IJM Land bantu 50 keluarga menerusi Program Subsidi Prasekolah | DagangNews Skip to main content

IJM Land bantu 50 keluarga menerusi Program Subsidi Prasekolah

Hoo Kim See (dua dari kanan) menyampaikan cek contoh bernilai RM45,000 kepada wakil-wakil sekolah tadika di Negeri Sembilan yang terlibat dalam Bantuan Pendidikan Nirsentuh COVID-19: Program Subsidi Prasekolah.

 

 

SEREMBAN 3 DisPemaju hartanah IJM Land Berhad melancarkan usaha  membantu keluarga yang bergelut dengan pandemik melalui Bantuan Pendidikan Nirsentuh COVID-19: Program Subsidi Prasekolah, yang membolehkan kanak-kanak dari komuniti kurang bernasib baik di Seremban untuk menerima pendidikan asas yang mereka layak.

 

Ia adalah sejajar dengan inisiatif utama di bawah program Pelaburan Komuniti COVID-19 IJM dan tonggak utama IJM Land dalam Dasar Pelaburan Komuniti mereka untuk menyokong keperluan pendidikan individu yang layak.

 

Dalam konteks ini, IJM Land amat bertegas dalam misi mereka untuk meningkatkan kebajikan rakyat dan memainkan peranan aktif untuk memastikan kanak-kanak dalam komuniti rentan tidak ketinggalan dalam pendidikan mereka.

 

Melalui Program Subsidi Prasekolah ini, kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun dari latar belakang kurang bernasib baik, termasuk kanak-kanak OKU dan mereka yang merupakan anak yatim di Seremban akan mendapat peluang yang adil dalam pendidikan sama seperti rakan sebaya mereka.

 

Pengurus Besar Kanan IJM Land (Wilayah Tengah), Dato' Hoo Kim See berkata, melalui inisiatif ini, mereka berharap dapat meningkatkan kehidupan keluarga berpendapatan rendah ini dengan memberikan bantuan kewangan selama enam bulan untuk perbelanjaan prasekolah anak-anak mereka.

 

Pada masa yang sama kata beliau, pihaknya ingin menyampaikan mesej kepada kanak-kanak ini bahawa mereka juga berhak mendapat peluang yang adil apabila melibatkan pendidikan asas mereka.

 

"Setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang yang sama untuk menerima pendidikan yang baik dan mempelajari kemahiran yang akan membantu mereka untuk berkembang maju pada masa akan datang.

 

‘’Walau bagaimanapun, kami tahu bahawa terdapat keluarga yang hidup dalam kesusahan dan sedang berjuang untuk mengatasi cabaran hidup terutamanya pada masa kini.

 

‘’Oleh itu, kami di IJM Land bekerja keras untuk membantu keluarga ini dan memastikan anak mereka yang tinggal di Seremban diberi peluang untuk menerima pendidikan asas dan dilindungi sepanjang masa tanpa mengira latar belakang mereka,," kata Hoo dalam kenyataan di sini hari ini.

 

IJM
Hoo Kim See (kanan) menyampaikan bantuan kepada Misliza Mohni, Naib Presiden Pertubuhan Tadika Swasta Negeri Sembilan (TUNTASN9).

 


IJM Land menjalin kerjasama Persatuan Guru Tadika Swasta Negeri Sembilan dan Pertubuhan Tadika Swasta Negeri Sembilan (TUNTASN9) untuk mengenal pasti murid-murid ini.

 

Dan sejumlah RM45,000 bantuan kewangan termasuk pelbagai perbelanjaan seperti pelitup muka kanak-kanak akan disumbangkan kepada 50 penerima daripada 16 prasekolah di Seremban selama setahun dalam usaha terus menyebarkan kesedaran dan pengetahuan untuk kekal selamat semasa pandemik ini. – DagangNews.com