Hong Leong Bank, PayNet jalin kerjasama laksana Projek Kampung Tanpa Tunai di Sekinchan | DagangNews Skip to main content

Hong Leong Bank, PayNet jalin kerjasama laksana Projek Kampung Tanpa Tunai di Sekinchan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Julai - Hong Leong Bank Berhad menjalinkan kerjasama dengan Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) bagi melaksanakan 'Projek Kampung Tanpa Tunai' di Sekinchan, Selangor.

 

Projek itu antara lain bertujuan memastikan keseluruhan 24,000 penduduk Sekinchan mempunyai akses kepada kemudahan perkhidmatan perbankan selain memperkasakan 800 pemilik perniagaan untuk mendigitalkan perniagaan mereka menerusi penerimaan bayaran tanpa tunai dan tanpa sentuhan.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Bank, Domenic Fuda berkata, kerjasama dengan PayNet itu adalah untuk mengubah Sekinchan menjadi kampung tanpa tunai pertama di Malaysia dan ia adalah selaras dengan strategi 'Digital at the Core' dan nilai amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi memacu kewangan digital dalam komuniti.

 

"Walaupun terdapat peralihan yang jelas ke arah kaedah pembayaran digital dan tanpa tunai di Malaysia, masih terdapat kadar penerimaan yang rendah di kawasan luar bandar dan inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk memacu kewangan digital di negara ini.

 

"Kami juga percaya bahawa rangkuman kewangan tidak hanya terhad kepada penembusan dan penerimaan tanpa tunai kerana ia juga melibatkan peningkatan akses kepada peluang perbankan serta pendidikan kewangan untuk anak muda bagi memupuk generasi masa depan pintar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
 

Menerusi ‘Projek Kampung Tanpa Tunai’ itu, institusi kewangan itu berharap dapat memperkasakan komuniti perniagaan dalam meraih lebih banyak peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan penerimaan pembayaran tanpa tunai.

 

Bagi fasa permulaan, Hong Leong Bank akan memudahkan urusan pembukaan akaun bank dan pengeluaran kad debit untuk komuniti Sekinchan tanpa perlu mengunjungi cawangan bank.

 

Bagi komuniti perniagaan, kesemua 800 perniagaan akan dilengkapkan dengan kit permulaan HLB DuitNow yang termasuk QR DuitNow untuk perniagaan menerima pembayaran QR tanpa sentuh daripada aplikasi perbankan mudah alih dan eDompet, serta Terminal Pembayaran All-in-One yang menerima kedua-dua pembayaran kad dan QR.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Farhan Ahmad berkata, hasil kajian pihaknya mendapati jurang antara bandar dan luar bandar dalam penggunaan tanpa tunai masih wujud, dengan hampir dua pertiga rakyat Malaysia di kawasan luar bandar masih memilih wang tunai untuk membayar perberlanjaan harian, hanya 36.2% di kawasan bandar masih membayar tunai untuk perbelanjaan harian mereka.

 

"'Projek Kampung Tanpa Tunai' itu bertujuan merapatkan jurang dengan menerima pakai pembayaran tanpa tunai melalui DuitNow QR atau dengan kad ATM MyDebit mereka.

 

"Bagi mengoptimumkan impak, kami berhasrat untuk mengembangkan projek itu ke kawasan luar bandar yang lain," katanya. - DagangNews.com