Formula menjadi suami setia, isteri taat supaya rumah tangga aman damai | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 01 Jan 2025 07:00 AM

FORMULA MENJADI SUAMI SETIA, ISTERI TAAT SUPAYA RUMAH TANGGA AMAN DAMAI

 

 

 

Artikel minggu ini agak berlainan sedikit kerana saya akan menyentuh tentang isu rumah tangga.

 

Alhamdulillah saya baru meraikan ulang tahun perkahwinan saya yang ke-30. Kami memilih untuk meraikan ulang tahun bersama anak-anak sambil bercuti. Syukur Alhamdulillah di atas nikmat kasih sayang dan ketenangan rumah tangga yang Allah kurniakan kepada kami selama ini.

 

Ada rakan-rakan bertanya, apakah formula kami mampu bertahan selama 30 tahun dan adakah berlaku apa-apa ujian yang melanda rumah tangga kami?

 

Ramai di antara rakan-rakan sebaya saya yang dilanda pelbagai ujian dan mereka tewas dengan ujian itu. Walau nampak di luaran mereka amat bergaya dan berjaya, namun rumah tangga mereka kacau-bilau dan jiwa mereka tidak tenang. 

 

Saya dan isteri kelihatannya nampak macam sentiasa bahagia dan tenang saja macam tiada apa-apa ujian melanda. Jadi ramai yang berfikir kami tiada ujian rumah tangga. Persepsi ini kurang tepat sebenarnya. Seperti pasangan lain, kami juga sentiasa diuji namun ujian kami Allah beri di dalam bentuk yang lain dan bukan ujian hubungan di dalam rumah tangga.

 

Sebenarnya saya bukanlah orang yang layak untuk bercakap hal ini kerana saya bukan kaunselor rumah tangga yang bertauliah. Ada lebih banyak pasangan di luar sana yang rumah tangga mereka bahagia dan bertahan 40, 50 malah 70 tahun pun ada.

 

Setiap orang mempunyai pengalaman dan formula yang tersendiri. Di dalam artikel ini saya sekadar berkongsi apa yang saya dan isteri lalui jika ia boleh dijadikan panduan terutamanya kepada pasangan muda.

 

 

wasiyyah

 

 

Formula pertama: Perlu sentiasa ingat apakah nawaitu kita untuk berkahwin

Jika kita berkahwin kerana Allah SWT, insya-Allah segala-galanya akan berjalan dengan baik. Kita akan tetap berdepan dengan ujian-ujian yang berat namun kerana di dalam hati kita telah sematkan nawaitu bahawa kita berkahwin kerana Allah dan mahu memburu redhaNya, Allah akan permudahkan perjalanan rumah tangga kita.

 

Perkahwinan itu satu ibadat dan ia mesti diperjuangkan dengan nawaitu yang betul. Isteri dan anak-anak itu pula adalah satu amanah dan mesti dipelihara sebaik-baiknya oleh si suami.

 

Suami tidak setia dan isteri tidak taat kerana mereka berkahwin di atas nawaitu selain daripada Allah SWT. Mereka berkahwin kerana cinta, nafsu atau paras rupa. Apabila semakin dihambat usia dan semua elemen ini mulai berkurangan pada pasangan kita, maka hubungan pun semakin hambar dan akhirnya masing-masing memilih laluan sendiri. 

 

Formula kedua: Sentiasa ingat dari mana kita bermula

Ketika kita mula berumahtangga dahulu, kita tiada apa-apa. Kita tiada harta, kita tiada pangkat. Pasangan kita menerima kita seadanya di atas sifat kita pada ketika itu. Allah telah mentakdirkan untuk kita bersama kerana hanya Dia yang Maha tahu bahawa inilah orang yang terbaik untuk bersama kita.

 

Pasangan baik suami mahupun isteri jangan sesekali lupa, dari mana kita bermula di dalam kehidupan ini. Daripada hidup cukup-cukup makan dan kadang-kadang tidak cukup makan pun, kita bersama-sama merangkak selangkah demi selangkah sehinggalah Allah mengurniakan kita dengan pelbagai nikmat dan rezeki.

Pasangan perlu sentiasa ingat di dalam fikirannya bahawa suami atau isteri kitalah yang telah berada di sisi kita di saat kita menangis dan ketawa. Mereka jugalah yang telah berkorban segala-galanya untuk kita.

