Ringgit bawah RM4.00? Realiti atau spekulasi? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 02 Oct 2024 08:00 AM

Ringgit Bawah RM4.00? Realiti atau Spekulasi?

 

 

 

Persoalan kini bukan lagi sama ada ringgit Malaysia mampu kembali ke paras bawah RM4.00 berbanding dolar AS, tetapi dalam keadaan pasaran yang bagaimana ia akan berlaku.

 

Seperti simpulan teka-teki yang sukar dirungkai, prospek pengukuhan ringgit berbanding dolar AS, adalah cerminan jelas tentang bagaimana ketahanan ekonomi Malaysia dalam mengharungi ketidakpastian global yang semakin kompleks.

 

Turun naik mata wang sebenarnya adalah lebih daripada sekadar manipulasi angka atau nilai semata-mata; apakah ada interaksi lain tersembunyi mempengaruhi pergerakan ini?

 

Krisis Monetari Global: Sempitnya Ruang untuk Polisi Domestik

Peranan utama yang dimainkan oleh dolar AS dalam ekonomi global bukan sekadar soal penguasaan ekonomi Amerika, tetapi juga akibat ketidakupayaan negara-negara lain, termasuk Malaysia, untuk menetapkan dasar monetari yang bebas daripada pengaruh luar.

 

Kadar faedah Fed yang tinggi, dalam usaha meredakan inflasi, menyebabkan dolar mengukuh dan memberikan tekanan kepada ringgit, yang secara relatifnya menjadi lemah.

 

Ini mengurangkan kuasa beli Malaysia, meningkatkan kos import, dan menyebabkan inflasi yang sukar dibendung.

 

Cabaran ini bukan sekadar soal kewangan, tetapi berakar umbi dalam strategi makroekonomi yang melibatkan keseluruhan ekosistem kewangan global.

 

Walaupun ringgit kelihatan bertahan di atas paras RM4.00, ia lebih menggambarkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang bergantung kepada eksport komoditi seperti minyak sawit dan minyak mentah.

 

Tanpa pembaharuan dalam dasar fiskal yang lebih agresif atau penciptaan sektor ekonomi yang lebih berdaya saing, pengukuhan ringgit ke bawah RM4.00 mungkin hanyalah mimpi yang berasaskan spekulasi.

 

Ketidaktentuan Harga Komoditi: “Taming the Beast”

Kebergantungan Malaysia kepada komoditi menjadikan ekonominya rentan terhadap harga minyak mentah dan komoditi lain yang terdedah kepada faktor geopolitik dan perubahan dalam permintaan global.

 

Apabila harga minyak Brent meningkat kepada USD98 setong, ia memberi suntikan pendapatan segera kepada negara.

 

Tetapi seperti yang kita pelajari daripada sejarah, Malaysia harus bersedia menghadapi kemungkinan penurunan harga secara mendadak, seperti yang berlaku pada tahun 2014 ketika kejatuhan harga minyak mentah mencetuskan krisis ekonomi dalam kalangan negara-negara pengeksport komoditi.

 

Adakah harga komoditi yang tinggi hari ini mampu memastikan pengukuhan ringgit bawah RM4.00?

 

Dari perspektif ekonomi, jawapan ini lebih rumit. Sekalipun ia memberikan sokongan kepada imbangan perdagangan dalam jangka masa terdekat, kebergantungan berlebihan kepada komoditi boleh menjadi perangkap yang serius sekiranya negara gagal mempelbagaikan asas ekonominya.

 

Dilema Fiskal dan Beban Defisit: Musuh dalam Selimut

Defisit fiskal Malaysia yang berada pada kadar 4.60% daripada KDNK adalah halangan besar kepada pengukuhan ringgit

 

Apabila kerajaan berbelanja melebihi pendapatan, ia menyebabkan peningkatan hutang negara dan pengurangan keyakinan pelabur.

