Skip to main content

Finas jadikan TV Sarawak rakan strategik

KUCHING 16 Okt. - Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan pelantikan stesen TV Sarawak (TVS) sebagai rakan strategik baharunya.

Menurut kenyataan Finas, keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid di Petaling Jaya.

 

finas
Zakaria Abdul Hamid

 

Menerusi persetujuan tersebut, Finas akan membiayai penerbitan karya stesen televisyen berkenaan melalui Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (Pelaksana).

Mesyuarat itu juga kata kenyataan itu turut bersetuju untuk meneruskan kejayaan program Finas Prihatin melalui pelaksanaan Finas Prihatin 2.0.

“Bagi program kedua ini, Finas menyasarkan untuk membantu atau menyantuni 50 penggiat seni kreatif di seluruh negara.

“Mesyuarat itu juga bersetuju untuk mengatur dua pertemuan dengan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) dan Pengerusi Lembaga Penapis Filem (LPF) dalam masa terdekat,“ katanya.

Katanya, pertemuan dengan Puspal dilakukan bagi mencari dan membincangkan kaedah bersesuai untuk memudahkan lagi urusan berkaitan penggambaran filem terutamanya bagi syarikat produksi yang menerima manfaat Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI). 

Sementara pertemuan dengan Pengerusi LPF pula adalah untuk membincangkan garis panduan penerbitan kandungan kreatif selari dengan situasi norma baharu pasca Covid-19. - DagangNews.com