KUALA LUMPUR 28 Nov - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyelesaikan siasatan berhubung pelaburan yang dibuat beberapa entiti kerajaan dalam platform e-dagang FashionValet.
“Kertas siasatan telah diserahkan kepada Pengarah Bahagian Undang-undang dan Pendakwaan SPRM untuk semakan dan pertimbangan lanjut.
"Keputusan berhubung siasatan ini dijangka dalam masa terdekat," kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam satu kenyataan hari ini.
Agensi antirasuah itu sedang menyiasat kerugian yang dialami Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) selepas melabur dalam FashionValet.
Khazanah melabur RM27 juta dalam FashionValet pada 2018 manakala PNB memasukkan RM20 juta, kedua-duanya untuk kepentingan minoriti dalam platform itu.
Kedua-dua GLIC tersebut menjual pegangan mereka pada 2023 dengan hanya RM3.1 juta — kehilangan RM43.9 juta daripada wang yang mereka masukkan.
Pegangan itu dijual kepada NXBT Partners Sdn Bhd, sebuah syarikat pemegangan pelaburan yang dikawal oleh Afzal Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif TIME dotCom Bhd.
Khazanah juga memegang 32.34% kepentingan dalam TIME dotcom setakat 22 Julai.
Sebelum ini dilaporkan SPRM telah membekukan akaun bank FashionValet, bersama akaun peribadi pengasas suami isterinya, Vivy Yusof dan Fadzarudin Anuar, bagi memudahkan siasatannya. - DagangNews.com