isu yang ditimbulkan berkaitan filem tempatan, pasti akan turut menyentuh soal Finas sama ada ia melibatkan perkara yang baik, apatah lagi isu-isu negatif yang dimainkan sesetengah pihak.

 

Sebelum ini, ada timbul isu berkaitan aset-aset milik Finas yang dikatakan sudah ketinggalan zaman dan tidak sesuai untuk digunakan bagi tujuan penerbitan filem.

 

Hal itu mengakibatkan ramai penggiat seni dan penerbit filem tempatan terpaksa ke luar negara untuk melakukan penyuntingan akhir bagi menepati piawaian filem yang diterbitkan.

 

Selain itu, terdapat juga khabar-khabar yang menyatakan industri perfileman negara masih jauh ketinggalan dan tidak mampu untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

 

Sebagai peneraju baharu Finas yang dilantik menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) organisasi itu bermula November 2021, Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim tidak mudah melatah.


 

Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim
                    Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim

 


Menurut beliau, industri perfileman negara mempunyai potensi yang besar untuk diangkat ke peringkat antarabangsa sekiranya semua pihak yang terlibat bersatu hari dan bekerjasama untuk mencapai hasrat tersebut.

 

“Dari zaman dahulu lagi, sudah ramai pelakon-pelakon kita yang sudah beraksi di pentas Hollywood, Bollywood dan di beberapa negara luar seperti Ibrahim Pendek, Maria Menado dan Sarimah.

 

“Tapi agak menyedihkan kerana walaupun sampai ke hari ini perkara itu masih berterusan, tapi tidak ramai dan kita sepatutnya sudah lama bertungkus lumus ke arah itu.

 

“Malah, filem-filem kita juga sukar untuk menembusi pasaran antarabangsa dan hanya berkitar di peringkat tempatan sahaja, nak lepas ke Indonesia dan Thailand pun susah,” katanya.

 

BACA JUGA: Finas utamakan agenda bela nasib penggiat seni tingkatkan imej filem tempatan

 

Justeru kata beliau, pihaknya telah mengambil inisiatif dengan melakukan lawatan ke dua buah negara jiran tersebut bagi mencari peluang kerjasama sebagai usaha memartabatkan industri filem negara.

 

Sebagai contoh kata Md. Nasir, lawatan ke Jakarta, Indonesia bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa dengan delegasi Finas dan kementerian itu baru-baru ini adalah bertujuan bagi memperbaharui Perjanjian 1984 antara Malaysia-Indonesia berhubung industri perfileman kedua-dua negara.

 

 

finas
Tan Sri Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia mengadakan pertemuan dengan H. Sandiaga Salahudin Uno, Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia di Jakarta, Indonesia di Jakarta pada Ogos 2022. - Gambar FINAS

 


Katanya, salah satu perkara yang diberi fokus ialah bagi melaksanakan program penerbitan bersama antara Malaysia dan Indonesia agar pemain industri kedua-dua negara dapat meraih pengalaman dalam menerbitkan filem berskala antarabangsa.

 

“Dalam lawatan ke Thailand pula, Finas telah melakukan perbincangan bersama syarikat GDH 559 iaitu pemilik studio filem terbesar di negara itu yang dimiliki oleh konglomerat GMM Grammy.

 

“Di Thailand, GDH menghasilkan tiga buah filem setahun dengan jumlah kutipan tiket antara RM300 juta hingga RM400 juta setiap satu.

 

“Kita mahu bekerjasama dengan mereka untuk membantu kita menghasilkan dan memasarkan filem ke peringkat antarabangsa,” katanya.

 

BACA: Prof Dr Md Nasir terima kritikan bantu cari penyelesaian lebih baik

 

Mengulas mengenai pembaharuan aset pula, Md. Nasir berkata, Finas sebenarnya telah melaksanakan proses pengantarabangsaan dengan melakukan pelbagai penambahbaikan terhadap aset-aset sedia ada, selain inisiatif baharu untuk memajukan industri perfileman negara.

 

 

finas
Bilik prebiu dan mastering Finas juga telah dilengkapi kemudahan terbaik di negara ini.

 


Menurut beliau, antara penambahbaikan yang telah dilakukan adalah menaik taraf peralatan studio untuk tujuan suntingan dan pasca penerbitan yang telah dilaksanakan pada November 2021.

 

Malah katanya, filem epik Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan yang menjadi fenomena di negara ini baru-baru ini juga turut menggunakan kemudahan peralatan baharu di studio milik Finas.

 

“Sebenarnya, mulai Rancangan Malaysia Ke-12, Finas secara berterusan akan memohon dana daripada kerajaan untuk tujuan menaik taraf dan menggantikan peralatan studio agar kualiti suntingan filem yang dihasilkan penerbit tempatan berkualiti tinggi.

 

“Malah, setakat ini, Finas sudah mempunyai lapan buah studio dan empat bilik penyuntingan yang dilengkapi peralatan dan perisian suntingan canggih dan terkini.


 

finas
Keperluan pengadun digital (digitalmix) turut dinaik taraf.

 

 

“Finas juga telah memohon dana daripada kerajaan menerusi Unit Perancang Ekonomi untuk kita mewujudkan studio XR3D yang membolehkan penerbit filem melakukan rakaman hanya di dalam studio menggunakan teknologi 3D,” jelasnya.

 

Menyentuh mengenai Akta Finas 1981 (Akta 244) pula, Md. Nasir berkata, secara peribadi, beliau turut bersetuju agar akta tersebut dipinda bagi membolehkan ia selaras dan selari dengan perubahan zaman yang berlaku pada masa kini.

 

 

finas
Studio H0 Ah Loke yang dilekapi sistem bunyi, pencahayaan dan rakaman boleh disewa pada harga paling kompetitif dalam pasaran.

 


“Sekarang teknologi dah berubah dan kita perlu ambil kira perkara itu, jadi kita perlu melangkah ke depan, sekurang-kurangnya untuk 10 tahun ke hadapan.

 

“Kajian itu sudah di peringkat akhir dan kalau boleh kita mahu ia diluluskan secepat mungkin oleh kabinet agar proses penambahbaikan dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya. – DagangNews.com