Sinar Tari Negara pergi selamanya | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 16 Dec 2024 07:00 AM

SINAR TARI NEGARA PERGI SELAMANYA

 

 

"Karya kontemporari mestilah bermula dengan  asas yang kukuh dalam warisan tari tradisi"

Dato’ Paduka Hj Tharuwat Ismail Bakti

 

 

MINGGU ini kita kehilangan bintang dunia tari Malaysia. Seperti biasa, apabila sudah tiada lagi adiguru yang pernah menyinarkan pentas tari ini, barulah terasa betapa bertambah suram pentas dunia.

 

Saya merasa bertuah sempat mengenali Dato’ Paduka Hj Tharuwat Ismail Bakti, dan kini begitu hiba dengan pemergiaannya.

 

Semasa anak-anak masih kecil, Pak Tharuwat telah menjemput kami mengadakan kelas gamelan dan tarian asyik di perkarangan rumahnya yang penuh dengan khazanah budaya.

 

Kecopong dan rebab. Pemilis si anak dara, dan kuda kepang. Ramai yang menghadiri kelas tari menari dan bunyi-bunyian itu meraih kenangan indah tidak terhingga.

 

 

hikayat
Gambar kenangan penulis bersama Pak Tharuwat

 

 

Adiguru tari Mohamed Tharuwat Ismail Bakti atau Pak Tharuwat pernah satu ketika  dulu menjadi tarikan utama dunia dramatari dari Malaysia. Beliau memukau penonton di London, Tokyo, New York dan bermacam lagi pentas antarabangsa.

 

Perjalanan sebagai perekatari dan penari utama bermula di Kota Bharu, Kelantan hampir 80 tahun yang lampau. Ayahandanya Hj Ismail Bakti merupakan ketua seni budaya adat istiadat istana di Kelantan di bawah kelolaan Datuk Bijayalola Ketua Adat Istidat Istana.

 

Pada  tahun 1938, Ismail Bakti telah menubuhkan Kelab Suara Muda di Kota Bharu, yang kekal hingga kini.

 

Sukan, seni budaya dan persembahan teater menjadi fokus dan Tharuwat yang masih kecil, mengikut segala kegiatan Kelab di rumahnya.

 

Apabila Ismail Bakti memerlukan pengganti penari atau pelakon, Tharuwat sejak kecil lagi bersama adiknya Shazali pun terus menggantikan mana mana pelakon yang tidak hadir.

 

Begitulah mereka belajar makyung, menora, gunungan, garung, payang, ayam didik, zapin, joget dan lain-lain.

 

Bagi Ismail Bakti, tari bermakna ritma, muzik, gerakan, sajian, ekspresi, dan penceritaan, dan semua itu ajar kepada Tharuwat sejak usia muda.

 

Rumah Ismail Bakti itulah pusat latihan dan juga tempat di mana pakar tari yang lebih tua mencipta lagu untuk karya-karya rekatarinya. Ia adalah kehidupan yang penuh disiplin, latihan tanpa henti, dan muzik yang begitu menusuk jiwa.

 

 

hikayat

 

 

Pak Tharuwat pernah menceritakan pengalaman pertamanya ke Kuala Lumpur ketika berusia 12 tahun. Beliau meninggalkan Kota Bharu bersama ayahnya, dan perjalanan itu memakan masa dua hari.

 

Mereka terpaksa menyeberangi dan menyelusuri sungai dan menaiki 26 feri kesemuanya. Pengalaman feri Kuala Terengganu-Dungun-Paka amat membahayakan kerana begitu dekat dengan ombak besar; yang menyebabkan Tharuwat mabuk laut.

 

Dua puluh penari dan 12 ahli pemuzik telah pergi lebih awal dengan menaiki kereta api. Alat muzik dan busana diangkut dengan bas. Di zaman itu, ini merupakan usaha yang amat besar demi membawa segerombolan pasukan untuk persembahan tarian.

 

Namun, ini bukanlah calang-calang persembahan. Gerombolan Ismail Bakti dijemput khas oleh Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Tarian istana, tarian asyik, bakal dipamerkan untuk pertama kali di luar Kelantan.

 

Tempatnya? Istana Negara.

Tarikh dan acaranya? 31 Ogos 1957. Hari Merdeka.

 

Tarian asyik yang dipentaskan begitu diminati semua penonton. Tarian itu sekali lagi menjadi ciri istimewa makan malam yang diadakan di rumah Tunku pada malam berikutnya untuk tetamu antarabangsa.

 

Dan pada 5 September, persembahan tarian yang menawan dipersembahkan di Taman Tasik Perdana untuk orang ramai.

 


Khazanah begitu berharga 

Ini adalah antara sebab kita begitu terhutang budi dengan sumbangan keluarga Pak Tharuwat. Pada masa dahulu, daya tarikan asyik dan muzik yang mempesonakan telah terpendam dalam pemikiran rakyat kita sebagai titik tolak seni dan budaya yang halus.

 

Sejak itu, atas keprihatinan pemerintah tertinggi,  penghargaan terhadap budaya berkembang sebagai salah satu khazanah tidak ternilai.

