Skip to main content
Kolum Anekdot Mawarith - 26 July 2021

WasiyyahShoppe

FITNAH HARTA BUKAN SAHAJA MELANDA SELEBRITI TETAPI JUGA KITA!

 

 

MALAYSIA kecoh seminggu dua ini dengan isu selebriti terkenal bertelagah sesama sendiri di media sosial tentang kerja amal kebajikan yang mereka lakukan di Palestin. Kekecohan ini semakin panas apabila netizen juga campur tangan menyokong selebriti idola mereka dan mengutuk pula selebriti yang lagi satu.

 

Saya sebagai rakyat bukan selebriti dan tidak mengidolakan mana-mana selebriti ini hanya memerhatikan sahaja namun kekadang kehairanan juga bagaimana masyarakat kita boleh ‘jatuh’ sehingga tahap serendah ini.

 

Dalam keadaan kita sudah cukup berat diduga dengan ujian COVID-19 dan tahap sosio ekonomi yang semakin merudum, kita masih ada masa untuk kutuk mengutuk dan menambah dosa fitnah. Istighfarlah berbanyak-banyak wahai pembaca sekelian. Dalam dunia hari ini yang nyawa semakin rapuh, kita tidak tahu bila kita akan dipanggil pulang.

 

Apapun artikel saya minggu ini bukanlah tentang nak menyokong atau mengutuk mana-mana selebriti berkenaan. Pada saya mereka semua membuat kerja amal kebajikan bersifat fardhu kifayah yang sekaligus melepaskan kita dari tanggungjawab itu. Kita semua rakyat Malaysia terhutang budi dengan mereka.

 

Sewajarnya semua usaha selebriti ini disokong. Jika adapun masalah di antara mereka, biarlah mereka bersemuka dan selesaikan sesama sendiri. Janganlah kita pula yang menyembur minyak di bara api. Kita pun tidak tahu secara tepat duduk letak perkara itu. 

 

Dalam artikel minggu ini saya sekadar mahu mengajak pembaca bermuhasabah dan mengambil iktibar dari kejadian tersebut.  Kalau kita renung secara teliti  kes berkaitan selebriti-selebriti ini, kita dapati ada satu faktor persamaan  di antara mereka semua iaitu isu itu sedikit sebanyak terkait dengan pengurusan harta bagi aktiviti kebajikan  yang dibuat.

 

Persoalan yang dibangkitkan dan dilemparkan di antara satu sama lain, ialah tentang dari mana datangnya sumber harta untuk aktiviti kebajikan itu dan ke mana pula ia disumbangkan. Adakah pengurusan harta itu diaudit mengikut standard tertentu?

 

Inilah sebenarnya antara fitnah yang paling kerap berlaku kepada kita di akhir zaman ini iaitu fitnah harta. Ia bukan saja melanda selebriti malah orang kebiasaan seperti kita.

 

 

WasiyyahShoppe

 

 

Kalau di  dalam urusan harta pusaka fitnah harta lagi teruk. Fitnah harta ini makanan seharian kami yang menguruskan harta pusaka.

 

Pernah kami pula dituduh berat sebelah dan tidak profesional kerana kononnya telah ‘dirasuah’ oleh pihak tertentu dalam kalangan waris supaya menyebelahi mereka di dalam urusan harta pusaka. Kami dituduh mendapati ‘komisen lebih’ dari waris tertentu.    

 

Saya secara peribadi juga pernah dituduh kononnya, bersekongkol dengan seorang balu untuk melarikan harta dari pusaka dengan mempengaruhi arwah untuk membuat hibah dan amanah (trust) supaya anak-anak simati tidak mendapati harta arwah.

 

Walaupun telah dijelaskan dengan terperinci dan berulang kali bahawa harta yang telah sempurna dihibah dan diletakkan di bawah amanah mengikut peruntukan undang-undang semasa hidupnya arwah itu tidak menjadi harta pusaka, waris-waris tetap mendakwa ia hak mereka.

 

Tetap saya dituduh bersekongkol dan mendapat komisen dari waris tertentu. Apabila penjelasan sudah tidak boleh lagi diterima, maka jalan terakhir ialah biarlah  mahkamah menentukan. We'll see you in court!

 

Wasiyyah Shoppe Berhad ialah syarikat amanah patuh syariah berdaftar di bawah Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100).

 

Kami memang mempunyai punca kuasa dalam urusan harta pusaka berdasarkan akta tersebut berbeza dengan syarikat biasa yang tidak berdaftar di bawah akta ini.

