Hilang Tupperware boleh akibatkan krisis ekonomi domestik negara? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 25 Sep 2024 08:00 AM

Hilang Tupperware boleh akibatkan krisis ekonomi domestik negara?
 

 

 

"Apa? Tupperware saya hilang? Awak jangan main-main! Baik awak cari sampai jumpa.”

 

Bagi kebanyakan wanita, terutama ibu-ibu, Tupperware bukan sekadar bekas plastik biasa. Kehilangannya boleh mencetuskan krisis domestik. Seolah-olah ada peraturan tidak tertulis di rumah: kehilangan Tupperware ibarat kehilangan barang berharga.

 

Para suami yang pulang tanpa bekas plastik itu sering kali menghadapi situasi lebih genting daripada terlupa tarikh ulang tahun perkahwinan.

 

Kehidupan rumah tangga yang tenang dengan tiba-tiba boleh menjadi tegang hanya kerana sebuah bekas plastik. 

 

Jika nasib tidak menyebelahi si suami, sofa mungkin akan menjadi katil, bantal peluk sebagai penganti si isteri buat sementara waktu.

 

Tupperware, Lebih Daripada Sekadar Bekas Plastik

Bagi mereka yang mengenalinya, Tupperware bukanlah sekadar jenama: ia adalah ikon yang mendominasi hampir setiap dapur di seluruh dunia.

 

Ditubuhkan oleh Earl Tupper pada tahun 1946, jenama ini lahir sebagai satu revolusi dalam dunia penyimpanan makanan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tupperware Brands dijangka fail kebankrapan

 

Reka bentuk kedap udara yang unik berjaya memikat hati para suri rumah di seluruh dunia, terutama pada era 1950-an dan 60-an, ketika tiada bekas plastik lain mampu menyaingi kebolehannya untuk mengekalkan kesegaran makanan.

 

Boleh dikatakan pada masa itu Tupperware menjadi sebuah fenomena sosial. 

 

Kaedah jualan “Tupperware Party” yang diperkenalkan ketika itu memberi peluang kepada para wanita untuk menjana pendapatan.

 

Strategi ini menjadi simbol kebebasan ekonomi di kalangan wanita yang mula menjual produk tersebut dari rumah mereka.

 

Dalam beberapa dekad, Tupperware mencipta reputasi yang sukar digugat. Setiap dapur moden pada zaman itu pasti mempunyai satu set Tupperware, dan ramai yang mengumpulnya seperti mengumpul barang antik.

 

Tewasnya Jenama Ikonik  Dalam Persaingan Kapitalisme

Di puncak kejayaannya, Tupperware mencatatkan jualan tahunan sebanyak RM9 bilion. 

 

Pencapaian ini sungguh luar biasa bagi sebuah syarikat yang bermula hanya dengan idea menyimpan makanan yang tidak habis.

 

Sejarah menunjukkan bahawa tiada empayar yang kekal selamanya. Begitu juga dengan Tupperware, yang kini menghadapi hari-hari suram selepas zaman kegemilangannya.

 

 

{"preview_thumbnail":"/sites/default/files/styles/video_embed_wysiwyg_preview/public/video_thumbnails/EOLplC9N-sw.jpg?itok=rpOF46w6","video_url":"https://youtu.be/EOLplC9N-sw","settings":{"responsive":1,"width":"854","height":"480","autoplay":1},"settings_summary":["Embedded Video (Responsive, autoplaying)."]}

 

 

Produk yang lebih murah dari Asia, terutama dari China dan India, mula membanjiri pasaran, dan dengan pengguna yang semakin bijak membuat pilihan, mereka mula beralih kepada “Tipuware” (produk alternatif) yang lebih menjimatkan, lebih ‘trendy’, atau lebih mesra alam.

 

Bekas plastik serupa boleh didapati dengan harga jauh lebih rendah di platform e-dagang seperti Shopee dan Lazada.

 

Walaupun tidak mempunyai sejarah ‘dilanggar tak mati’ seperti Tupperware, ia tetap berfungsi dengan baik untuk menyimpan makanan.

 

Pada masa yang sama, peningkatan kesedaran terhadap pencemaran plastik turut menjejaskan reputasi Tupperware sebagai produk yang mesra alam. 

 

Isu ini menambah lagi cabaran untuk jenama ikonik ini.

