Futurise, LADA jalin kerjasama jadikan Langkawi destinasi Cyclotourism negara | DagangNews Skip to main content

Futurise, LADA jalin kerjasama jadikan Langkawi destinasi Cyclotourism negara

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Mac - Futurise Sdn Bhd (Futurise) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) hari ini mengumumkan kerjasama yang menandakan permulaan satu peristiwa penting dalam evolusi rangka kerja kawal selia untuk persediaan usaha Cyclotourism di Langkawi.  

 

Usaha ini dimulakan dengan satu perbincangan panel yang bertajuk ‘ClycoTourism Di Langkawi: Menyokong Dasar Yang Jelas Bagi Cyclotourism'.

 

Perbincangan panel ini bertujuan untuk mengenal pasti isu-isu halangan pengawalseliaan seperti isu keselamatan, cukai dan logistik, pelan penerimaan digital dan cabaran teknologi untuk membantu Langkawi di dalam usaha perjalanan transformasi digitalnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan usaha dan cadangan dalam menyokong Cyclotourism di pulau ini. 

 

Beliau berkata, Langkawi telah terkenal sebagai hab utama dalam penganjuran acara berbasikal bertaraf dunia seperti Le Tour de Langkawi dan Ironman Malaysia. 

 

"Selain memberi manfaat kepada masyarakat tempatan dengan peluang meningkatkan ekonomi, acara ini juga menggalakkan gaya hidup sihat dan membolehkan penggemar aktiviti berbasikal menikmati keindahan dan kerimbunan alam semula jadi di pulau ini. 

 

 

lada

 

 

"Maklum balas yang diterima daripada Program Regtalk Cyclotourism @ Langkawi akan diteliti dan dipertimbangkan dengan menyeluruh bagi menjayakan Cyclotourism di sini satu kenyataan. 

 

"LADA akan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk memastikan pulau ini dikenal pasti sebagai destinasi Cyclotourism terkemuka dalam industri pelancongan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

 

 

lada

 

 

Rangka kerja kawal selia ini bertujuan untuk menyelidik penyelesaian sekitar berkaitan keselamatan dan logistik yang kini menghalang potensi Cyclotourism Langkawi. Rangka kerja itu juga membolehkan akses dan pertukaran pendapat dan maklumat yang diperlukan. 

 

 

lada
Nasaruddin Abdul Muttalib

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Futurise, Rosihan Zain pula berkata, ciri-ciri kebudayaan juga pengalaman gastronomi di Langkawi yang tiada tandingan beserta dengan ciri-ciri semula jadi, menjadikan Langkawi sebagai destinasi utama untuk Cyclotourism. 

 

Beliau mengambil contoh daripada negara-negara Eropah dan Amerika Latin yang menjadi destinasi terkenal menerusi konsep Cyclotourism, penyelesaian inovatif dan pelaksanaan teknologi baharu banyak digunapakai.

 

 

lada
Rosihan Zain

 

 

"Langkawi juga berpotensi besar untuk menjadi destinasi utama Cyclotourism negara. Futurise akan bekerjasama dengan LADA dalam memastikan pembentukan Langkawi menjadi destinasi Cyclotourism yang berkembang maju melalui rangka kerja kawal selia yang efektif," katanya.

 

Perbincangan panel yang dijalankan ini adalah sebahagian daripada siri RegTalk yang dianjurkan oleh Futurise sebagai sebuah inisiatif pemudah cara perbincangan terbuka tentang kawal selia dalam kalangan pakar industri untuk memudahkan perkongsian idea dan menyelesaikan cabaran industri sebenar. - DagangNews.com