GDB dapat kontrak 8 Conlay bernilai RM1.25 bilion | DagangNews Skip to main content

GDB dapat kontrak 8 Conlay bernilai RM1.25 bilion

Lakaran grafik menunjukkan pembangunan projek 8 Conlay di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur.

 

 


KUALA LUMPUR 26 Okt. - GDB Holdings Bhd. (GHB) memperoleh kontrak bernilai RM1.25 bilion bagi pembangunan projek mewah bersepadu, 8 Conlay, yang terletak di kawasan segi tiga emas di bandar raya ini. 

Projek itu diperoleh menerusi anak syarikatnya, Grand Dynamic Builders Sdn Bhd (GDBSB) melalui surat niat (LOI) daripada Damai City Sdn. Bhd. (DCSB), anak syarikat milik penuh KSK Land Sdn Bhd., sebelum diberikan Surat Anugerah (LOA). 

Ia membolehkan GDB dilantik sebagai kontraktor utama kerja-kerja tersebut dalam masa 14 hari dari tarikh LOI.

"Jumlah kontrak itu tidak termasuk nilai sementara tambahan sebanyak RM15.86 juta untuk insentif tahap prestasi yang mana DCSB perlu membayar kepada GDBSB apabila projek itu siap secara berperingkat, seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

"Tempoh keseluruhan projek ini adalah selama 32 bulan," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini. 

Pembangunan 8 Conlay terdiri daripada tiga menara dengan ruangan runcit empat tingkat dan turut mempunyai 68 tingkat Hotel Kempinski dan dua menara kediaman perkhidmatan.

Di bawah LOI tersebut, GDB diberi hak akses ke tapak projek dan diberi kuasa untuk memulakan tinjauan, perbincangan, menetapkan pekerjaan, perolehan, dan mobilisasi operasi sebelum tarikh dimulakan iaitu 14 hari setelah penerimaan LOA.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan GDB, Cheah Ham Cheia, berkata, nilai kontrak itu adalah yang terbesar pernah diperoleh kumpulan setakat ini. 

"Jumlah ini sekali gus meningkatkan nilai kontrak kumpulan kepada RM2.27 bilion yang akan diiktiraf pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023," katanya. 

Ketua Pegawai Eksekutif KSK Group, Joanne Kua berkata, pihaknya yakin keupayaan GDB sebagai kontraktor utama dalam menyiapkan 8 Conlay dengan standard kualiti tertinggi dan tepat pada masa walaupun berdepan dengan cabaran ketika ini. - DagangNews.com