 

Harapan Palsu Pandemik

Pandemik COVID-19 membawa sedikit harapan kepada Tupperware. Ketika satu dunia terkurung di rumah, jualan Tupperware melonjak sebanyak 70%, seolah-olah jenama ini kembali mengulangi zaman kegemilangannya.

 

Tetapi, kebangkitan ini hanya bersifat sementara. Apabila sekatan pergerakan dilonggarkan, orang ramai kembali kepada rutin harian mereka, dan jualan Tupperware merosot dengan cepat.


Syarikat itu kini berdepan cabaran yang lebih hebat. Produk yang lebih murah mula menguasai pasaran, kos bahan mentah dan buruh meningkat, menyebabkan tekanan besar terhadap Tupperware. 

 

Bukan itu sahaja, kenaikan kos bahan mentah, buruh, dan logistik juga merupakan cabaran besar yang dihadapi oleh jenama ini.

 

Kesannya, Tupperware mencatat penurunan jualan selama enam suku berturut-turut sejak suku ketiga 2021. 

 

Kerjasama yang cuba dijalankan dengan Target pada tahun 2021 datang terlalu lambat untuk menyelamatkan keadaan.

 

 

{"preview_thumbnail":"/sites/default/files/styles/video_embed_wysiwyg_preview/public/video_thumbnails/7415876796534557959.jpg?itok=5xymse8G","video_url":"https://www.tiktok.com/@dagangnews/video/7415876796534557959?is_from_webapp=1&sender_device=pc&web_id=7259970879739446786","settings":{"responsive":1,"width":"854","height":"480","autoplay":1},"settings_summary":["Embedded Video (Responsive, autoplaying)."]}

 

 

Hutang dan Ancaman Kebankrapan

Dari sudut kewangan, Tupperware kini dibebani hutang yang besar. Pada tahun 2023, hutang syarikat tersebut mencecah RM2.3 bilion, sementara jualan globalnya jatuh sebanyak 18%. 

 

Harga saham syarikat juga merosot lebih 90% dalam tempoh tiga tahun, menyebabkan para pelabur semakin hilang keyakinan terhadap masa depan Tupperware. 

 

Terkini, pada September 2024, Tupperware memfailkan perlindungan kebankrapan di bawah Bab 11 untuk memberi syarikat masa mencari pembeli atau pelabur.

 

Langkah ini membolehkan Tupperware meneruskan operasi sementara mereka menyusun semula kewangan, tetapi masa depannya tetap kabur. 

 

Dalam dunia yang semakin kompetitif, Tupperware tidak hanya perlu menyusun semula kewangan mereka. 

 

Syarikat ini juga perlu menyesuaikan diri dengan perubahan digital dan tuntutan pasaran moden, serta mempertimbangkan inovasi produk untuk kekal relevan.

 

Apakah Legasi Tupperware Akan Berakhir?

Bagi pengguna setia, terutama para wanita, kehilangan Tupperware dari pasaran bukanlah sekadar kehilangan jenama ikonik.

 

Ia lebih daripada itu – simbol sebuah kehidupan yang telah menemani generasi demi generasi. Meskipun ada banyak pilihan lain di pasaran, tiada yang dapat menggantikan tempat Tupperware di hati mereka.

 

Ibu-ibu dan pecinta jenama ikonik ini sudah pasti akan berasa sedih, tetapi, mungkin ini kedengaran sedikit lucu, bagi suami-suami yang selama ini hidup dalam ketakutan setiap kali Tupperware hilang, mungkin ini peluang untuk menghela nafas lega. 

 

Sekiranya legasi Tupperware benar-benar berakhir, maka hilanglah juga satu sumber tekanan domestik yang sering menghantui mereka.

 

Dari perspektif ekonomi, dalam landskap korporat yang semakin sengit, Tupperware perlu lebih daripada sekadar memperbaharui strategi pemasaran. 

 

Jenama ini perlu menyesuaikan diri dengan tuntutan pengguna yang kini lebih peka terhadap isu kelestarian alam sekitar.

 

Tanpa langkah drastik, Tupperware mungkin hanya akan dikenang sebagai satu lagi jenama ikonik yang terkubur di tengah arus perubahan pasaran global. - DagangNews.com

 

 

dagangnews

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN