Gogopasar, Kopenas pacu pendigitalan koperasi-koperasi sekolah di Melaka | DagangNews Skip to main content

Gogopasar, Kopenas pacu pendigitalan koperasi-koperasi sekolah di Melaka

Kumpulan nasyid Rabbani dilantik sebagai duta Gogopreneur oleh Gogopasar.

MELAKA 2 April – Gogopasar, sebuah platform e-dagang yang mengintegrasikan rantaian bekalan perniagaan tani inovatif, kini menerokai pendigitalan di negeri Melaka dengan kerjasama Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional (Kopenas) dengan menggunakan Platform Elektronik Transformasi Sekolah (STEP).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Gogopasar, Lynn Alias berkata, model e-dagang Gogopasar memenuhi visi Kopenas untuk mendigitalkan operasi koperasi sekolah di Melaka bagi sekolah-sekolah yang mengambil bahagian.

 

Menurutnya, Gogopasar adalah rakan kongsi runcit utama dan baru-baru ini, pihaknya telah menubuhkan pusat pengedaran di Ayer Keroh, Melaka bagi tujuan ini.

 

''Gogopasar menyasarkan usaha ini bagi membantu meringankan beban ibu bapa dengan menyediakan satu platform sehenti untuk pendidikan anak-anak mereka dan sambil dapat membeli keperluan asas keluarga seperti barangan runcit menerusi kedai atas talian termasuk penghantaran terus ke rumah,” katanya pada majlis pelancaran rasmi 'Melaka Go Digital-Digital Economic Collaboration' di Ayer Keroh, Melaka, pada 2 April.

 

Sebagai anak syarikat FGV Holdings Berhad (FGV) di bawah segmen pertanian bersepadu (Integrated Farming) yang dikenali sebagai FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF), Gogopasar merupakan satu strategi pendigitalan FGVIF. 

 

Sebagai platform rantaian bekalan e-runcit inovatif yang pertama oleh FGV, ia mempunyai model perniagaan yang unik dan terbukti untuk menjadikannya sebagai satu-satunya syarikat ‘startup’ digital dengan penghantaran capaian akhir (last mile delivery) di Lembah Klang.

 

Pada majlis pelancaran, kumpulan nasyid popular tempatan, Rabbani, telah dilantik sebagai duta Gogopreneur untuk menjadi inspirasi kepada orang ramai bagi memupuk konsep pendigitalisasian dalam perniagaan.

 

Rabbani juga menggalakkan lebih ramai orang untuk mendaftar dan menghadiri latihan Gogopreneur bagi meningkatkan kemahiran diri dalam keusahawanan e-dagang.
 

 

Lynn Alias
                                        Lynn Alias

 

 

Pengerusi Kopenas, Jumat Mat Lani berkata, pendigitalan koperasi sekolah melalui program STEP secara tidak langsung dapat memasarkan produk koperasi sekolah itu sendiri bukan hanya kepada anggota koperasi sebaliknya kepada ibu bapa dan masyarakat setempat.

 

Disamping itu juga katanya, kecekapan dalam tadbir urus koperasi menggunakan perisian ini akan dapat menukar kaedah perniagaan konvensional koperasi kepada kaedah pendigitalan,” katanya.

 

Sekolah-sekolah yang mengambil bahagian, iaitu Sekolah Menengah Muzaffar Syah (MOZAC), MRSM Jasin dan Sekolah Harian Durian Tunggal akan mendapat manfaat daripada inisiatif mendigitalkan aktiviti mereka dan meluaskan capaian koperasi mereka untuk keuntungan lebih tinggi. – DagangNews.com