Harga minyak mentah, gas lonjak keuntungan bersih Petronas Chemicals kepada RM1.9 bilion | DagangNews Skip to main content

Harga minyak mentah, gas lonjak keuntungan bersih Petronas Chemicals kepada RM1.9 bilion

Petronas Chemicals menjangkakan kadar penggunaan loji akan melebihi 90% pada separuh kedua 2022. - Gambar : Facebook Petronas
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Petronas Chemicals Group Bhd. merekodkan untung bersih lebih tinggi pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 sebanyak RM1.9 bilion daripada RM1.86 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya di sebalik pengeluaran dan jumlah jualan yang lebih rendah. 

 

Ini menyaksikan pendapatan pada suku berkenaan meningkat 17% kepada RM6.58 bilion daripada RM5.6 bilion terutamanya didorong harga produk yang lebih tinggi berikutan harga minyak mentah dan gas yang tinggi. 

 

Antara Mac dan Jun 2022, harga minyak mentah Brent berada pada paras tertinggi dalam sejarah 10 tahun apabila krisis Rusia-Ukraine meningkat. 

 

Kadar penggunaan loji, bagaimanapun, menurun berikutan aktiviti pemulihan dan penyelenggaraan loji yang dijadualkan.

 

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022, pendapatan dan keuntungan bersih masing-masing meningkat 29% dan 19% kepada RM13.2 bilion dan RM3.9 bilion berbanding tempoh sama tahun kewangan 2021. 

 

Kumpulan turut mengumumkan bayaran dividen interim sebanyak RM2 bilion yang mewakili 51% daripada keuntungan bersih separuh pertama 2022.
 

 

Mohd. Yusri Mohamed Yusof
Mohd. Yusri Mohamed Yusof

 

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals, Ir. Mohd. Yusri Mohamed Yusof berkata, sejak perang Rusia-Ukraine bermula pada Mac, harga produk kekal kukuh pada suku kedua disebabkan harga minyak mentah dan gas asli yang tinggi.

 

Katanya, ini membantu mengurangkan kesan pengeluaran dan jumlah jualan kumpulan yang lebih rendah semasa aktiviti pemulihan dan penyelenggaraan berjadual di loji baja di Sipitang, Sabah dan loji metanol di Labuan. 

 

"Aktiviti-aktiviti ini merupakan pengawalseliaan dan perlu untuk memastikan keselamatan jangka panjang, kebolehpercayaan dan kecekapan fasiliti kami. 

 

"Memandangkan kami telah menyelesaikan semua aktiviti pemulihan dan penyelenggaraan loji pada separuh pertama 2022, dijangkakan kadar penggunaan loji kami akan melebihi 90% pada separuh kedua," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Mengulas mengenai prospek pasaran pada separuh kedua, beliau berkata, walaupun harga produk terus didorong oleh harga tenaga yang tinggi, peningkatan kos bahan mentah dan operasi ditambah dengan perintah berkurung China telah melemahkan permintaan, terutamanya bagi produk kimia hiliran. 

 

Menurutnya, harga olefin dan derivatif dijangka stabil dengan peningkatan permintaan berikutan pelonggaran sekatan di China, menjelang aktiviti stok semula pada akhir tahun ini. 

 

"Harga urea dilihat mempunyai beberapa pembetulan tetapi berkemungkinan akan kekal tinggi berbanding paras harga sejarah," tambahnya.

 

Dalam pada itu, Yusri berkata, aktiviti pentauliahan di Kompleks Bersepadu Pengerang berkembang sejak Mei dan permulaan fasiliti petrokimia telah bermula secara berperingkat sejak Julai. 

 

"Bagi projek pertumbuhan lain, pembinaan loji Nitrile Butadiene Latex di Pengerang dan etoksilat dan poliol khusus di Kerteh juga sedang berjalan dengan lancar, lebih awal daripada tarikh operasi jadual pada separuh kedua 2023," katanya.

 

Mengenai cadangan pengambilalihan Perstorp Holdings AB, beliau memberitahu, kumpulan menjangkakan untuk menyelesaikan transaksi pada awal suku keempat 2022. 

 

Katanya, pengambilalihan Perstorp adalah strategik untuk pertumbuhan lestari Petronas Chemicals ke arah merealisasikan matlamat pengembangan dan penyahkarbonannya.

 

“Sebagai platform pertumbuhan dalam portfolio bahan kimia khusus kami, Perstorp akan meningkatkan prestasi dan nilai jangka panjang kumpulan. 

 

"Kami percaya pengambilalihan ini akan mengekalkan kesinambungan masa hadapan syarikat kami dalam menghadapi turun naik pasaran dan perubahan industri yang dinamik serta memajukan peralihan transformasi ke arah masa depan pelepasan karbon sifar bersih," jelasnya. - DagangNews.com