Harapan operasi luar negara Tan Chong Motor dijangka terjejas | DagangNews Skip to main content

Harapan operasi luar negara Tan Chong Motor dijangka terjejas

Tan Chong Motor Holdings Berhad (TCM)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Syarikat automotif, Tan Chong Motor Holdings Berhad (TCM) mengharapkan prestasi luar negara iaitu Vietnam yang baik berikutan pelancaran dua kenderaan utiliti sukan baharu di bawah jenama MG pada suku kedua 2020.

 

Harapan tersebut bagaimanapun mendapat pandangan berbeza daripada CGS-CIMB Research yang menjangkakan operasi luar negara syarikat berkenaan akan terjejas.

 

"Kami menjangkakan operasi di luar negara kumpulan ini akan mengheret prestasi kewangan syarikat berikutan penghentian pengedaran model Nissan Sunny dan XTrail (CKD) sepenuhnya oleh Nissan Motor Corp di Vietnam pada akhir September 2020.

 

"Lebih-lebih lagi, kami jangkakan pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di kebantakan negeri di Semenanjung Malaysia akan mengurangkan sentimen pengguna sekali gus membawa kepada penurunan jumlah lawatan ke ruang pameran pada suku keempat 2020," jelas CGS-CIMB Research.

 

TCM mencatatkan peningkatan dalam jumlah pendapatan sebanyak 88% kepada RM965 juta pada suku ketiga 2020.

 

Peningkatan tersebut didorong oleh penjualan yang lebih tinggi daripada operasi di Malaysia melalui inisiatif pengecualian cukai oleh kerajaan bermula 15 Jun hingga 31 Disember 2020.

 

Jumlah jualan Nissan meningkat hampir 3x berbanding suku lalu hingga 4,785 unit.

 

Jumlah itu melonjak daripada hanya 1,638 unit pada suku kedua 2020.

 

Meskipun jumlah jualan meningkat, TCM bagaimanapun masih mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM7.3 juta pada suku ketiga 2020 yang disebabkan oleh kerugian yang semakin besar daripada operasi luar negara.

 

"Sebagai contoh, operasi Vietnam mencatatkan kerugian EBITDA (earnings before interest, taxes, depreciation, and amortization) yang lebih tinggi sebanyak RM24.7 juta pada suku ketiga 2020 berbanding kerugain EBITDA sebanyak RM16.7 juta pada suku kedua 2020," tambah CGS-CIMB Research.

 

Sementara itu, MIDF Research yang turut menyentuh berkaitan operasi di Vietnam berkata, LBITDA (loss before interest, tax, depreciation and amortisation) daripada operasi Vietnam meningkat kepada RM25 juta pada suku ketiga 2020 berbanding RM9 juta pada suku ketiga 2019 kerana kilang Danang kumpulan berkanaan masih kurang digunakan.

 

"Kami kekalkan saranan 'neutral' saham TCM dengan harga sasaran saham (TP) yang tidak berubah iaitu RM1.00.

 

"Almera baharu mungkin menjadi pemangkin penting kepada perolehan pendapatan kumpulan itu, namun kami tetap berhati-hati dengan kesan operasi TCM di Vietnam," tambah MIDF Research. - DagangNews.com