Hanya 3 pek minyak masak untuk setiap pembelian - KPDNHEP | DagangNews Skip to main content

Hanya 3 pek minyak masak untuk setiap pembelian - KPDNHEP

minyak masak pek polybag 1 kilogram

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)  memutuskan untuk penjual runcit mengenakan had pembelian minyak masak pek polybag 1 kilogram sebanyak tiga unit sahaja bagi setiap transaksi.

 

Pengarah Penguatkuasa Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, penetapan had tersebut berkuatkuasa pada 19 Januari 2021.

 

"Ianya bertujuan untuk memastikan lebih ramai pengguna berpeluang memperoleh bekalan minyak masak yang diberikan subsidi kerajaan.

 

"Adalah diingatkan kepada penjual runcit kebenaran ini adalah terpakai kepada minyak masak pek polybag 1 kilogram sahaja dan perlu dijual dengan harga RM2.50 sekilogram. 

 

"Tiada had pembelian perlu dikenakan ke atas minyak masak bukan dalam pek polybag 1 kilogram," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Minyak masak dalam bungkusan polybag 1 kilogram merupakan barang kawalan yang diberikan subsidi di bawah Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS).

 

Kerajaan juga komited dalam memastikan kestabilan keberadaan bekalan minyak masak tersebut yang diberikan subsidi bagi memastikan rakyat boleh mendapatkan bekalan minyak masak untuk kegunaan isi rumah khususnya dalam cabaran situasi pandemik COVID-19.

 

"KPDNHEP kekal konsisten mengawal selia aktiviti perdagangan dan pengedaran di negara ini bagi memastikan rangkaian pengedaran pemborongan dan peruncitan tidak terjejas sekali gus dapat memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia bahawa bekalan barangan keperluan asas dan penjagaan diri mencukupi di pasaran.

 

"Arahan ini juga memastikan tiada perlakuan peniaga yang mengambil kesempatan memanipulasi harga dan bekalan minyak masak semasa pandemik COVID-19," jelas beliau lagi. - DagangNews.com