Skip to main content

HSBC Amanah urus sukuk SRI Hijau pertama ASEAN bernilai RM260j

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Kumpulan HSBC menerusi HSBC Amanah Malaysia Berhad (HSBC Amanah) bakal menguruskan sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) Hijau pertama ASEAN untuk syarikat pegangan pelaburan, Leader Energy Sdn Bhd (Leader Energy).

Leader Energy merupakan anak syarikat Kumpulan HNG Capital yang memfokuskan pada penjanaan tenaga boleh diperbaharui.

HSBC Amanah memberitahu, pihaknya juga akan bertindak sebagai penasihat dan pengurus utama tunggal ke atas keluaran Sukuk Wakalah yang berpelbagai peringkat iaitu satu hingga 18 tahun bernilai RM260 juta.

Sukuk itu sekaligus menyaksikan terbitan projek pembiayaan Lead Energy dalam pasaran bon Ringgit Malaysia.

“Hasil sukuk itu akan digunakan untuk pembiayaan semula kemudahan HSBC sedia ada yang digunakan untuk menyokong pembangunan dua projek tenaga solar fotovolta di Kuala Muda, Kedah dengan gabungan kapasiti 49MWac. 

“Kedua-dua projek tersebut bergerak di bawah konsesi program tawaran tenaga ‘LargeScale-Solar LSS1 dan LSS2’ oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST),” kata HSBC Amanah menerusi satu kenyataan hari ini. 

 

Stuart Milne
Stuart Milne

 

Segmen perniagaan HNG Capital melibatkan penjanaan tenaga dan sektor sistem gear terutamanya menerusi pemilikan dan pengendalian loji tenaga di ASEAN. Ketika ini, kumpulan itu menumpukan projek tenaga boleh diperbaharui di Malaysia dan Vietnam. 

Sukuk Wakalah yang diiktiraf dengan penarafan AA-IS oleh Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) itu juga dianugerahkan dengan penarafan kemampanan bon ‘Emas’ iaitu gred tertinggi dalam kaedah Penilaian Bon Impak MARC.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Stuart Milne berkata, terbitan sukuk berkenaan menunjukkan terdapat kecenderungan ke arah perniagaan ‘hijau’ dalam pasaran.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada Leader Energy ke atas terbitan pembiayaan projek solar ini. Walaupun terdapat cabaran dalam pasaran akibat COVID-19, namun urus niaga ini menarik permintaan yang tinggi daripada 12 pelabur terdiri daripada syarikat insurans, pengurus aset dan institusi kewangan,” kata Milne dalam kenyataan sama. - DagangNews.com