Giliran Kelantan, 3 daerah Sarawak pula dikenakan PKP | DagangNews Skip to main content

Giliran Kelantan, 3 daerah Sarawak pula dikenakan PKP

PKP

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Setelah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua dijalankan sejak tiga hari lalu melibatkan enam buah negeri, negeri Kelantan dan tiga daerah Sarawak pula dikenakan perintah sama bermula esok.

 

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKP di Kelantan akan dijalankan bermula 16 hingga 26 Januari 2021.

 

PKP di tiga daerah di Sarawak iaitu Sibu, Selangau dan Kanowit pula bermula 16 hingga 29 Januari 2021.

 

"Kerajaan sebelum ini juga telah melaksanakan PKPB di negeri Kelantan bermula 13 hingga 26 Januari 2021.

 

"Walau bagaimanapun, KKM pada hari ini melaporkan berlaku peningkatan kes secara mendakak yang melibatkan klustur dalam komuniti di seluruh negeri Kelantan ketika ini.

 

"Sehingga 14 Januari 2021, secara komulatif sebanyak 1,649 kes positif telah direkodkan di negeri Kelantan," jelasnya dalam sidang media harian PKP hari ini.

 

Tambah beliau, sejak 10 Januari 2021, purata kes harian meningkat antara 80 hingga 100 kes sehari, manakala kes aktif turut meningkat mendadak dalam tempoh 14 hari dari 328 kes kepada 891 kes.

 

.

 

KKM turut mengesahkan 90% daerah di Kelantan kini di dalam zon merah dan jingga.

 

Tujuh daerah zon merah di Kelantan iaitu Kota Bharu, Bachok, Tumpat, Gua Musang, Machang, Kuala Krai serta Tanah Merah.

 

Manakala dua daerah adalah zon kuning iaitu Pasir Puteh dan Pasir Mas, manakala satu daerah zon jingga iaitu Jeli.

 

"Oleh itu di atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKP di seluruh negeri Kelantan bermula 16 hingga 26 Januari 2021.

 

"SOPnya adalah sama seperti SOP di enam negeri yang telah diumumkan termasuklah terpakai di daerah Sibu yang juga dikenakan PKP," tambah beliau. 

 

Bermula 13 Januari, enam negeri iaitu  Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah lebih awal diumumkan PKP. - DagangNews.com