KUALA LUMPUR 21 Nov - Kira-kira 70 hingga 80 peratus kos perjalanan dan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke lima negara ditanggung oleh syarikat swasta yang terlibat sama dalam urusan berkenaan.
Perkara tersebut didedahkan Perdana Menteri sendiri memetik lima syarikat terlibat iaitu Petronas, Sapura Energy, Yinson dan Proton.
"Kami menjemput syarikat-syarikat yang mempunyai kepentingan perniagaan dan pelaburan untuk menyertai perjalanan ini, dan mereka menanggung tambang penerbangan dan kos-kos lain.
"Kerajaan juga membantu syarikat-syarikat ini sama ada untuk mengimport atau mengeksport," kata Anwar di Dewan Rakyat seperti laporan FMT.
Beliau menjawab pertanyaan Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang ingin mengetahui kesan kewangan dan hasil daripada lawatan-lawatan terbaharunya ke luar negara.
Anwar berkata, kos perjalanan ke Kaherah (Mesir), Riyadh (Arab Saudi), Lima (Peru), Rio de Janeiro (Brazil) dan Doha (Qatar) adalah tinggi, tetapi beliau tidak mempunyai angka yang tepat.
Anwar melakukan lawatan rangka kerja ke negara-negara tersebut sejak 9 November dan kembali ke Malaysia, semalam.
Beliau juga berada di China dari 4 hingga 7 November untuk Ekspo Import Antarabangsa China Ke-7 di Shanghai. - DagangNews.com