KUALA LUMPUR 24 Jan - Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas kepada 2.25% tahun ini, bagi membina semula penampan dasar dan mengekalkan kestabilan ringgit, menurut Fitch Solutions Country Risk and Industry Research.
Menurutnya dalam nota kajian itu, BNM mungkin berusaha untuk mengekalkan perbezaan kadar faedah sebenar berbanding Amerika Syarikat (AS), yang kini berkemungkinan akan memulakan kenaikan pada 2022 dan bukannya 2023.
Di samping itu, katanya, tekanan inflasi semakin meningkat sedangkan BNM tidak mempunyai sasaran angka inflasi, yang mana ia masih diberi mandat untuk mengekalkan kestabilan harga.
"Ekonomi Malaysia akan menyaksikan pemulihan pesat tahun ini, dijangka mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar pada 5.5%, memberi ruang kepada bank pusat untuk menormalisasikan dasar monetari.
"Kami akan terus melihat beberapa risiko meningkat jika bank pusat utama di seluruh dunia mengetatkan dasar monetari lebih cepat daripada yang kami jangkakan pada masa ini disebabkan tekanan inflasi asas yang semakin meningkat," katanya seperti dilapor TheEdge hari ini.
Pada 20 Januari lalu, BNM dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari membuat keputusan untuk mengekalkan OPR pada 1.75% dengan menyifatkan pendirian semasa dasar monetari adalah wajar dan akomodatif.
BNM berkata, inflasi teras dijangka sederhana dengan risiko pertumbuhan menjadi semakin tinggi dibendung oleh keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi dan dalam pasaran pekerja.
Dalam pada itu, Fitch Solutions telah menyemak semula unjuran inflasi purata bagi 2022 meningkat kepada 3.3% berbanding anggaran 2.5% pada 2021.
"Pemacu utama yang mendorong kepada inflasi ini disebabkan purata harga minyak dan kos input yang lebih tinggi apabila aktiviti ekonomi kembali normal," katanya.
Agensi itu menjangkakan harga minyak mentah Brent akan berlegar pada purata AS$72 setong pada tahun ini, berbanding AS$70.95 setong tahun lalu. -DagangNews.com