FMM menyeru kerajaan terus bantu perniagaan | DagangNews Skip to main content

FMM menyeru kerajaan terus bantu perniagaan

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 16 Jun - Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan supaya menyuntik bantuan sewajarnya sama ada kepada sektor penting atau tidak penting bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan syarikat untuk berdepan situasi mencabar ketika ini.

 

Ini kerana sektor tidak penting 'terpaksa' menghentikan operasi mereka di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh yang berkuat kuasa 1 Jun lalu manakala sektor penting pula beroperasi dengan kapasiti yang rendah.

 

Malah, kesatuan itu juga berharap kerajaan memperuntukkan lebih banyak dana menerusi pakej rangsangan fiskal termasuk suntikan secara langsuung dengan langkah-langkah lebih khusus yang dapat membantu mengurangkan impak ke atas kos bagi perniagaan yang terjejas. 

 

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, bagaimanapun FMM menyokong penuh Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam sebagai langkah keluar daripada kemelut pandemik COVID-19.

 

"Tetapi, sayangnya, pihak industri mendapati kerajaan terlepas pandang elemen paling penting iaitu hala tuju strategik untuk 'reset' ekonomi dan membantu perniagaan kembali pulih.

 

"Ini memandangkan PKP kali ini memberi kesan yang lebih dahsyat terhadap perniagaan berbanding sebelumnya, terutama kepada sektor tidak penting," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi 4 fasa PKP secara berperingkat, merupakan strategi peralihan keluar daripada kemelut pandemik COVID-19.

 

Pada 28 Mei lalu, kerajaan memutuskan melaksanakan PKP menyeluruh di seluruh negara selama dua minggu sebelum dilanjutkan lagi hingga 28 Jun 2021.

 

Pelaksanaan PKP secara menyeluruh sejak 1 Jun lalu menyaksikan negara mengalami kerugian ekonomi sebanyak RM1 bilion sehari. 

 

Menurut Thian Lai, senarai sektor ekonomi penting yang akan diumumkan ketika fasa kedua perlu diumum lebih awal bagi membolehkan mereka merancang strategi kelangsungan hidup kerana tempoh PKP yang berpanjangan dan tidak membenarkan mereka beroperasi telah menjejaskan perniagaan.

 

"Terdapat sesetengah perniagaan terpaksa membuat keputusan yang sukar demi masa depan syarikat, jika tiada hala tuju jelas bila mereka boleh kembali membuka perniagaan.

 

"Oleh itu, FMM menggesa kerajaan supaya membenarkan sektor berasaskan eksport, rantaian bekalan dan syarikat mikro untuk kembali beroperasi," tegas beliau.

 

FMM juga, katanya, meminta kerajaan mempercepatkan vaksinasi dalam kalangan pekerja asing kerana dibimbangi mereka akan menjadi ancaman kepada imunisasi berkelompok sekiranya tidak divaksinkan. 

 

"Saya berharap kerajaan dapat bertindak cepat untuk mengatasi perkara ini," katanya. - DagangNews.com