HL-Manufacturing meterai perjanjian sewa dengan Senai Airport Terminal | DagangNews Skip to main content

HL-Manufacturing meterai perjanjian sewa dengan Senai Airport Terminal

Barisan produksi HLM yang akan dikembangkan di atas tanah sewaan baharu.

KUALA LUMPUR 26 Jan - Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd., pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Senai menandatangani perjanjian sewa jangka panjang dengan HL-Manufacturing Industries Sdn. Bhd. (HLM) untuk mengembangkan fasiliti pra-tuangnya.

 

Perjanjian sewa tanah berkeluasan 5 ekar ini dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran HLM dalam sebulan, serta pembuatan konkrit komponen bangunan pratuang, termasuklah unit perumahan, bilik air, façade, tangki air, saluran, parapet, pelongsor dan teras bagi memenuhi permintaan projek pembangunan di Singapura.

 

HLM merupakan cawangan bagi HL Building Materials Pte Ltd di Singapura, anak syarikat dimiliki sepenuhnya oleh Hong Leong Asia Ltd.

 

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah HLM, Woo Min Fong menyatakan lokasi strategik dan aksesibiliti ke lebuh raya merupakan faktor utama Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dipilih untuk mengembangkan operasi perniagaan mereka.

 

Pembinaan fasiliti baharu ini dijangka siap pada pertengahan tahun ini.

 

Lapangan Terbang Antarabangsa Senai merupakan pintu masuk udara yang utama bagi wilayah selatan Malaysia, dengan 135 ekar tanah sedia ada untuk pembangunan komersil dan industri di sekelilingnya. 

 

Plot-plot tanah ini termasuklah di Senai Airport Free Industrial Zone dan Senai Airport Aviation Park, amat sesuai untuk perniagaan dan pemain industri penerbangan bertapak bagi memenuhi permintaan yang semakin tinggi dari pasaran Asia Pasifik.

 

Sehingga kini, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai telah melabur lebih daripada RM600 juta untuk membangunkan kemudahan lapangan terbang dan plot tanah dengan infrastruktur dan utiliti yang lengkap. - DagangNews.com