Haily sasar IPO raih RM20.4 juta menjelang penyenaraian di Pasaran ACE 21 Julai | DagangNews Skip to main content

Haily sasar IPO raih RM20.4 juta menjelang penyenaraian di Pasaran ACE 21 Julai

Dari kiri Pengarah Eksekutif Haily Group Berhad, See Swee Ling, Pengarah Haily Construction Sdn Bhd Director Kik Siew Lee, Pengasas dan Pengarah Eksekutif Haily Group Berhad, See Tin Hai, dan CEO & Pengarah Eksekutif, Yoong Woei Yeh.


 

KUALA LUMPUR 30 Jun - Haily Group Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pada 21 Julai ini , menyasar untuk meraih RM20.4 juta melalui proses Tawaran Awal Permulaan (IPO).

 

Haily merupakan kontraktor utama yang terlibat dalam pembinaan bangunan kediaman dan bukan kediaman di wilayah selatan Semenanjung Malaysia, khususnya di Johor, dan turut terlibat dalam penyediaan sewa mesin dan jentera pembinaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Yoong Woei Yeh berkata, IPO berkenaan melibatkan terbitan awam sebanyak 30 juta saham baharu pada harga 68 sen sesaham, mewakili kira-kira 16.83 peratus daripada modal saham terbitan syarikat yang diperbesar.

 

"Daripada 30 juta saham itu, ia menawarkan 8.92 juta saham kepada rakyat Malaysia melalui proses pengundian dengan sekurang-kurangnya 50% diperuntukkan bagi pelabur Bumiputera.

 

“Sebanyak 10 juta lagi untuk para pengarah, pekerja dan pihak yang memenuhi syarat yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan manakala 11.08 juta kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

 

"Di samping itu, penawaran untuk dijual akan dilakukan  oleh promoternya yang melibatkan 18.00 juta saham biasa sedia ada dalam Haily melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih yang dijangka dapat meningkatkan perolehan kasar sebanyak RM12.24 juta. Promoternya terdiri daripada Haily Holdings Sdn Bhd, See Tin Hai dan Kik Siew Lee,” katanya pada majlis pelancaran prospektus syarikat bersempena dengan IPO itu.

 

Secara keseluruhannya, Yoong berkata IPO berkenaan akan menjana perolehan kasar sebanyak RM32.64 juta dengan RM20.40 juta adalah daripada terbitan awam dan RM12.24 juta daripada tawaran untuk dijual.

 

Daripada RM20.40 juta yang akan diperoleh daripada terbitan awamnya, beliau berkata RM4.20 juta akan digunakan untuk pembelian mesin pembinaan, peralatan serta perisian pengurusan kontrak dan perakaunan dan peralatan pejabat baharu, RM6 juta untuk modal kerja projek-projek pembinaan, RM7 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank dan selebihnya RM3.20 juta sebagai perbelanjaan penyenaraian.

 

"Kami telah menerima maklum balas positif daripada para pelabur untuk bahagian penempatan persendirian IPO walaupun dengan cabaran pandemik COVID-19.

 

"Kami percaya dengan asas ekonomi Malaysia yang kuat, Bursa Malaysia mampu berhadapan cabaran dan bersedia untuk berkembang dalam jangka masa panjang. Ini amat baik dengan penyenaraian Haily Group di Pasaran ACE,” katanya.

 

Pengasas dan Pengarah Eksekutif See Tin Hai berkata, penyenaraian itu adalah langkah penting  untuk meningkatkan kedudukan dan reputasi kumpulan dalam pasaran perkhidmatan pembinaan selain daripada memperluas pangkalan pelanggan di Malaysia.

 

"Kami gembira dapat memberi peluang kepada pelabur dan institusi untuk turut serta dalam ekuiti  dan pertumbuhan berterusan kami.

 

“Haily mempunyai 18 projek pembinaan bangunan yang sedang berjalan serta dua projek pembinaan berkaitan kejuruteraan awam. Jumlah nilai kontrak terjamin dan nilai kontrak belum dibil setakat 10 Jun 2021 masing-masing berjumlah RM460.04 juta dan RM249.58 juta.

 

"Projek yang sedang berlangsung dijangka dapat diselesaikan secara berperingkat antara 2021 dan 2023," katanya.

 

Mengenai prospek jangka panjang industri pembinaan, See berkata ekonomi Malaysia dijangka meningkat secara beransur-ansur pada separuh kedua tahun 2021, disokong oleh pemacu pertumbuhan utama seperti peningkatan berterusan dalam pertumbuhan global, perdagangan dan kitaran teknologi, projek infrastruktur berskala besar yang akan datang serta langkah-langkah rangsangan ekonomi.

 

"Pertumbuhan sektor kediaman dan perindustrian di daerah lain di Johor akan memberikan peluang kepada kumpulan itu, dan kami telah memperoleh kontrak terjamin dan belum dibil dan ini dapat menampung kami sepanjang cabaran jangka pendek yang dicetuskan oleh pandemik COVID-19.

 

"Dengan mengambi kira kedudukan tunai kami yang sihat, jangkaan keuntungan yang akan dijana daripada operasi, jumlah yang tersedia di bawah kemudahan perbankan kami dan hasil daripada IPO, kami mempunyai modal kerja yang mencukupi untuk memenuhi keperluan pada masa ini,"’ katanya.

 

Beliau menambah kumpulan itu juga berhasrat mengagihkan dividen sekurang-kurangnya 30% daripada keuntungan tahunannya kepada pemegang saham selepas selesai penyenaraiannya. – DagangNews.com