KUALA LUMPUR 28 Nov - Icon Offshore Bhd mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 158.2% kepada RM18.3 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY24) berbanding RM7.1 juta pada suku sama tahun sebelumnya dipacu kadar sewa harian lebih tinggi.
Kumpulan itu berkata, hasil juga meningkat sebanyak 20.7% kepada RM70.6 juta berbanding RM58.5 juta pada 3QFY23.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2024 (9MFY24), kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM157.9 juta dan keuntungan kasar RM7 juta manakala untung bersih kumpulan menyusut kepada RM300,000.
Pengerusi Eksekutifnya, Lim Chern Wooi berkata, prestasi kumpulan bagi suku berkenaan adalah bukti keberkesanan inisiatif strategik mereka yang memberi fokus kepada kecekapan operasi keseluruhan yang menyerlahkan keupayaan mereka dalam sector OSV yang mencabar.
Katanya, pihaknya berada dalam kedudukan optimum untuk memacu pertumbuhan mampan dan daya tahan dalam industri yang sentiasa berkembang.
"Cadangan pengambilalihan yang diumumkan baru-baru ini akan mengukuhkan kedudukan kami di pasaran rantau ini dan mengukuhkan komitmen kami untuk menyampaikan nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingan.
"Dengan mempelbagaikan aliran pendapatan dan mengembangkan kehadiran, kupulan akan mempunyai kelebihan daya saing untuk merebut lebih banyak peluang yang sejajar dengan visi sambil mengekalkan tumpuan kepada kecemerlangan operasi serta kepuasan pihak berkepentingan," katanya.
Pengambilalihan itu, termasuk 40 aset maritim, dijangka meningkatkan kapasiti operasi Icon Offshore dan meningkatkan keupayaannya untuk memberi perkhidmatan kepada pangkalan pelanggan yang lebih luas dengan memasuki pasaran baharu seperti Singapura dan Vietnam. - DagangNews.com