 

Adakah apabila kita sudah dikurniakan sedikit kesenangan sekarang, kita lupa segala pengorbanan  pasangan kita? Kenanglah jasa baik dan pengorbanan mereka. Jangan sesekali lupa dari mana kita bermula.

 

 

wasiyyah

 

 

Formula ketiga: Kekang masalah rumah tangga daripada melarat kepada masalah lain

Rumah tangga memang akan sentiasa dilanda masalah terutamanya masalah kewangan. Saya dan isteri selalu mengingatkan satu sama lain bahawa jika kita berdepan masalah kewangan, biarkan ia kekal menjadi satu-satunya masalah kita. Kita fokus sahaja kepada mencari penyelesaian kepada masalah kewangan itu.

 

Janganlah kita menyebabkan masalah kewangan itu melarat kepada masalah-masalah lain pula. Sangat biasa saya perhatikan apabila pasangan itu ada masalah kewangan, ia merebak pula kepada masalah hubungan di antara suami isteri. Isteri menuduh suami tidak bertanggungjawab dan tidak berusaha bersungguh-sungguh mencari nafkah yang secukupnya untuk keluarga.

 

Suami pula merasakan isteri tidak faham keadaan semasa. Pergaduhan berlaku setiap hari. Suami akan mencari hiburan di luar kerana bosan bergaduh di rumah. Isteri pula akan mencari teman  lain untuk bercerita masalah keluarga. Akhirnya rumah tangga musnah.

 

Suami yang setia dan isteri yang taat akan sentiasa faham bahawa jika ada satu masalah di dalam rumah tangga, fokus sahaja kepada menyelesaikan masalah itu dan jangan dikaitkan pula masalah itu hingga munculnya masalah-masalah yang lain. 

 

Formula keempat: Ketenangan kehidupan berumahtangga itu rezeki paling berharga kurniaan Allah SWT

 

Pada usia separuh abad, saya sangat menghargai rezeki ketentangan fikiran dan hati yang Allah kurniakan.

 

Apabila pasangan dikurniakan rezeki ini, secara otomatik rumah tangga juga akan tenang. Maka bolehlah kita fokus kepada usaha-usaha lain dalam kehidupan kita. Oleh itu hargailah dan jagalah sebaik-baiknya ketenangan itu. 

 

Sebaliknya jika  suami tidak setia dan isteri pula tidak taat, mereka akan  mencari ‘escapism’ dengan cara mencari opsyen kebahagiaan di luar.

 

Namun  apa yang berlaku ialah mereka telah mencipta ketidakseimbangan dan ini menyebabkan rumah tangga berantakan. Ketenangan itu sebenarnya perlu diusahakan bersama di dalam rumah tangga dan bukannya dicari di luar. 

 

 

wasiyyah

 

 

Formula kelima: Jangan sekali-kali memikirkan kita ada opsyen lain kepada pasangan kita

 

Ramai rakan sebaya saya yang mempunyai  mentaliti bahawa mereka sentiasa ada opsyen untuk mencari kebahagiaan di luar apabila tidak bahagia di rumah.

 

Pada usia sebegini kebanyakan mereka sudah pun memiliki kewangan dan status yang stabil. Jadi mereka fikir mereka ada pilihan untuk mencari orang lain sebagai pasangan.

 

Jika si isteri sudah tua dan tidak lagi menarik dari segi fizikal, si suami akan cenderung mencari opsyen pasangan lain yang lebih muda. Mentaliti sebegini menyebabkan ramai di antara mereka sentiasa mencari-cari opsyen itu dan akhirnya terjebak dengan pelbagai masalah seperti poligami di sempadan atau mempunyai hubungan  sulit di luar.

 

Alhamdulillah setakat ini, saya tidak pernah mempunyai mentaliti itu. Kepada saya selagi diizin Allah SWT, isteri sayalah sahaja wanita yang akan berada di sisi saya sehinggalah salah seorang daripada kami dipanggil pulang olehNya.

 

Kami pernah muda bersama dan ketika ini kami sedang melalui saat-saat usia emas bersama.  

 

 

wasiyyah

 

 

Ada banyak sebenarnya formula-formula lain yang saya gunakan di dalam memelihara keharmonian rumah tangga selama 30 tahun namun ini adalah lima yang paling penting.

 

Saya suka berpesan kepada pasangan di luar sana bahawa bahagia itu sebenarnya bukanlah apa yang ada di luar atau apa harta yang kita miliki tetapi sebaliknya ia terkait dengan perasaan tenang dan bahagia apabila kita berada bersama.

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

 

dagangnews