GLC, GLIC perlu lantik wakil MTUC anggotai lembaga pengarah, kata Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

GLC, GLIC perlu lantik wakil MTUC anggotai lembaga pengarah, kata Perdana Menteri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan Persidangan Perwakilan MTUC 2022 ke-42 di Kuala Lumpur, 2 Julai 2022.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 2 Julai - Semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu melantik wakil Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebagai ahli Lembaga Pengarah mereka sebagai usaha menambah nilai kepada ketelusan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Perdana Menteri berkata, langkah ini bertujuan membolehkan suara pekerja diambil kira dalam semua keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah.

 

Menurut beliau, adalah menjadi harapan Kerajaan supaya wakil pekerja berkenaan turut memainkan peranan dalam urusan pentadbiran nanti.

 

"Golongan pekerja seharusnya sama-sama menjaga kestabilan, perpaduan dan hubungan industri bukan hanya dalam kalangan pekerja tetapi juga Kerajaan dan majikan bagi kejayaan proses pembangunan negara.

 

"Kepentingan kaum pekerja dan negara perlu diselaraskan dan semua sikap tidak bertanggungjawab dikikis kerana ia bukan sahaja menjejaskan kepentingan kaum pekerja, malah turut mengganggu sistem masyarakat dan menghalang usaha mencapai perhubungan industri yang harmoni,'' katanya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan MTUC 2022 ke-42 di sini hari ini.


 

PM

 


Perdana Menteri turut mengumumkan penyediaan geran tahunan sebanyak RM4 juta kepada MTUC untuk melaksanakan program-program kesedaran dan latihan yang signifikan kepada ahli-ahlinya.

 

Ismail Sabri berkata, peningkatan kemahiran dan latihan semula merupakan kunci yang penting dalam memastikan Malaysia mempunyai tenaga kerja yang berdaya saing.

 

"Sehubungan itu, saya menggesa MTUC mewujudkan pelan pendidikan lebih holistik, efektif dan komprehensif kepada ahli-ahli kesatuan gabungan di bawahnya serta diperluas kepada golongan pekerja Keluarga Malaysia yang lain.
 

"Saya yakin melalui pelan-pelan pendidikan yang strategik, MTUC boleh terus memainkan peranan yang amat penting dalam melahirkan pekerja yang dinamik," kata beliau.

 

Pada masa yang sama kata Perdana Menteri, sebagai badan induk yang memperjuangkan hak dan nasib pekerja, MTUC juga perlu prihatin terhadap keperluan ahli-ahli kesatuan khusus yang tergolong dalam kumpulan B40 dan kelompok miskin tegar.

 

"Pendekatan Keluarga Malaysia bermatlamat untuk memastikan tidak ada seorang pun ahli keluarga kita hidup melarat. Saya memahami keadaan ini kerana asal usul saya dikelilingi dengan kemiskinan.

 

"Oleh itu, saya dengan rendah hati mengajak semua pemimpin dan ahli kesatuan untuk turut bersama saya menjayakan visi Keluarga Malaysia dan sekaligus bersama-sama membangunkan negara tercinta ini,'' kata Perdana Menteri. - DagangNews.com