Impak PKPD minimum ke atas kewangan Q3 Axis REIT, ramal CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Impak PKPD minimum ke atas kewangan Q3 Axis REIT, ramal CGS-CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Julai - Setelah menonjolkan prestasi kewangan yang agak memberangsangkan pada separuh pertama tahun 2021 (1H21), penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dijangka hanya mendatangkan impak minimum ke atas Amanah Pelaburan Hartanah Axis (Axis REIT) pada 2H21.

 

Penganalisis di CGS-CIMB Research, Sharizan Rosely berkata, impak penguatkuasaan berkenaan mungkin tidak ketara terhadap kewangan kumpulan pada suku ketiga tahun kewangan 2021 (3QFY21) dan terhad kepada rebat atau pengecualian kadar tempat letak kereta.

 

“Kami juga terus menjangkakan risiko penurunan yang minimum ke atas pendapatan sewanya pada FY21 (penyusunan semula ruang dan rebat sewa) memandangkan penyewa pejabat menyumbang 5% daripada jumlah portfolio kawasan sewa.

 

“Strategi pertumbuhan aset kumpulan bagi ruang logistik dan gudangnya dalam keadaan baik pada FY21, dengan nilai pengambilalihan dalam perancangan tidak berubah, RM135 juta (RM267 juta untuk lima aset baharu yang dilengkapkan pada FY20). 

 

“Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan perolehan sesaham (EPS) utama pada FY21, FY22 dan FY23, masing-masing pada kadar 0.4%, 12.8% dan 12%, disokong oleh 2% hingga 3% ramalan pembalikan sewa tahunan dan kadar penghunian yang baik sebanyak 92% sejak beberapa tahun lalu,” jelas beliau dalam satu nota kajian. 

 

Semalam, kumpulan mengumumkan peningkatan 9.27% dalam pendapatan hartanah bersih (NPI) pada 2QFY21 yang berakhir 30 Jun 2021 kepada RM53.44 juta daripada RM48.91 juta pada suku sama pada tahun sebelumnya. 

 

Axis REIT juga mengumumkan agihan pendapatan seunit (DPU) interim kedua sebanyak 2.4 sen, termasuk bahagian tidak cukai sebanyak 0.51 sen yang akan dibayar pada 30 Ogos.

 

Bagi prestasi sepanjang 1H21, kumpulan mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM63.3 juta.

 

Kumpulan dijangka mencatatkan prestasi perolehan yang lebih kukuh pada 2H21 dipacu oleh pendapatan sewa yang lebih tinggi daripada aset baharu, sebahagiannya mengurangkan impak rebat sewa tempat letak kereta. 

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ ke atas saham Axis REIT dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM2.44 sesaham. 

 

Senada itu, MIDF Research turut mengekalkan saranan ‘beli’ saham kumpulan dengan TP pada kadar RM2.04 sesaham. 

 

MIDF tidak membuat sebarang perubahan ke atas unjuran perolehan kumpulan pada FY21 dan FY22, menurut penganalisisnya, Jessica Low Jze Tieng. 

 

“Kami kekal positif terhadap prospek perolehan untuk Axis REIT memandangkan portfolio aset kumpulan yang terutamanya terdiri daripada aset perindustrian, di mana penyewa masih beroperasi semasa pandemik COVID-19. 

 

“Selain itu, pertumbuhan perolehan juga dijangka disumbang daripada sasaran pengambilalihan aset yang berpotensi dengan jumlah dianggarkan bernilai RM135 juta,” katanya. - DagangNews.com