Grab bakal disenarai awam di AS | DagangNews Skip to main content

Grab bakal disenarai awam di AS

 

KUALA LUMPUR 14 April - Syarikat e-hailing dan perkhidmatan penghantaran makanan dari Singapura, Grab Holdings Inc. bakal disenarai awam di Amerika Syarikat (AS) menerusi penggabungan dengan Altimeter Growth Corp.

 

Penggabungan dengan syarikat pengambilalihan tujuan khas (SPAC) itu dijangka meletakkan nilai pasaran Grab berjumlah AS$39.6 bilion.

 

Menurut Bloomberg, Grab mengumpul lebih daripada AS$4 bilion daripada pelabur termasuk BlackRock Inc., Fidelity International danT. Rowe Price Group Inc., sebagai sebahagian daripada tawaran ekuiti terbesar AS oleh syarikat Asia Tenggara berkenaan.

 

Ini sekali gus bakal menyaksikan Grab sebagai syarikat teknologi gergasi pertama dari Asia Tenggara disenarai awam menerusi SPAC.

 

“Ini semestinya merupakan salah satu syarikat internet terbaik. 

 

“Perjalanan masih lagi panjang dan luas buat Grab sekiranya mereka meneruskan langkah itu,” kata Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Altimeter Capital, Brad Gerstner seperti dilapor Bloomberg.

 

Saham gabungan entiti itu akan didagangkan di Nasdaq dalam tempoh beberapa bulan akan datang, di bawah nama GRAB.

 

Altimeter Capital yang mengatur tawaran awam permulaan (IPO) buat Altimeter Growth pada September lalu, ‘meletakkan’ AS$750 juta ke dalam syarikat tersebut.

 

“Dari dana berdaulat hingga dana bersama, ini menyaksikan pelabur berkelas dunia yang melabur ke dalam syarikat kami.

 

“Dunia nampak potensi Asia Tenggara dan betapa menariknya rantau ini,” kata Ketua Pegawai Ekskeutif Grab, Anthony Tan.

 

Grab berhasrat untuk mengembangkan pasarannya lebih AS$180 bilion menjelang 2025 daripada AS$52 bilion pada tahun 2020. 

 

Syarikat itu mencatatkan jumlah perniagaan (merchandise) kasar bernilai AS$12.5 bilion pada tahun lalu, meningkat dua kali ganda dari 2018 selepas menerima persaingan sengit daripada Gojek dan pandemik COVID-19 yang menyekat pergerakan pengguna. - DagangNews.com