 

Operasi kami berjalan mengikut tadbir urus korporat terbaik dan had kuasa (limit of authority) sebagaimana yang dipatuhi oleh syarikat senaraian awam.

 

Segala peruntukan Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100), Akta Syarikat 2016, Akta Pemegang Amanah 1949 (Akta 208), Seksyen 17A  Akta SPRM, Akta Penggubahan dan Pencegahan Wang Haram (AMLA) 2000 dan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia 2000 dipatuhi di dalam segenap operasi.

 

Kami juga diaudit secara berkala bagi memastikan kesemua operasi syarikat berjalan mengikut peruntukan undang-undang di atas. Segala urusan dilaporkan secara terperinci kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang merupakan regulator bagi syarikat amanah  seperti Wasiyyah Shoppe Berhad.  

 

 

WasiyyahShoppe

 

 

Sekiranya Wasiyyah Shoppe Berhad yang beroperasi mengikut undang-undang dengan tadbir urus korporat terbaik pun kerap dilanda fitnah harta di dalam urusan harta pusaka ini, individu dalam kalangan waris yang mengepalai usaha menguruskan harta pusaka akan lebih terdedah kepada risiko fitnah harta ini.

 

Antara fitnah yang paling biasa kami temui ialah "pentadbir harta pusaka dari kalangan waris menyeleweng duit pusaka", "mengambil kesempatan memakan hasil dari harta pusaka seperti hasil sewaan rumah", "hasil dividen pelaburan/syarikat", "hasil kebun", "mengguna harta pusaka untuk kepentingan sendiri" dan banyak lagi tuduhan-tuduhan lain.

 

Bila fitnah harta ini melanda, maka bertelagah dan berpecah-belahlah waris seterusnya meruntuhkan institusi kekeluargaan.  

 

Inilah yang telah Wasiyyah Shoppe Berhad perjuangkan sejak 2004. Selama 17 tahun, secara istiqomah kami telah mendidik masyarakat supaya merancang harta semasa hidup supaya agihan harta itu jelas dan mengikut hukum syarak.

 

Buatlah dokumen perancangan secara bertulis seperti hibah, wasiat, harta sepencarian atau amanah supaya semua pihak tahu bagaimana harta akan diagihkan.

 

Kejelasan ini mampu meminimakan kalaupun tidak mengelakkan sepenuhnya fitnah harta sesama waris. Pelaksanaan dokumen-dokumen perancangan harta ini melalui pihak profesional seperti Wasiyyah Shoppe Berhad pula akan memastikan fitnah harta ini dapat diminimumkan.

 

Biarlah kami yang terkena fitnah harta itu kerana ia memang kerja kami dan kami tahu bagaimana mengendalikannya. Dengan pengalaman dan pengetahuan luas di dalam undang-undang berkaitan serta rekod yang sistematik sebagai pembuktian, walaupun dilanda fitnah harta, Insya-Allah kami mampu mengatasinya.

 

Kalau sesama waris yang menguruskan harta pusaka dan dilanda pula fitnah harta, kesannya amat besar sekali. Sudahlah kes pusaka tak boleh diselesaikan, waris pula tidak bertegur sapa bertahun-tahun lamanya. Kalau berjumpa di dalam apa-apa majlis keluarga pun bila tersentuh bab pusaka pula, ada yang mula menengking dan memaki hamun. Adakah kita mahu keluarga kita dilanda fitnah harta seperti ini?

    

Ada orang yang berkata kepada saya bahawa anak-anaknya semua baik-baik belaka dan Insya-Allah tidak akan bergaduh kerana harta pusakanya. Saya suka perasaan optimistik itu dan saya pun tahu anak-anak saya juga baik-baik belaka kerana saya telah mendidik mereka sebaik mungkin.

 

Namun pengalaman juga menunjukkan bahawa selain faktor pendidikan ibu bapa, ada banyak faktor lain yang mempengaruhi urusan harta pusaka. Antaranya faktor status ekonomi waris, faktor pasangan, faktor penasihat, faktor pendidikan formal dan faktor-faktor lain.

 

Anda mahu waris anda dilanda fitnah harta dalam urusan harta pusaka? Saya tidak mahu sebab itu saya sudah membuat segala-gala yang perlu hari ini di Wasiyyah Shoppe Berhad

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

WasiyyahShoppe

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

Portfolio Tags