Gagasan Nadi Cergas, Kwasa Land bina rumah mampu milik berharga RM250,000 | DagangNews Skip to main content

Gagasan Nadi Cergas, Kwasa Land bina rumah mampu milik berharga RM250,000

Pengarah Urusan Kanan Perkhidmatan Korporat Kwasa Land Sdn. Bhd. Nor Hazqiah Che Idris (dari kiri) bersama Pengarah Urusan Kwasa Land, Adenan Md Yusof; Pengarah Urusan Gagasan Nadi Cergas Bhd., Wan Azman Wan Kamal dan Pengarah Eksekutif Pembangunan Hartanah Nadi Emery Sdn. Bhd., WM Faris W Omar dalam majlis menandatangani perjanjian hak pembangunan (DRA) hari ini.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Jan - Gagasan Nadi Cergas Bhd. menerusi anak syarikatnya, Nadi Emery Sdn. Bhd. (NESB) menandatangani 2 perjanjian hak pembangunan (DRA) dengan Kwasa Development (13) Sdn. Bhd. (KD13) untuk membangunkan rumah mampu milik di Lembah Klang dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1 bilion. 

 

Perjanjian dengan KD13, yang merupakan anak syarikat milik penuh Kwasa Land Sdn. Bhd. itu membabitkan projek pembinaan di bawah program Rumah Idaman di kawasan perbandaran Kwasa Damansara. 

 

Ia membabitkan reka bentuk dan pembangunan 3,990 unit rumah mampu milik meliputi 2 bidang tanah dengan kawasan seluas hampir 39.12 ekar.

 

Pengarah Urusan Gagasan Nadi Cergas, Wan Azman Wan Kamal berkata, perjanjian itu menandakan satu lagi langkah ke hadapan menerusi kerjasama dengan Kwasa Land dan berganding bahu menyediakan rumah mampu milik yang berkualiti untuk rakyat. 

 

Katanya, dengan kedudukan lokasi, keterhubungan dan harga, akan menjadi tarikan hebat kepada bakal pembeli.

 

"Usaha ini membolehkan kami memainkan peranan secara aktif dalam membantu kerajaan memenuhi agenda rumah mampu milik negara.

 

“Keutamaan kami ketika ini adalah untuk menyiapkan fasa pertama pembinaan dalam jangka masa ditetapkan dan akan melihat untuk melancarkan fasa berikutnya dalam masa ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Fasa pertama projek pembangunan rumah mampu milik itu dijangka bermula pada suku ketiga 2022 dan dijangka siap pada penghujung 2024.

 

Kediaman yang akan ditawarkan adalah pada harga RM250,000 dengan keluasan sekitar 1,000 kaki persegi dan mempunyai 3 bilik tidur serta 2 bilik mandi.

 

Malah, unit kediaman itu turut dilengkapi dengan kabinet dapur, almari pakaian, set televisyen dan kabinet, penghawa dingin di semua bilik tidur, pemanas air dan peti sejuk.

 

Gagasan Nadi Cergas akan membiayai keseluruhan pembangunan melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kwasa Land, Adenan Md Yusof berkata, kerjasama tersebut akan menyumbang secara ketara kepada matlamat untuk memperuntukkan 40% daripada jumlah unit kediaman di Kwasa Damansara dengan rumah mampu milik. 

 

"Kwasa Land berharap dapat memenuhi aspirasi pembeli rumah kali pertama selaras dengan usaha kerajaan menyediakan rumah mampu milik kepada golongan berpendapatan B40 dan M40," jelasnya. -DagangNews.com