 

Tanpa reformasi fiskal yang menyeluruh, termasuk peningkatan hasil cukai dan pemotongan perbelanjaan yang tidak produktif, Malaysia akan terus bergelut untuk mencapai keseimbangan fiskal.

 

Ini bukan sahaja melemahkan ringgit, tetapi juga mengurangkan daya saing Malaysia di peringkat global.

 

Terdapat perbincangan yang berlarutan mengenai kemungkinan pengenalan semula GST sebagai cara untuk meningkatkan pendapatan kerajaan.

 

Tidak dinafikan, reformasi seperti ini mungkin perlu dilakukan walaupun ia sukar secara politik, kerana ia akan memberi negara ruang fiskal yang lebih luas untuk melabur dalam infrastruktur dan inovasi teknologi, dua perkara yang sangat diperlukan untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

 

Aliran Modal dan Daya Saing Serantau

Kestabilan ringgit juga bergantung kepada imbangan pembayaran dan aliran modal masuk ke Malaysia.

 

Meskipun lebihan akaun semasa menunjukkan kekuatan dalam eksport, aliran modal ke dalam negara masih tidak menentu akibat ketidakstabilan politik dan dasar ekonomi yang berubah-ubah.

 

Negara-negara seperti Indonesia dan Vietnam telah berjaya menarik pelaburan asing dengan lebih konsisten melalui dasar pro-bisnes dan pembaharuan struktur.

 

Malaysia perlu memperkukuhkan daya saingnya untuk kekal relevan di pentas ekonomi serantau.

 

Dalam era di mana aliran modal adalah sangat mudah bergerak, daya saing ekonomi bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan.

 

Institusi-institusi di Malaysia perlu beroperasi dengan lebih efisien dan telus, manakala sektor ekonomi perlu dipelbagai dengan penekanan kepada sektor teknologi dan pembuatan nilai tambah tinggi.

 

Ringgit boleh mengukuh di bawah RM4.00, tetapi kekuatan ini bergantung kepada asas ekonomi yang kukuh dan bukan sekadar fenomena sementara.

 

Konteks ekonomi memerlukan Malaysia memperbaiki struktur fiskalnya, mengurangkan defisit, dan meningkatkan daya saing ekonomi melalui inovasi serta diversifikasi industri.

 

Jika defisit fiskal terus kekal tinggi dan pergantungan kepada komoditi tidak dikurangkan, ringgit akan kekal terdedah kepada kejutan luaran, menyebabkan sebarang pengukuhan hanya berlaku dalam jangka pendek sebelum kembali melemah akibat ketidakseimbangan ekonomi.

 

Dari Spekulasi ke Realiti Ekonomi

Adakah pengukuhan ringgit ke bawah RM4.00 sekadar spekulasi atau satu prospek yang boleh direalisasikan?

 

Jawapan kepada persoalan ini terletak pada gabungan faktor yang kompleks. Ekonomi, seperti yang kita ketahui, bukan sekadar permainan angka.

 

Ia tentang memahami interaksi antara pelbagai faktor, termasuk dasar fiskal dan monetari, perubahan global, dan politik domestik.

 

Untuk mencapai matlamat ini, Malaysia perlu mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh.

 

Bukan sahaja perlu bergantung kepada penurunan kadar faedah oleh Fed, tetapi juga menumpukan kepada pembaharuan fiskal, pelaburan dalam sektor teknologi, dan daya saing ekonomi jangka panjang.

 

Paul Krugman pernah menekankan bahawa pasaran mata wang adalah cerminan persepsi pelabur terhadap kestabilan dasar sesebuah negara.

 

Oleh itu, pengukuhan ringgit bukan sekadar soal teknikal, tetapi soal keyakinan terhadap masa depan ekonomi Malaysia.

 

Satu tindakan yang komprehensif di semua peringkat akan menentukan sama ada pengukuhan ini adalah peluang sebenar atau sekadar spekulasi di mata para pelabur. - DagangNews.com

 

 

dagangnews

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN