GIIB tamatkan khidmat Wong Weng Yew sebagai pengarah eksekutif kumpulan | DagangNews Skip to main content

GIIB tamatkan khidmat Wong Weng Yew sebagai pengarah eksekutif kumpulan

KUALA LUMPUR 20 Mei - GIIB Holdings Bhd (dahulunya dikenali sebagai Goodway Integrated Industries Bhd) mengumumkan penamatan khidmat Wong Weng Yew sebagai pengarah eksekutif kumpulan itu berkuat kuasa serta-merta, pada Khamis.

 

Wong, yang dilantik sebagai eksekutif GIIB pada Mac tahun lepas untuk menyelia kewangan dan menerajui perniagaan sarung tangan kumpulan, telah digantung daripada peranannya sejak 28 Mac 2022.

 

Wong mendakwa pengurusan syarikat mengambil tindakan terhadapnya selepas dia menimbulkan persoalan mengenai beberapa transaksi yang didapatinya mencurigakan.

 

Sebaliknya, GIIB menjelaskan bahawa penggantungan itu dilakukan untuk memudahkan siasatan terhadap pengurusan dan pengendalian Wong terhadap perniagaan sarung tangan dan akaun syarikat.

 

GIIB mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Wong dan menggantung kerjanya pada 28 Mac 2022 sementara menunggu siasatan.

 

Selepas Wong menjawab surat tunjuk sebab, GIIB menubuhkan jawatankuasa penyiasatan untuk menyiasat pertuduhan terhadapnya. Jawatankuasa itu terdiri daripada pengarah bukan eksekutif bebas GIIB Yong Wei Sang dan Tee Jun Shern, serta Tai Qiyao, pengarah ganti kepada Tai Boon Wee, pengerusi eksekutif merangkap ketua pegawai eksekutif syarikat.

 

Jawatankuasa siasatan juga melantik PKF Covenant Sdn Bhd sebagai juruaudit bebas untuk membantu mereka.

 

Pada 9 Mei, jawatankuasa siasatan melantik Ng Keok Chai, yang berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia selama 36 tahun, untuk menasihati siasatan. Sebelum bersara pada 2019, Ng berkhidmat di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial sebagai Ketua Penolong Pengarah di Bahagian Siasatan Perakaunan Forensik.

 

Jawatankuasa siasatan menjemput Wong untuk bertemu pada 18 Mei untuk mendapatkan penjelasan tetapi Wong enggan menghadiri mesyuarat itu.

 

“Selepas meneliti dokumen berkaitan dan mencatat keengganan Wong untuk menghadiri mesyuarat tersebut, Jawatankuasa Penyiasatan mendapati alasan yang mencukupi untuk memecatnya serta-merta daripada Kumpulan.

 

“Dalam perjalanan siasatan, kumpulan itu berpandangan [bahawa] laporan polis adalah wajar dan laporan telah dibuat sewajarnya. Kumpulan itu dimaklumkan oleh polis bahawa mereka sedang menyiasat perkara itu,” kata GIIB.

 

Ketika pasaran tamat pada 19 Mei, saham GIIB ditutup turun setengah sen atau 5.88% pada lapan sen, memberikannya nilai pasaran RM44.68 juta. Saham telah merosot 38.46% tahun setakat ini. - DagangNews.com