Harga minyak sokong pengukuhan ringgit | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sokong pengukuhan ringgit

 

 

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Ringgit memulakan dagangan tinggi pagi ini disokong pengukuhan harga minyak yang hampir mencecah AS$60 setong. 

 

Mata wang itu dibuka pada RM4.0470/0510 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih tinggi daripada penutupan semalam pada RM4.0490/0530. 

 

AmBank Research dalam nota kajian berkata, minyak mentah Brent meningkat 1.74% kepada AS$58.46 setong manakala West Texas Intermediate naik 1.7% kepada AS$55.69 setong. 

 

Kedua-dua harga minyak ini berlegar pada paras tertinggi dalam tempoh 12 bulan, kata firma itu. 

 

"Kenaikan ini disebabkan bekalan minyak mentah dikurangkan kepada 1 juta tong sehari bagi minggu berakhir 29 Januari daripada 9.9 juta tong sehari minggu sebelumnya, seperti dilaporkan Agensi Maklumat Tenaga (EIA).

 

"Dalam masa sama, pengeluar minyak bersekutu Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) mengekalkan perjanjian pengurangan bekalan," katanya. 

 

Firma itu menjangkakan ringgit diniagakan hari ini pada paras sokongan antara RM4.0341 dan RM4.0427 manakala paras rintangan ditambat pada RM4.0593 dan RM4.0683. - DagangNews.com