Skip to main content

Hindustan Aeronautics buka pejabat di Kuala Lumpur untuk jual jet pejuang HAL Mk1

Hindustan Aeronautics berhasrat menawarkan 18 buah pesawat HAL Mk1 Tejas buatan negara itu bagi memenuhi keperluan TUDM.
oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Hindustan Aeronautics Limited (HAL) akan membuka pejabat operasinya di Kuala Lumpur bagi memudahkan urusan dalam program perolehan berkaitan di negara ini.

 

Persetujuan tersebut dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara Pengurus Besar LCA HAL, Ravi K dan Mejar (B)  Mohd. Husairi Mat Zain mewakili Forte Drus, iaitu wakil rasmi HAL di Malaysia.

 

Forte Drus merupakan sebuah syarikat tempatan yang terlibat dalam beberapa program perolehan termasuk senggaraan aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

 

Turut hadir menyaksikan MoU tersebut ialah Setiausaha Pertahanan India, Ajay Kumar dan Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia, B N Reddy.

 

Seperti diketahui, HAL berhasrat menawarkan 18 buah pesawat HAL Mk1 Tejas buatan negara itu bagi memenuhi keperluan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

 

HAL antara enam syarikat yang telah mengemukakan cadangan bagi merebut kontrak membekalkan 18 buah pesawat tempur ringan  (LCA) dengan kos RM4 bilion.

 

Program perolehan pesawat dwifungsi tempur ringan dan latihan lanjutan (LCA/FLIT) untuk TUDM penting pada firma aeroangkasa dari India itu untuk menembusi pasaran luar negara pertamanya.

 

Selain itu, HAL juga berhasrat menawarkan kepakaran dalam program menaik taraf pesawat milik TUDM iaitu Sukhoi SU-30MKM dan Hawk.

 

hindustani
Majlis menandatangani MoA pembukaan pejabat operasi HAL di Kuala Lumpur yang ditandatangani dengan pihak Forte Drus.

 

Seperti diketahui, Tentera Udara India juga menggunakan pesawat sama iaitu Sukhoi SU-30MKI dan Hawk selain menjadi pengguna pesawat Sukhoi terbesar di dunia.

 

Sebagai sebuah daripada syarikat pengeluar komponen pesawat-pesawat buatan Rusia, HAL juga mempunyai kemahiran dalam bidang senggaraan serta menaik taraf pesawat.

 

HAL dalam satu kenyataan memaklumkan, pembukaan pejabat operasi di Kuala Lumpur juga penting dalam mengukuhkan kehadiran syarikat itu untuk meneroka pasaran di Asia Tenggara.

 

Menurut kenyataan tersebut, ini juga mengukuhkan komitmen India dalam menyokong ATM serta kemajuan industri pertahanan khususnya dalam bidang aeroangkasa.

 

"Kita menjangkakan keputusan perolehan LCA TUDM akan diumumkan dalam masa terdekat oleh kerajaan Malaysia.

 

hal
Malaysia dan India mempunyai hubungan kerjasama pertahanan yang baik menerusi pelbagai latihan yang dilaksanakan.

 

"LCA Tejas juga mempunyai peluang yang baik dalam pemilihan tersebut berdasarkan ciri-ciri yang diperlukan oleh TUDM," ujar kenyataan itu yang dikeluarkan hari ini.

 

Selain itu, HAL yang ditubuhkan pada 1964 turut membina pesawat lain seperti HTT-40, Do-228, Advanced Light Helicopter (ALH) dan helikopter tempur ringan yang juga berpotensi untuk ditawarkan kepada TUDM pada masa hadapan. - DagangNews.com