IJM Corp yakin capai prestasi kewangan lebih baik menjelang 2021 | DagangNews Skip to main content

IJM Corp yakin capai prestasi kewangan lebih baik menjelang 2021

IJM Corp Bhd.

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Syarikat IJM Corp Bhd. memberi keyakinan mampu mencapai prestasi kewangan yang lebih baik menjalang tahun 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Liew Hau Seng berkata, keyakinan tersebut dinilai selepas kesemua perniagaannya kembali beroperasi sepenuhnya.

"Asas kumpulan kami tetap kukuh dan disokong oleh portfolio perniagaan yang berdaya saing selain kunci kira-kira kami yang kuat untuk mengatasi sebarang kemungkinan dalam jangka masa pendek.

"Kami optimis bahawa prestasi kami pada suku tahun kewangan akan datang yang berakhir pada 31 Mac 2021 akan lebih baik," jelasnya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan itu semalam.

IJM mempunyai pelbagai aset infrastruktur seperti Pelabuhan Kuantan selain aset konsesi lebuh raya seperti Lebuhraya Pantai Baru, Lebuhraya Kajang-Seremban dan Lebuhraya Pantai Barat.

Selain itu, IJM turut menerima pesanan pembinaan bernilai RM5.5 bilion merangkumi perojek bangunan, infrastruktur, dan jalan raya daripada sektor swasta dan awam.

Jelas beliau lagi, perkara tersebut juga menjadi faktor kepada keyakinan syarikat dalam tempoh beberapa tahun mendatang.

"Perkara itu akan memberi pendapatan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang. 

"Kejayaan mendapatkan projek seperti projek pusat beli-belah dan Penang Waterfornt  Convention Center (RM865 juta) di The Light City, Pulau Pinang serta TRX Residences (RM530) di Tun Razak Exchange (TRX) yang merupakan projek berprestasi tinggi yang membolehkan IJM menyerlahkan lagi potensi dan keupayaannya," tambah beliau.

IJM sebelum ini melalui fasa yang lebih mencabar akibat penularan wabak COVID-19 hingga terpaksa membekukan operasi perniagaan. - DagangNews.com