Genting Malaysia mungkin perlu berhutang hingga RM1 bilion ‘tampung’ aliran tunai FY21 | DagangNews Skip to main content

Genting Malaysia mungkin perlu berhutang hingga RM1 bilion ‘tampung’ aliran tunai FY21

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Julai - Genting Malaysia Berhad (GENM) yang mengendalikan perniagaan resort pelancongan di Genting Highlands mungkin perlu meningkatkan pinjamannya antara RM500 juta hingga RM1 bilion bagi membiayai aliran tunai bebas tahun kewangan 2021 (FY21). 

 

Kumpulan bagaimanapun dijangka tidak berdepan sebarang masalah untuk mendapatkan dana tersebut, malah pemberi pinjaman sanggup memperuntukkan lebih banyak pinjaman kepadanya, menurut CGS-CIMB Research. 

 

“Kami mendapati tidak ada perjanjian yang ketat ke atas pinjaman GENM sedia ada, dan percaya pemberi pinjaman sanggup untuk memperuntukkan lebih banyak pinjaman kerana optimis terhadap pemulihan perniagaan pada tahun 2022 hingga 2023, memandangkan program vaksinasi COVID-19 dijangka mencapai peringkat yang selanjutnya pada penghujung 2021. 

 

“Sekiranya GENM tidak boleh atau tidak mahu untuk meningkatkan hutang baharu, kumpulan ada pilihan untuk melangkau dividen sesaham bagi separuh pertama 2021 (1H21) untuk menampung keperluan tunainya. 

 

“Dalam kes asas kami, kami mengunjurkan DPS 1H21 sebanyak 6.0 sen,” jelas firma penyelidikan dalam satu nota kajian.

 

CGS-CIMB meningkatkan unjuran kerugian bersih utama GENM pada FY21 sebanyak 64% kepada RM1.39 bilion selepas mengambil kira potensi penutupan Resorts World Genting (RWG) bermula 1 Jun hingga November 2021 di bawah ‘lockdown’

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan RWG akan dibuka semula pada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), apabila semua sektor ekonomi berjalan semula dan lebih banyak aktiviti sosial dibenarkan termasuk perjalanan rentas negeri dan pelancongan domestik. 

 

Namun, terdapat risiko buat kumpulan sekiranya peralihan ke Fasa 4 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh akan mengambil masa lebih lama daripada jangkaan, kerana kelewatan bekalan vaksinasi dan kes COVID-19 harian yang tinggi. 

 

“Sekiranya pembukaan semula RWG ditangguhkan sehingga 1 Januari 2022, kerugian sesaham (LPS) pada FY21 GENM akan menjadi 17% lebih tinggi, dan sekiranya hanya pada 1 April 2022 dibuka, perolehan sesaham (EPS) FY22 akan diturunkan sebanyak 58%,” tambah CGS-CIMB.

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ saham GENM dengan harga sasaran (TP) ditingkatkan kepada RM3.20. - DagangNews.com