Hutang RM1.502 juta, pengendali The Mines Resort & Golf Club bakal gulung tikar | DagangNews Skip to main content

Hutang RM1.502 juta, pengendali The Mines Resort & Golf Club bakal gulung tikar

Mines Excellence Golf Resort Bhd.

KUALA LUMPUR 10 Jun - Pengendali The Mines Resort & Golf Club, Mines Excellence Golf Resort Bhd. berkemungkinan gulung tikar setelah difailkan petisyen penggulungan oleh syarikat perkhidmatan pengurusan kapal, Wilhelmsen Ships Service Malaysia Sdn. Bhd.

 

Petisyen penggulungan tersebut dibuat kerana syarikat Mines Excellence gagal membuat pembayaran hutang sebanyak RM1.502 juta.

 

Menurut petisyen berkenaan, Mines Excellence telah berhutang dengan Wilhelmsen Malaysia pada 31 Ogos 2020, lapor The Edge.

 

Permohonan terhadap petisyen berkenaan dikemukakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 April lalu melalui firma guaman Tetuan Chooi & Company + Cheang & Ariff (CCA).

 

Wilhelmsen Malaysia sebelum ini menyaman operator kelab tersebut dan berjaya memperoleh Penghakiman Mahkamah Tinggi pada 24 April 2019.

 

Kemudiannya, Mahkamah Rayuan pada 28 November 2019 memutuskan bahawa Penghakiman Mahkamah Tinggi tersebut dikekalkan dan rayuan kelab operator tersebut ditolak.

 

Petisyen penggulungan yang difailkan terhadap Mines Excellence itu mengikut peruntukan Akta Syarikat 2016.

 

Mines Excellence juga didakwa telah melantik firma guaman Tetuan S Ravichandaran & Anuar sebagai peguamnya.

 

Petisyen berkenaan dijadualkan akan didengar pada 4 Ogos nanti. - DagangNews.com