 

 

hikayat

 

 

Dari Kuala Lumpur pada tahun 1940-an dan 1950-an ke pentas dunia pada tahun 1970-an, gerakan seni budaya Melayu khususnya, berkembang pesat menjadi kebanggaan di seluruh dunia.

 

Lahirnya seorang Adiguru

Pada tahun 1959, Tharuwat berusia 15 tahun dan sudah mula merekatari di istana diraja Kelantan. Tidak lama selepas itu, seluruh keluarga berpindah ke Kuala Lumpur.

 

Dan pada tahun 1963, Tharuwat mula mengajar asyik, di antara tari-tarian lain, di ibu kota. Penari dari seluruh negara berkumpul di rumah sewa di No 24, Jalan Hamzah, Kampung Baru, KL.

 

Dan gerakan tarian Melayu berkembang menerajui identiti budaya Malaysia.

 

Dari latar belakang klasik, Tharuwat yang berpengalaman mula melihat wawasan yang lebih besar untuk tarian Melayu.

 

Taridra (drama tari) memang sebahagian besar daripada penentasan dunia Melayu seperti yang dapat dilihat dalam makyung dan mek mulung. Kini, tiba masanya untuk tarian tradisional berkembang sealiran zaman. 

 

Pendekatan kontemporari bersandarkan asas kukuh tarian Melayu klasik menjadi kekuatan Pak Tharuwat.

 

Melalui tarian dan muzik, irama dan jiwa, karya seni yang  lebih indah memukau lebih dari kata-kata - sebuah bahasa yang difahami penonton dan peminat teater sedunia.

 

Pada tahun 1979, Tharuwat membantu merekacipta Jentayu untuk Datin Ezani Ahmad, yang kemudiannya dipertunjukkan secara antarabangsa. Kerjasama ini berterusan sehingga penghasilan makyung, Cempaka Emas.

 

Beliau turut menerajui pementasan Cik Siti Wan Kembang pada tahun 1987 untuk Persidangan Raja-Raja.

 

 

hikayat

 

 

Beliau menganggap bahawa Raja Bersiong, di mana beliau terlibat sebagai pengarah rekatari dan penari utama, yang diadakan di Dewan Ashashimbro, Tokyo, pada tahun 1990, adalah antara karya tarinya yang terbaik.

 

Pak Tharuwat mengajar di UiTM dan Universiti Malaya sehingga beliau bersara. Cintanya kepada seni tari menjadikan beliau ahli aktif dalam Kumpulan Mawarku, sebuah organisasi untuk penari yang dipimpin oleh Datuk Shazalli Ismail Bakti.

 

Melestarikan Harta Budaya

Saya sempat menyaksikan kali terakhir Pak Tharuwat beraksi di atas pentas mempersembahkan Tarian Asyik Sasang dengan Kumpulan Mawarku pada tahun 2015 ketika beliau berumur 70 tahun.

 

Pak Tharuwat berkata bahawa tarian itu darah daging hidupnya. Bagi beliau, ini adalah warisan diturunkan bapanya, Haji Ismail Bakti dan beliau yakin tarian klasik akan terus dilestarikan.

 

Namun begitu, beliau menyatakan dengan jelas bahawa tarian moden Melayu mesti mempunyai asas yang kukuh dalam tarian tradisional untuk mengekalkan nurani Malaysia.

 

Untuk itu, perlu wujud pemahaman yang mendalam dan berkesinambungan dalam tarian, muzik dan semua aspek persembahan, termasuk busana tarian. Jika tidak, keaslian dan perisian bentuk seni ini akan terjejas dan lenyap ditelan zaman.

 

Kini, Datuk Paduka Haji Tharuwat Ismail Bakti telah tiada.  Pusat Kebudayaan Tari Melayu yang berfokus kepada taridra, makyung, mek mulung dan seumpamanya masih dinanti nantikan.

 

Pusat sebegini sudah tentu boleh membantu memberi peluang kepada kebangkitan serta keberlanjutan ekonomi dari pementasan demi pelancongan yang berpotensi menguntungkan.

 

 

hikayat
Ninot memberi pengiktirafan kepada tokoh besar seni termasuk Dato Paduka Tharuwat Ismail Bakti semasa berucap pada majlis pelancaran Hikayat Fandom pada tahun 2022.

 

 

Sebagai contoh, pereka kostum dan tukang perhiasan tradisional serta pandai emas boleh membuat rekaan bagi produksi teater serta koleksi edisi terhad untuk pelancongan selain daripada barangan standard mereka.

 

Begitu juga, pereka pentas dan  prop boleh melakukan perkara yang sama untuk kepingan teater dan lain-lain kemahiran.

 

Sesungguhnya, apa jua pendekatan, sesuatu harus dilakukan untuk menyelamatkan dramatari dan bentuk tarian klasik Malaysia. Jakarta ada Taman Ismail Marzuki dan Prambanan ada Ramayana Balletnya. 

 

Mungkin, di Malaysia ini, peneraju seterusnya seperti dapat menjadikan ini satu kenyataan.

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb