Wacana 2 hala Perpustakaan Negara Malaysia dan Jambi Karya Raya, Indonesia | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 30 Dec 2024 07:00 AM

 

WACANA DUA HALA PERPUSTAKAAN NEGARA MALAYSIA DAN JAMBI KARYA RAYA, INDONESIA

 

 

Pada awal Disember 2024, dua penulis serantau, Rahma Yuniarsih dan saya, Ninot Aziz telah dijemput oleh Perpustakaan Negara Malaysia dan perpustakaan Jambi Karya Raya, Indonesia untuk berwacana membincangkan kepentingan sastera di satu Webinar Antarabangsa bertajuk Reading The World – Sharing Stories, Celebrating Cultures.

 

Rahma merupakan penulis berasal dari Jambi dan menceritakan bagaimana Jambi itu berteraskan budaya Melayu dalam budaya, busana dan seni binanya.

 

Beliau yakin dengan karyanya “Negeri Pusaka Batuah” menunjukkan semangat serumpun yang telah lama wujud. Setiap tempat ada menceritakan ‘Super hero’ dan baginya, hero di Jambi merupakan Orang Kayo Hitam. Ilustrasi dalam buku ini menunjukkan gaya unik Orang Kayo Hitam berbaju melayu dan menyisipkan kerisnya di rambut.

 

 

hikayat

 

 

Saya pula telah memperkenalkan buku “Kepulauan Melayu Ensiklopedia Berilustrasi Tamadun Alam Melayu” di mana sastera lisan berperanan penting dalam menzahirkan buah fikiran dan membentuk tamadun manusia.

 

Begitu lama jika kita ke muzium besar di dunia, atau garis masa katamadunan dunia, kita melihat tamadun Mesir, Greek dan Rom disebutkan. China dan India. Mayan. Sumerian. Dan bermacam lagi. Tetapi Tamadun Alam Melayu begitu kurang disebutkan.

 

Dan jika kita membaca buku sejarah, penceritaaan tamadun kita hanyalah satu atau dua perenggan. Selepas itu semuanya tentang penjajah datang memerintah kita.

 

Tetapi, dalam hikayat lama, kisah penjajah itu amat kurang. Inilah antara sebab Hikayat itu satu warisan yang penting mengenal jati diri.

 

Sejak zaman berzaman, budaya kehidupan di Kepulauan Melayu atau Nusantara amat berhubung kait dengan persekitarannya – lautan yang luas terbentang, hutan belantara penuh rahsia dan gunung-ganang yang agung.

 

Pemahaman mendalam dan renungan terhadap alam sekitar menjadi sumber kekayaan dan ilham kebudayaan serta kesusasteraan pelbagai etnik seluruh rantau ini.

 

Warisan sastera besar berupa hikayat, cerita rakyat dan peribahasa, bidalan serta pantun diilhamkan alam semulajadi membentuk jiwa dan nurani serta keperibadian dengan memberi keindahan bahasa.

 

Secara kolektif, hikayat, cerita rakyat dan peribahasa serta bidalan mutiara kata pujangga paling biasa digunakan mencerminkan kemahiran berfikir aras tinggi sesebuah negara. Seni, sastera dan sejarah saling membina tamadun bangsa.

 

Namun, apabila sastera kita mula terpisah dari naluri mencintai, menghormati dan menerokai alam sekitar, kita mula melihat ketidakseimbangan dalam kehidupan keseluruhan. Lebih membimbangkan, apabila keseimbangan budaya dan alam sekitar langsung tidak sehaluan.

 

 

Langkawi
Pemandangan indah Langkawi. - Gambar Aliff Haikal 

 

 

Hutan belantara terus dirempuh dan dirosakkan. Ketamadunan manusia terpisah dari alam sekitar yang menghijau. Setiap hari, ada haiwan yang terus lenyap dan lupus dari muka bumi.

 

Saya mengajak semua merenung bersama bagaimana cerita rakyat ini sangat penting bagi menghidupkan jatidiri anak bangsa, serta melestarikan  alam dan keseimbangan kehidupan saling mengukuh warisan sastera besar seperti hikayat, cerita rakyat dan mutiara kata.

 

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, pujangga mati meninggalkan sastera.

 

Persoalannya....Sastera mati meninggal apa?

Hikayat, cerita rakyat atau folklor itu bukan semata-mata untuk menghiburkan, malah bukan juga kerana memberi pengajaran, atau mengenal adab. Hikayat dan cerita rakyat ini penting untuk mengenal jati diri bangsa.

 

Melalui sastera lisan yang diturunkan kepada persembahan budaya, batu-batu bersurat dan manuskrip lama, kita dapat mempelajari berbagai aspek kehidupan manusia seperti kebudayaan, nilai-nilai, moral dan konflik di dalam masyarakat.

 

Antara contoh pemikiran dan kebijaksanaan lama tersurat pada inskripsi Talang Tuwo yang menceritakan keindahan alam taman Dapunta Hyang Sri Jayanasa iaitu Taman Śrī Ksetra untuk kebaikan semua makhluk.

 

Pendirian Dapunta Hyang Sri Jayanasa sebagai pengasas SriVijaya dicontohi masyarakat yang mempunyai budaya mesra alam, merakamkan keindahan segala flora dan fauna untuk kebaikan semua jenis ‘makhluk yang bergerak dan tidak bergerak.’ Kepimpinan Dapunta Hyang bercirikan pemerintah yang mementingkan rakyat jelata.

 

Inilah kayu ukur tamadun kita yang sejati.

 

 

Talang Tuwo
Batu Bersurat Talang Tuwo menceritakan penubuhan taman Śrīksetra yang dianugerahkan oleh Sri Jayanasa, Raja Srivijaya, untuk kesejahteraan semua makhluk.

 

 

Kekayaan kesenian dan sastera lisan

Dari tradisi sastera, kita juga dapat melihat keakraban pemikiran yang bercambah dari renungan dan penelitian terhadap alam sekitar. Pemahaman yang mendalam ini diselitkan dalam semua aspek budaya dan kehidupan seharian seperti pantun dan peribahasa.

 

Bagai aur dengan tebing
Sikit-sikit lama-lama jadi bukit
Ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk
Ada pasang, ada surut

 

Di Alam Melayu, sastera dan alam sememangnya berkait rapat dan tersangat erat. Sastera dapat mempengaruhi persepsi manusia terhadap alam dan amat penting dalam membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap perlindungan alam sekitar.

 

Melalui sastera, manusia dapat mencerminkan, memperlihat dan menganjung keindahan alam. Para penulis seringkali menggunakan alam sebagai sumber inspirasi dengan menggambarkan keindahan dari alam melalui penggunaan bahasa yang kaya dengan  gambaran kehidupan dan  alam semesta.

 

Selain itu, penggunaan simpulan bahasa, peribahasa dan lain lain  dalam sastera juga seringkali menggunakan unsur alam sebagai simbol atau metafora. Contohnya dalam Hikayat Melayu lama seperti Hikayat Malim Deman, kita melihat pembayangan angkasa lepas dan lapisan yang dilalui untuk sampai ke kayangan, tujuh lapisan langit atau lebih dikenali sebagai tujuh petala langit:

 

Hilang disaput awan yang puteh,

Hilang disaput awan yang kuning,

Hilang disaput awan yang biru,

Sakali membawa edar ke kiri,

Dua kali membawa edar ke kanan,

Tiada boleh membawa edar lagi,

Hilang disaput si mega-mega.

 

 

Namun, apabila sastera kita mula terpisah dari naluri mencintai, menghormati dan menerokai alam sekitar, kita mula melihat ketidakseimbangan dalam kehidupan keseluruhannya.

 

Lebih membimbangkan, apabila keseimbangan budaya dan alam sekitar langsung tidak sehaluan. Hutan belantara terus dirempuh dan dirosakkan. Tamadun  manusia terpisah dari alam sekitar yang menghijau. Setiap hari, ada haiwan yang terus terlupus dari muka bumi.

 

Apabila sastera membelakangi alam sekitar, inilah titik bermulanya manusia melupakan tanggungjawab pada bumi dan segala kehidupan di dunia seperti yang kita lihat hari ini.

 

Tidak dapat dinafikan, konflik dan cabaran terbesar yang dihadapi di zaman ini merupakan perubahan iklim yang semakin menjadi masalah global yang serius dan mempengaruhi berbagai aspek kehidupan termasuk ekonomi, kesihatan, dan keamanan.

 

Hal ini meliputi naiknya suhu global, peningkatan cuaca ekstrem, kenaikan permukaan air laut, dan berbagai perubahan lain yang memberi kesan bahaya pada kehidupan manusia dan makhluk lain di bumi.

 

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) cuba menyedarkan dunia tentang masalah yang bakal menimpa sejak berdekad lamanya.

 

 

hikayat

 

 

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah menggerakkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), juga dikenali sebagai Matlamat Global, yang telah diterima oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2015 sebagai seruan sejagat untuk bertindak menamatkan kemiskinan, melindungi planet ini, dan memastikan bahawa menjelang 2030, semua orang menikmati keamanan dan kemakmuran.

 

Bukankah ini yang dimaksudkan dengan “kebahagiaan semua di muka bumi ini” yang tertulis lebih 1,400 tahun dahulu di dalam inskripsi Talang Tuwo? Kearifan lokal alam melayu tidak dapat disangkal lagi.

 

Perlu ada ‘political will’ menerajui tindakan kolaboratif dari seluruh pihak untuk mengatasi masalah ini agar kelestarian dunia dapat terjaga untuk generasi mendatang.

 

Wacana Penyambung Budaya

Wacana yang dikelolakan Perpustakaan Negara Malaysia dan perpustakaan Jambi Karya Hala, Indonesia ini sangat membangkitkan semangat kekitaan di mana kita lihat hampir 200 wakil dari perpustakaan dan pembaca tegar dari Malaysia dan Indonesia mengambil bahagian.

 

Kelihatan dalam webinar wakil dari Jambi, Kalimantan, Jogjakarta serta Melaka, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan banyak lagi hadir.

 

Jhon Askeliando Purba menanyakan ahli panel bagaimana ingin memulakan kerjaya sebagai penulis dengan baik dan Hendi Ananda Putra pula menanyakan adakah budaya membaca buku itu semakin hilang. Puan Intan Mohd Noor pula mengajak perbincangan bagaimana mengurangkan campur aduk bahasa dalam sastera.

 

Persoalan sebegini merancakkan lagi perbincangan dua hala Malaysia dan Indonesia ini.

 

Syabas pada Perpustakaan Negara Malaysia dan perpustakaan Jambi Karya Raya, Indonesia. Semoga sesi wacana sebegini boleh dipergiat dan disusuli dengan lawatan dua hala antara penulis dan sasterawan.

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

 

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb