Agenda menjadikan aktiviti kewangan sosial lebih adil | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 20 Jul 2021 07:19 AM

Agenda menjadikan aktiviti kewangan sosial lebih adil

 

 

DALAM iklim dunia perniagaan masa kini, terdapat organisasi yang berniaga untuk mengaut keuntungan  maksimum dan ada juga mengambil jalan tengah dengan mengimbangkan antara keuntungan dan kebajikan masyarakat sekeliling. 

 

Terdapat banyak cara baharu bagi organisasi untuk menjalankan perniagaan organisasi mereka sehinggakan kini terbit satu terma yang sering diperkatakan - kewangan sosial. 

 

Malah, beberapa pengkaji mendapati keperluan untuk memaksimumkan keuntungan bagi sesuatu organisasi termasuklah institusi kewangan sosial telah mengalami tren menurun.

 

Dari sudut ekonomi, institusi kewangan sosial sebenarnya bertindak sebagai perantara kewangan dengan menghubungkan penawaran dan permintaan modal kepada pemain-pemain yang tidak formal. 

 

Permintaan dua pihak sebegini akan mengumpulkan dana dari pelabur atau penyedia dana dan seterusnya mengagihkan dana terkumpul kembali ke mana-mana perusahaan sosial yang bakal manfaatkan masyarakat secara keseluruhan.

 

Konsep kewangan sosial adalah untuk menyediakan kemudahan kewangan seperti pembiayaan tunai mahupun pembiayaan pemilikan aset untuk rakyat yang tidak layak (kurang layak) mendapat kemudahan kewangan kerana faktor keupayaan kredit mereka terbatas. 

 

Ini termasuk golongan miskin dan bekerja sendiri untuk keperluan kehidupan seharian mereka. 

 

Kewangan sosial mampu memberi mereka kemudahan kredit formal yang mudah, syarat minimum untuk membuka akaun perbankan ataupun pembiayaan dan kemudahan akses kewangan yang baik.

 

Apakah makna kewangan sosial Islam? 

 

Kewangan sosial Islam sebenarnya adalah aktiviti-aktiviti kewangan sosial biasa yang dilaksanakan dalam ekonomi berdasarkan kepada kehendak syariah. 

 

Kehendak syariah pula bersumberkan kepada Al-Quran, sunnah, ijma’ dan qiyas. Apa-apa sahaja elemen yang dilarang syariah dalam aktiviti kewangan adalah dilarang seperti aktiviti kewangan yang berasaskan kepada riba, judi dan tidak pasti. 

 

Objektif utama kewangan sosial Islam bukan sahaja memberi tumpuan kepada komuniti yang kurang mendapat kemudahan kewangan tetapi ia juga mempunyai agenda menjadikan aktiviti kewangan sosial biasa ini lebih adil bagi semua orang dengan menerapkan prinsip syariah yang beretika dan bermoral. 

 

Dalam erti kata lain, kewangan sosial biasa tidak mewajibkan aktiviti kewangan sosial mereka mematuhi syariah, tetapi untuk kewangan sosial Islam mematuhi kehendak syariah adalah satu kemestian.

 

 

Fintech
Kewangan sosial Islam hari ini memerlukan tafsiran syariah dengan adanya perkembangan teknologi kewangan (fintech).

 

 

Kewangan sosial Islam dikawal oleh parameter syariah yang memastikan aktiviti kewangan yang dilaksana untuk mencapai maqasid (objektif) syariah dengan menyediakan perlindungan kepada keimanan, kehidupan, akal fikiran, keturunan dan harta setiap rakyat dalam ekonomi tidak kira sama ada Islam atau bukan.

 

Dengan perkembangan teknologi kewangan (fintech), kini kewangan sosial Islam dilihat memerlukan tafsiran syariah yang baharu untuk bermuamalat seiring dengan kecanggihan teknologi maklumat. 

 

Kaedah-kaedah baharu seperti mengenal pasti peluang sektor-sektor baharu untuk dikembangkan seperti waqaf dan zakat perlu dijadikan agenda utama. 

 

Kewangan sosial yang berteknologi

 

Ini kerana sejarah membuktikan kewangan sosial mampu mengembalikan tamadun ekonomi Islam yang gemilang.

 

Apakah kita bersedia untuk menerima cabaran kewangan sosial Islam yang berteknologi ini?

 

Penulis merasakan ia tidak mustahil untuk dilaksana dengan memperhebatkan usaha pendidikan serta kempen kesedaran. 

 

Generasi baharu kini terutama golongan muda dalam generasi milenium, akan dengan mudah bersedia untuk memahami, mengamal, merangkul dan menyokong penggunaan kewangan sosial Islam yang berteknologi ini. 

 

Penulis percaya bahawa kewangan sosial Islam akan menerajui masa depan kewangan pada masa akan datang. 

 

Kewangan sosial Islam akan terus didorong oleh inovasi dalam produk dan perkhidmatan, model perniagaan dan teknologi bagi memenuhi permintaan sektor yang masih tidak mampu diberikan kemudahan kewangan secara formal.

 

Dr Razli Ramli merupakan seorang Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. - DagangNews.com