KUALA LUMPUR 5 Sept - Aktiviti belian bersih daripada warga asing berterusan di Bursa Malaysia minggu lepas selepas melakukan pembelian bersih RM190.9 juta ekuiti lebih rendah berbanding RM244.6 juta yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.
MIDF Research berkata, ia merupakan minggu ketujuh berturut-turut aliran masuk bersih daripada warga asing dan pembelian bersih asing kedua terpanjang bagi tahun ini.
"Pelabur asing merupakan penjual bersih pada Khamis pada kadar RM90.1 juta tetapi menjadi pembeli bersih untuk sepanjang minggu.
"Aliran masuk terbanyak adalah sebanyak RM219.6 juta dicatatkan pada Selasa, manakala Isnin dan Jumaat masing-masing mencatatkan aliran masuk RM61.0 juta dan RM0.4 juta.
"Pasaran ditutup pada hari Rabu sempena Hari Merdeka Malaysia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk berish terbanyk oleh warga asing pada minggu lalu ialah perkhidmatan kewangan, produk pengguna dan utiliti masing-masing pada RM201.7 juta, RM58.4 juta dan RM51.6 juta.
Katanya, aliran keluar bersih tertinggi melibatkan produk dan perkhidmatan perindustrian pada RM102.8 juta, teknologi pada RM51.4 juta dan perladangan pada RM26.6 juta.
Institusi tempatan kekal sebagai penjual bersih selepas mereka menjual RM233.2 juta minggu lepas dan jumlah yang mereka jual ialah RM66.4 juta pada Isnin dan RM252.2 juta pada Selasa.
Firma itu berkata, mereka beralih menjadi pembeli bersih selepas pasaran dibuka semula Khamis pada kadar RM79.1 juta dan RM6.3 juta pada Jumaat, tetapi ini tidak mencukupi untuk mengimbangi aliran keluar yang dicatatkan pada awal minggu ini,
"Peruncit tempatan masih melakukan pembelian bersih minggu lepas selepas mereka membeli ekuiti bernilai RM42.6 juta.
"Mereka adalah pembeli bersih pada setiap hari dagangan kecuali pada hari Jumaat," katanya.
Dari segi penyertaan, terdapat penurunan purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur runcit dan institusi masing-masing sebanyak 4.5% dan 1.2%, manakala pelabur asing mencatat pertumbuhan 60.3% dalam ADTV. - DagangNews.com